-
Klausa 2.3.1 Penduduk dan potensi
pembanguan ekonomi
Dalam RSN Selangor ini, telah
digariskan bahawa demi mewujudkan pembangunan seimbang di Negeri
Selangor, pengagihan penduduk ke luar Wilayah Lembah Klang (WLK)
adalah diperlukan supaya penduduk-penduduk tidak hanya tertumpu di
sesuatu tempat sahaja.
Cadangan DAP Selangor: Di
samping mengagihkan penduduk ke luar WLK, kerajaan negeri juga perlu
berikhtiar bersama-sama dengan Majlis Perancang Fizikal Negara supaya
kemasukan penduduk dari negeri-negeri yang lain dapat dikurangkan. Ini
secara tidak langsung dapat mengurangkan beban Kerajaan Negeri
Selangor. Ini dapat dilakukan dengan mewujudkan misalnya
peluang-peluang pekerjaan di negeri-negeri lain ataupun mendirikan
lebih banyak IPT di negeri lain.
-
Klausa 2.3.2 Aset dan potensi
pembangunan sektoral.
ii. Tanah pertanian yang
sesuai
Cadangan DAP Selangor: Kerajaan
Negeri Selangor perlu memperluaskan sektor pertanian di negeri
Selangor demi mempelbagaikan kegiatan ekonomi di Selangor supaya tidak
hanya bergantung kepada sektor permbuatan dan sektor perindustrian
sebagai sumber pendapatan utama.
Ini amat diperlukan khususnya
apabila Pelaburan Langsung Luar Negara (Foreign Direct Investment)
merosot, ekonomi Selangor juga akan terjejas. Untuk mengurangkan impak
dan kesan negatif ini, ekonomi Selangor mestilah berbentuk mandiri
(self-sustain) di mana dalam ekonomi Selangor dapat menjana kekayaan
dan pendapatan sendiri walaupun dalam keadaan ekonomi yang kritikal
yang disebabkan khususnya oleh kemerosotan dalam FDI.
Oleh itu, pembangunan aktiviti
pertanian khususnya kegiatan agro-industri merupakan satu strategi
untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi Selangor.
iii. Pembangunan yang telah
diluluskan (komited)
Dinyatakan dalam Klausa ini
ialah terminologi “pembangunan campur”.
Cadangan DAP Selangor: Takrifan
jelas terhadap “pembanguan campur” perlu dimasukkan dalam RSN
Selangor. Perlu dijelaskan juga adakah “pembanguan campur” turut
melipatkan pembinaan kawasan perumahan berkepadatan tinggi, contohnya
pembinaan kondominium dan rumah pangsapuri.
Ini adalah diperlukan kerana
kekeliruan akan mudah tertimbul dan ini akan menyebabkan
ketidakselarasan, khususnya apabila ianya dilaksanakan di peringkat
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
iv. Rangkaian perhubungan darat
yang menyeluruh.
Cadangan DAP Selangor: Negeri
Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah lebuhraya bertol yang
terbanyak di Malaysia. Ini merupakan satu beban ekonomi yang amat
berat kepada rakyat Selangor. Tambahan pula, kutipan tol akan
dinaikkan dengan dari semasa ke semasa.
Rajah 4.2 RSN Selangor telah
memaparkan semua cadangan jalanraya dan lebuhraya yang akan dibina.
Kerajaan Selangor juga perlu mengemukakan sebarang cadangan lain
daripada syarikat swasta untuk membina lebuhraya bertol di Selangor,
yang tidak sempat dimasukkan ke dalam RSN Selangor. Kerajaan Negeri
Selangor perlu mengemukakan status pertimbangannya pada masa
sekarang.
Selain daripada rangkaian
jalanraya/lebuhraya, Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan
rangkaian pengangkutan rel/LRT dan KTM Komuter di kawasan-kawasan
perbandaran baru untuk mengurankan kesesakan lalulintas di
kawasan-kawasan ini seperti kawasan Puchong, Subang Jaya, Shah Alam
dan Klang.
SPNB perlu diminta untuk
memainkan peranan penting dalam merancang, menstruktur dan
mengintegrasi segala bentuