http://dapmalaysia.org  

Thailand Mesti Bertanggungjawab Penuh Ke atas Kematian 78 Orang Yang Mati Akibat Sesak Nafas Dalam Lori Polis Semasa Di bawah Tahanan


Kenyataa Akhbar
oleh
Lim Guan Eng

(Petaling Jaya, Rabu): DAP amat terkejut dengan berita kematian 84 rakyat Thailand Muslim di selatan Negara itu, khususnya 78 orang yang mati akibat sesak nafas dalam lori polis. Sebagai negara jiran, rakyat Malaysia amat prihatin dan ambil berat ke sebarang kejadian yang boleh mengancam ketenteraman dan kedamaian di rantau ini. 

Thailand mestilah bertanggungjawab penuh ke atas kejadian berdarah itu dengan memastikan mereka yang menyebabkan kematian sesak nafas 78 orang dikenakan tindakan penuh di bawah undang-undang.  

DAP berpendapat pihak berkuasa Thailand berhak bertindak untuk membela diri daripada serangan yang dilakukan oleh kumpulan pemuda ke atas balai polis. Akan tetapi keselamatan mereka yang ditahan oleh anggota keselamatan beralih dan terletak di bawah pihak berkuasa selepas ditahan.  

Sekiranya apa-apa terjadi kepada orang yang ditahan semasa dalam tangan pihak berkuasa, adalah tanggungjawab pihak untuk memastikan keselamatan mereka. Oleh itu, kejadian terkutuk 78 orang mati sesak nafas dalam lori polis susah diterima dan diperjelaskan di bawah nilai dan undang-undang antarabangsa.  

DAP berharap Thailand boleh menangani krisis ini menerusi lunas demokrasi dan hak asasi manusia supaya satu penyelesaian yang damai dapat tercapai. 

(27/10/2004)


* Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP