Pihak
kerajaan harus memberi nasihat kepada para penyelenggara masjid yang
terletak di kawasan kediaman masyarakat majmuk, supaya mereka mengikut
garis panduan JAKIM dan mengurangkan volum sembahyangnya pada awal
pagi sebagai tanda menunjukkan sensitiviti agama
Ucapan
oleh Teresa Kok
(Dewan Rakyat,
Tuesday):
Saya percaya kebanyakan rakyat berpegang
pandangan yang sama dengan saya, iaitu Bajet 2005 yang dibentangkan oleh YAB
Menteri Kewangan tidak mempunyai apa-apa bahan baru yang boleh
diheboh-hebohkan.
Kesihatan
Datuk yang diPertua, penjagaan kesihatan (healthcare) merupakan bidang
yang amat memerlukan rancangan yang teliti daripada pihak kerajaan,
tetapi malangnya, dalam ucapan Bajet 2005 oleh YAB Perdana Menteri,
beliau kelihatan tidak mempunyai rancangan yang menyeluruh terhadap
penjagaan kesihatan di negara kita. Saya merasa hairan untuk melihat
keinginan kerajaan untuk menubuhkan cabangan swasta di hospital
kerajaan, khususnya di dua hospital yang modern dan baru, iaitu
Hospital Putrajaya dan Hospital Selayang. Pengumuman ini jelas
menunjukkan kecenderungan kerajaan untuk menswastakan hospital awam.
Saya diberitahu bahawa penubuhan cabangan swasta di Hospital
Universiti telah menyebabkan ramai pakar doktor menggalakkan pesakit
mereka menerima rawatan di cabangan swasta di hospital tersebut di
mana pesakit dikehendaki untuk membayar kos rawatan yang jauh lebih
tinggi. Selain itu, doktor juga cenderung untuk memberi lebih
keprihatinan terhadap pesakit yang menerima rawatan di cabangan swasta
daripada pesakit lain yang hanya mampu membayar kos rawatan yang
biasa dan malah membenarkan pesakit yang lebih berada ini untuk “jump
queue”. Sehubungan dengan itu, penubuhan cabangan swasta di hospital
awam juga menggalakkan doctor kerajaan untuk menyalahgunakan
perlengkapan dan sumber awam demi bisnes perubatan sendiri. Jadi,
sekiranya kerajaan menggalakkan lebih hospital kerajaan menubuhkan
cawangan swasta, maka lama-kelamaan, lebih hospital awam pun akan
menjadi hospital swasta yang mengenakan kos perubatan yang tinggi
terhadap pesakitnya dan menyusahkan golongan yang berpendapatan rendah.
Sensitiviti Agama
Datuk yang diPertua, Perdana Menteri kita
telah membentangkan satu ucapan yang mendapat banyak pujian daripada
para wakil agama Kristian di dalam dan di luar negeri semasa
merasmikan Sidang Plenary Commision on Faith and Order anjuran World
Council of Churches pada 3 Ogos tahun ini. YAB berkata Malaysia
mempraktikkan “Moderation”, mengikut beliau, “we cannot allow our
religions to be torn apart by extremist impulses and exclusivist
doctrines. We must be committed in promoting the values of peace,
tolerance and plurality.”
Walau bagaimanapun, sedihnya, kenyataan Perdana Menteri ini tidak
dipraktikkan oleh kerajaannya, termasuk anggota partinya sendiri.
Cadangan untuk menubuhkan “Interfaith Council” ataupun Majlis Dialog
Antara Agama telahpun lama dibangkitkan oleh pertubuhan agama bukan
Islam, dan kita tahu, dialog di antara pengikut agama yang berlainan
memang amat diperlukan dalam satu masyarakat majmuk, tetapi kesalnya
cadangan ini masih tidak diterima oleh pihak kerajaan.
Seperti apa yang dikatakan oleh seorang peguam hak asasi manusia Yang
Pei Keng dalam majalah Majlis Peguam keluaran Mei dan Jun, arahan
sesetengah kerajaan tempatan yang menghendaki orang yang menternak
anjing perlu mendapat kebenaran daripada jirannya itu adalah amat
tidak sensitif pada pihak kerajaan. Beliau juga mengambil contoh di
mana masyarakat bukan Islam selalu bertolak-ansur terhadap masjid yang
dibina di kawasan mereka kerana para penduduk bukan Islam ini
menghormati hak kebebasan agama pada masyarakat Muslim. Kesalnya,
artikel peguam ini mendapat kritikan kuat daripada sesetengah ahli
politik dan media, dan UMNO Bahagian Shah Alam malah membuat laporan
polis ke atas artikel ini dengan memutar-pelitkan tujuan asal dan
menuduh penulis ini menghasut.
Datuk yang diPertua, apa yang dibangkitkan oleh penulis ini adalah
amat bernas sekali. Sekiranya kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana
Menteri ini melaksanakan prinsip “Moderation”, kenapakah kabinet tidak
membatalkan arahan Majlis Perbandaran Klang dan Johor Bahru yang
menghendaki orang bukan Islam yang menternak anjing mendapat kebenaran
daripada jirannya?
Sehubungan dengan itu, saya juga menyeru pihak kerajaan supaya memberi
nasihat kepada para penyelenggara masjid yang terletak di kawasan
kediaman masyarakat majmuk, supaya mereka mengikut garis panduan JAKIM
dan mengurangkan volum sembahyangnya pada awal pagi sebagai tanda
menunjukkan sensitiviti agama.
Sehubungan dengan itu, sekiranya kerajaan betul-betul mempraktikkan
prinsip “moderation” dalam masyarakat majmuk ini, saya menyeru
kerajaan supaya membenarkan filem Passion of The Christ dan The Gospel
of John ditayangkan di semua pawagam dan terbuka kepada penonton
daripada semua kaum. Saya memang tidak faham rasional kerajaan yang
hanya membenarkan penganut agama Kristian untuk menonton filem Passion
of The Christ di panggung wayang yang ditetapkan, dan saya juga tidak
faham kenapakah kerajaan menyekat penganut agama Islam menonton
kedua-dua filem tersebut? Dalam suatu masyarakat majmuk seperti
Malaysia, adalah amat penting bagi
kerajaan menggalakkan pergaulan dan dialog di antara penganut agama
yang berlainan supaya kita saling faham sistem kepercayaan dan
kebudayaan antara satu sama lain. Salah satu cara untuk memupuk
persefahaman di antara agama dan kaum yang berlainan ini adalah
melalui kurikulum pendidikan dan media massa, termasuk menayangkan
filem yang menceritakan falsafah dan riwayat hidup tokoh agama. Saya
menyeru supaya pihak
kerajaan mengkaji semula pendiriannya dalam isu penayangan filem ini.
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin menyeru supaya Kementerian
Pendidikan supaya memberi keadilan kepada sekolah agama Kristian
ataupun Mission School. Memandangkan Gereja Kristian dan Katholik
telahpun menyerah bangunan sekolah yang diasaskan oleh mereka kepada
kerajaan dan sekolah-sekolah ini juga menggunakan kurikulum
kementerian pelajaran, kerajaan sepatutnya memberi peruntukan kepada
sekolah-sekolah ini dari segi maintenance dan penambahan bilik darjah,
supaya pengurus sekolah-sekolah ini tidak perlu mengadakan kempen
derma demi tujuan ini. Selain itu, saya juga menyeru supaya
Kementerian Pelajaran boleh menghantarkan lebih guru terlatih yang
beragama Kristian untuk mengajar di sekolah-sekolah Kristian ini,
supaya guru-guru ini boleh memberi kelas agama Kristian kepada
murid-murid Kristian di Mission School berkenaan.
Dasar Pengendalian Sampah
Datuk yang diPertua, ucapan Bajet 2005 yang dibentangkan oleh YAB
Menteri Kewangan ini langsung tidak menyentuh tentang dasar
pengendalian sampah, seperti apa yang diadakan di negara-negara maju.
Kerajaan hanya berminat untuk mendirikan lebih insinerator yang
merosakkan alam sekitar dan kesihatan penduduk di seluruh negara untuk
mengatasi masalah pertambahan sampah. Saya merasa kesal kerajaan
kurang serius terhadap Kempen Kitar-Semula dan tidak mengawal
penggunaan plastik dan menggalakkan industri yang menghasilkan produk
alternatif yang menggantikan plastik.
Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan supaya membatalkan projek insinerator yang akan
dibina di Broga kerana kawasan itu merupakan tempat takungan air yang
akan digunakan dan diminum oleh penduduk di Lembah Klang. Saya juga
mencadangkan supaya kerajaan menggunakan teknologi alternatif seperti
teknologi MRF yang menggunakan cara kitar-semula untuk mengendalikan
sampah kita untuk menggantikan insinerator.
(23/9/2004)
*
Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh merangkap
Setiausaha Publisiti DAP
|