http://dapmalaysia.org  

Menggesa kerajaan menangguhkan mahkamah ke atas pertubuhan Cina yang menguruskan tanah perkuburan dan mengecualikan bayaran cukai pendapatan


Ucapan
oleh
Chow Kon Yeow

(Dewan Rakyat, Khamis): Kerajaan memenangi pilihanraya umum tahun 2004 dengan slogan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” dan berikrar untuk menjaga kepentingan semua kaum. 

Satu isu yang menunggu penyelesaian oleh pihak kerajaan adalah berhubung dengan tindakan mahkamah yang diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri ke atas pertubuhan–pertubuhan dan persatuan-persatuan yang menguruskan tanah-tanah perkuburan bagi masyarakat Cina di Malaysia kerana tunggakan cukai.

 

Baru-baru ini masyarakat Cina telah hebat membahaskan isu pengenaan cukai ke atas persatuan-persatuan yang menguruskan tanah perkuburan apabila beberapa persatuan di beberapa bandar terima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk membayar tunggakkan cukai yang mengikut laporan-laporan suratkhabar membabitkan satu jumlah wang yang amat besar.

 

Masyarakat Cina khususnya pucuk pimpinan persatuan-persatuan Cina memandang serius terhadap isu ini dan mereka merasa tindakan untuk mengenakan cukai ke atas persatuan yang menguruskan tanah-tanah perkuburan bagi kebajikan masyarakat Cina adalah satu tindakan yang tidak adil. Mereka berharap pihak kerajaan dapat memahami peranan sebenar mereka iaitu membantu pihak kerajaan untuk menguruskan satu kemudahan asas bagi rakyat.

 

Kebanyakan pertubuhan ini adalah badan amal dan kebajikan dan tidak bermotif keuntungan walaupun bayaran dikenakan atas tanah pengebumian yang diperlukan oleh para ahli mereka. Tambahan pula, walaupun mereka memainkan peranan ini, pertubuhan ini secara sukarela dan juga kerana factor sejarah mereka telah mengambil peranan ini, pertubuhan ini tidak menerima sebarang peruntukan untuk mengendalikan tanah-tanah perkuburan ataupun ditawarkan tapak tanah untuk dijadikan tanah tanah perkuburan.

Pendirian pihak kerajaan atas isu ini memang tidak jelas lagi. Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri kini dikatakan telah mula mengambil tindakan terhadap perbadanan pengurusan tanah perkuburan Cina untuk mendapat balik tunggakan hasil sebanyak RM 100 juta.

 

Pendirian Timbalan Menteri Kewangan Dr. Ng Yen Yen dengan pendirian Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Dr. Hilmi Yahaya atas isu ini juga samar-samar dan bertentangan antara dua orang dalam Kementerian yang sama. Timbalan Menteri pernah berkata pengecualian cukai hanya boleh diberikan kepada persatuan yang menguruskan tanah-tanah perkuburan sekiranya hanya ahli-ahli sahaja yang menerima faedah. Sebaliknya Setiausaha Parlimen apabila memberi jawapan kepada soalan lisan saya pada hari selasa 7 September 2004, beliau berkata pengecualian hanya boleh diberikan jika persatuan-persatuan ini memastikan manfaat diberi kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan keturunan dan manfaat tidak terhad kepada sesuatu kumpulan tertentu sahaja, contohnya tanah perkuburan Hokkien mesti membenarkan orang dari kumpulan loghat yang lain untuk menikmati kemudahan.

 

Pengendalian isu ini menunjukkan pihak Kementerian masih tidak memahami masalah yang dihadapi oleh pertubuhan pengurusan tanah-tanah perkuburan Cina. Selama ini pihak kerajaan tidak memberi peruntukan kewangan kepada pertubuhan ini yang melakukan satu tanggungjawab social yang amat penting.

 

Sejajar dengan janjian kerajaan, saya menggesa kerajaan iktiraf sumbangan pertubuhan Cina dengan meminda Akta Cukai Pendapatan untuk memberi pengecualian dari membayar cukai dan juga mamastikan tanah-tanah yang mencukupi diperuntukan kepada pertubuhan ini demi memastikan mereka dapat membantu kerajaan menyediakan kemudahan social yang amat penting ini.

 

Kementerian juga harus menangguhkan segala tindakan mahkamah sementarai mencapai satu penyelesaian.

 

Kerajaan harus memastikan Pelan Struktur bagi setiap bandar dapat menyediakan zon-zon yang diwajibkan untuk dijadikan tanah-tanah perkuburan bagi semua rakyat, biarpun mereka orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan penganut agama yang lain.

 

Petronas harus diletak kawalan Parlimen untuk mewujudkan ketelusan dalam mengurus sumber petroliam negara.

 

Bajet 2005 telah mengelakkan dari memberi satu jawapan yang dinanti-nantikan oleh rakyat jelata iaitu sama ada kerajaan akan naik harga petroliam. Anihnya Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tidak menggunakan Bajet 2005 untuk menjelaskan isu yang amat penting ini dan perlu mengadakan siding akhbar tiga hari selepas pembentangan Bajet 2005 untuk menerangkan kemungkinan harga petroliam akan naik 10 sen hingga 20 sen pada akhir tahun ini.

 

Harga petroliam adalah satu faktor yang amat mempengaruhi perjalanan ekonomi negara dan kalau Bajet 2005 tidak dapat menangani isu ini, di manakah kewibawaan Bajet 2005 untuk memberi gambaran yang sebenar kepada hasil dan impak ekonomi yang akan menjejaskan pelbagai sektor perindustrian, pengangkutan dan penggunaan?

 

Bolehkah kerajaan menjustifikasikan kenaikan harga petroliam? Malaysia adalah sebuah negara mengeluarkan minyak dan sepatutnya dapat mengautkan keuntungan yang besar akibat kenaikan harga minyak sedunia. Kerajaan patut menggunakan keuntungan yang sudah bertambah untuk terus mengekalkan paras harga minyak sekarang demi memberi manfaat kepada semua rakyat dan tidak patut menaikkan harga minyak yang akan membebankan rakyat dan menimbulkan inflasi dalam negara.

 

Tambahan pula kenaikan harga minyak akan menambah kos pengeluaran dan ini sememangnya akan menjejaskan  kadar persaingan ekonomi kita.

 

Selama ini pengurusan minyak negara adalah tidak telus kerana Petronas tidak perlu dipertanggungjawabkan di Parliamen dan kita tidak dapat mengawal keputusan dan pengendalian pelaburan dan wangnya. Ada pihak yang mendakwa  Petronas telah menjualkan sumber minyak negara dalam “future market” dan oleh itu, kenaikan harga minyak antarabangsa tidak ada membanyak manfaat kepada negara. Adakah ini benar, adakah ini satu strategi pasaran yang bijak. Apakah peranan Tun Mahathir Mohamed sebagai penasihat Petronas?

 

DAP menggesa supaya Petronas diletakkan di bawah kawalan Parlimen untuk memastikan ada ketelusan dalam mengurus sumber minyak negara. Saya menyeru Menteri Kewangan untuk menggunakan forum Parlimen untuk mempertahankan pendirian dan dasar kerajaan mengenai harga minyak dan pengurusan Petronas. Saya mengingatkan kerajaan selagi isu harga minyak tidak ditangani, bajet 2005 akan kurang wibawa untuk mengurustadbir ekonomi dan kewangan negara.

 

Memperkasakan perang mengatasi gejala rasuah dengan mengambil tindakan tegas.

 

Pentadbiran Perdana Menteri telah menyatakan keutamaan akan diberi kepada usaha memajukan nilai etika dan tadbir urus serta memerangi gejala rasuah. Cabaran ini amat besar kepada Perdana Menteri dan susah mencapai kejayaan sekiranya ia tidak mendapat restu dan kerjasama oleh semua termasuk seluruh jentera kerajaan, pemimpin kerajaan sehingga kepada rakyat jelata yang biasa. Pelancaran pelan Integriti Nasional ( PIN ) adalah satu permulaan sahaja dan tidak menjadi gantian kepada usaha sebenar untuk memajukan nilai etika dan menerangi gejala rasuah.

 

Kepimpinan Melalui Tauladan haruslah diberi makna yang sebenar. Seorang Setiausaha Parlimen digantung keahlian UMNO kerana mengamalkan politik wang masih mengambil tempat di dalam pentadbiran Perdana Menteri, apakah ini kejujuran sebenar untuk memajukan nilai etika serta memerangi gejala rasuah.

 

Adakah Jemaah Menteri telah isytiharkan harta kepada Perdana Menteri dan adalah semua anggota pentadbiran tidak lagi memegang jawatan ahli Lembaga pengarah atau menerima sebarang gaji, ganjaran, keuntungan atau faedah kewangan dalam mana-mana organisasi komersial, perindustrian dan perniagaan.

 

Kalau benar-benar mengutamakan nilai etika dan tadbir urus serta memerangi gejala rasuah, bolehkah Perdana Menteri memberitahu Dewan apakah tindakan yang sudah diambil tentang skandal hutang RM 100 juta kepada pembekal-pembekal bahan-bahan yang dibekalkan kepada calon-calon Barisan Nasional dalam kempen pilihanraya umum tahun 2004. Jangan buat tak tahu sahaja!

 

Inilah sedikit ujian kepada keutuhan Perdana Menteri untuk menegak pentadbiran yang bebas dan mempunyai toleransi sifar kepada gejala korupsi serta mempertingkatkan tahap integriti nasional.

 

Masalah disiplin dalam pasukan polis perlu ditangani habis-habisan

 

DAP menyambut baik keazaman kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat dengan kadar jenayah yang rendah lagi terkawal. Kami juga bersetuju dengan langkah kerajaan untuk menyediakan  kelengkapan yang canggih, alat komunikasi dan kereta berkelajuan tinggi, di samping kemudahan dan pembaikan bangunan serta pelarasan gaji skim Perkhidmatan Polis.

 

Boleh dikatakan seluruh negara menyambut baik peruntukan Bajet 2005 ini dan saya mendapati seorang kakitangan polis yang memberi respon di suratkhabar bahawa beliau berharap dengan kenaikan gaji, polis tidak perlu menerima wang rasuah. Ini satu kenyataan yang amat berani tetapi jujurnya. Pertikaian di antara Pengerusi Suruhanjaya DiRaja Penambahan Baik Perjalanan dan Pengurusan Polis Di Raja Malaysia dengan Timbalan Ketua Polis Negara mengenai wujudnya rasuah di semua peningkat polis haruslah menyedar kita bahawa cabaran yang negara hadapi adalah amat genting.

 

Secara jujur, saya menyambut baik pimpinan Perdana Menteri dalam memenangi isu ini kerana kita tidak boleh membiarkan gejala rasuah ini menjadi penyakit kanser yang merosakkan masyarakat dan masa depan negara ini.

 

Sebenarnya Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 140 telah memperundangkan penubuhan Suruhanjaya Pasukan Polis (Police Service Commission) dan laporan tahunan dibentangkan setiap tahun dalam Parlimen. Masalah disiplin pasukan polis adalah satu perkara yang membimbangkan dan harus ditangani. Laporan Suruhanjaya Pasukan Polis ini mencatatkan bahawa bagi setiap tahun, tindakan disiplin diambil terhadap 1000 ke atas kakitangan dan pegawai polis setinggi pangkat Asst. Commissioner of Police setiap tahun. Jumlah yang terbabit merupakan 1 hingga 1.5 peratus seluruh tenaga pasukan polis. Apa yang membimbangkan, antara sebab tindakan disiplin termasuk tindakan mahkamah diambil adalah kerana kesalahan seperti amalan rasuah, melakukan rompakan, paras ugut, samun, dadah, kesalahan seks seperti rogol dan sebagainya.

 

Semua ini berlaku secara tetap bagi sepanjang tahun-tahun kebelakangan ini. Masalah ini sudah wujud sekian lama dan ia akan bertambah buruk selagi kita mengalami sikap penafian.

 

Hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan selamat tidak akan tercapai selagi gejala rasuah dan masalah disiplin dalam pasukan polis dan penguatkuasa undang-undang tidak di atasi keramna ianya penghalang utama kerana masyarakat yang sifar jenayah.

 

Saya melihat kejujuran perdana Menteri dalam usaha membanteras gejala-gejala negative dalam pasukan penguatkuasaan undang-undang  dan saya berharap kejujuran Perdana Menteri ini dapat menyedar dan menginsaf seluruh masyarakat kita untuk berganding bahu menangani musah-musah negara kita.

 

Mangsa rogol memerlukan sokongan dan undang-undang yang melindungi mereka.

 

Pada 7hb September yang baru lalu, Peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah membawa berita buruk bahawa beliau perlu menarik balik banyak kes mahkamah mengenai kesalahan rogol kerana keputusan mahkamah Rayuan yang memutuskan tarikh-tarikh spesifik harus dicatatkan dalam penuduhan kes.

 

Perkembangan ini haruslah mendapat perhatian Perdana Menteri kerana mangsa rogol memerlukan sokongan kita dan undang-undang yang dapat melindungi mereka. Saya ingin menyeru perdana Menteri mengarah supaya Peguam Negara mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada undang-undang kita.

 

Kalau diperlukan, Kanun Prosedur Jenayah haruslah dipindakan untuk mengatasi masalah yang timbul. Kenyataan Peguam Negara untuk menggugurkan kes-kes rogol ini haruslah dipandang berat sebab ianya bukan jawapan yang diharapkan oleh mangsa rogol dan jenayah seksual yang memerlukan undang-undang yang lebih baik.

 

Keputusan Mahkamah Rayuan itu baruslah menjadi satu ajaran dan cabaran kepada pihak polis dan jabatan Peguam Negara untuk menambah baik kerja-kerja pendakwaan dan penyiasatan dan juga menggunakan sains forensic untuk membantu mereka.

 

Manfaat Persaraan harus ditingkatkan untuk menjaga kepentingan warga emas.

 

Rakyat negara kita kini menikmati jangka hayat yang lebih panjang dan sampai masa kerajaan menilai sama ada sejauh manakah manfaat persaraan mencukupi oleh warga emas kita.

 

Saya menyeru kerajaan melakukan kajian atas peranan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk menyediakan manfaat persaraan yang mencukupi. Mengikut statistic KWSP, kebanyakan warga emas mengahadapi suatu masalah yang sesuai di mana caruman yang boleh digunakan selepas bersara cuma boleh mencukupi untuk satu tempoh kurang dari 5 tahun. Apa yang akan berlaku kepada warga emas yang tidak mempunyai simpanan atau peluang pendapatan selepas persaraan mereka.

 

Saya berharap KWSP dapat mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk menghadapi kemungkinan ini.

 

Saya juga ingin KWSP mengambil langkah untuk menambah penglibatan golongan yang bekerja sendiri yang tidak diperlukan untuk membuat pencaruman secara mandatory oleh undang-undang.

 

Saya menggasa KWSP untuk mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan satu skim caruman khas untuk golongan bekerja sendiri atau majikan di mana bilangan mereka berjumlah hamper 20 peratus dari jumlah populasi bekerja dan kalau skim persaraan ini dilancarkan ia akan membawa manfaat kepada seramai satu juta orang dan ianya akan menambah berbilion-bilion setiap tahun kepada dana pengurusan dan juga membawa impak kepada ekonomi negara.

 

Menggesa Perdana Menteri membetulkan ketidakadilan dalam urusan pampas an bagi tanah-tanah yang diambilalih untuk projek Penang Outer Ring Road (PORR)

 

Perdana Menteri telah menyatakan kerajaan telah menyusun semula jentera pentadbiran Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan dan juga memperkenalkan Strategi baru Urusan Pentadbiran Tanah pada bulan Mac 2004.

 

Saya ambil kesempatan ini untuk menggesa Perdana Menteri untuk membetulkan ketidak adilan dalam urusan pampas an bagi tanah-tanah yang dicatangkan untuk diambilalih untuk projek Penang Outer Ring Road khususnya yang membabitkan tanah-tanah milikan sebuah syarikat pemaju perumahan Strongkota Sdn. Bhd yang terletak di Cangkat Delima 3, Island Glades Seksen 5 dalam Bandar Georgetown iaitu di kawasan Parlimen Bukit

Bukit Gelugor.

 

Dalam jawapan kepada soalan saya pada 20hb Julai 2004, kerajaan memberi jaminan proses pengambilan balik tanah dilaksanakan dengan adilnya berdasarkan pruntukan sedia ada dan penilaian yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah atas nasihat jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta Negeri.

 

Akan tetapi, hakikatnya adalah sebaliknya di mana tawaran sebanyak RM 50 satu kaki persegi bagi tanah-tanah ini adalah jauh rendah mengikut piawaian yang dilaporkan oleh jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta dan juga tanah-tanah bersebelahan yang diberi nilai dan pampas an lebih kurang RM 100 satu kaki persegi.

 

Syarikat ini adalah mangsa kepada tanah-tanah yang sudah mendapat Planning Aproval untuk projek perumahan telahpun debekukan sejak tahun 1997 dan sepanjang tujuh tahun ini syarikat ini hilang peluang memaju tanahnya, tidak dapat faedah kewangan dan perlu memikul beban membayar faedah pinjaman dari bank dan akhirnya pengaruhnya akan menghadapi saman kebankrapan.

 

Anihnya, pihak berkuasa telah menawarkan nilai pampas an mengikut nilai pasaran iaitu lebih kurang RM 100 satu kaki persegi dalam tahun 2001 tetapi membalikkan keputusan kerana masalah peruntukan yang disedia adalah tidak mencukupi.

 

Ini memang satu kes di mana pemilik syarikat dianaiyai dan saya mohon perhatian Perdana Menteri untuk membetulkan ketidak adilan dalam kes ini. 

 

Penswastaan

 

Akhirnya, saya berpendapat Bajet 2005 membawa mesej bahawa seluruh rakyat perlu “Bekerja Keras dan Bekerja Secara Pintar” dan keempat-empat strategi menuntut perubahan budaya yang amat besar termasuk mengubah dan penilaian semula proses-proses kerja, penukaran mindset dan juga pemindahan cirri-ciri kelakuan dalam tenaga sumber manusia kita.

 

Inilah satu agenda yang amat berat dan saya sokong apa juga tindakan yang dapat memastikan negara dan rakyat Malaysia dapat maju dan survive dalam dunia yang sudah globalised ini. 

 

Ulangkaji Rancangan Penswastaan

 

Saya menggesa pihak kerajaan mempercepatkan lagi ulangkaji terhadap rancangan penswastaan khususnya penswastaan pembinaan lebuhraya dan system pungutan tolls.

 

Tidak dinafikan dalam dua dekad ini, Malaysia telah dapat mengembangkan system lebuhraya dengan cepatnya yang telah memberi manfaat seperti pengangkutan barangan dan penumpang yang lebih cepat, membolehkan “connectivity” di seluruh negara dan juga kemunculan pusat-pusat pembangunan yang baru.

 

Akan tetapi, penswastaan lebuhraya juga menimbulkan pelbagai kontroversi, khususnya mengenai gejala dinamakan “privatization of profits, socialization of losses”.

 

Pihak kerajaan telah mengambil jalan untuk memberi pampasan kepada syarikat konsessi supaya kadar tol tidak dinaikkan. Langkah sedemikian telah memberi tekanan Bajet yang amat berat kepada negara, ini sememangnya bercanggah dengan prinsip penswastaan dan tujuan utama untuk membebaskan tanggungan kerajaan.

 

Kita lihat setiap tahun kerajaan perlu menanggung RM 1 billion untuki memberi subsidi kepada syarikat konsessi. Kita kena Tanya apakah subsidi ini memberi manfaat kepada pengguna jalanraya ataupun cuma untuk membolehkan syarikat konsessi mencapai prestasi kewangan yang lebih baik.

 

Akhirnya, pembayar cukai yang perlu memikul beban kewangan ini.

 

Saya menggesa kerajaan menimbang kemungkinan untuk menggunakan wang rakyat bukan untuk membayar pampasan kepada syarikat konsessi tetapi untuk membeli balik konsessi sebahagian lebuhraya ataupun seluruh lebuhraya yang diswastakan. Ini boleh dilakukan secara peningkatan ke peringkat dan akhirnya lebuhraya-lebuhraya boleh dipulangkan kepada pemilikan negara dan rakyat dan tol-tol minima sahaja dikenakan untuk tujuan penyelenggaraan sahaja

 

 
(
16/9/2004)


* Chow Kon Yeow,  Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Tanjong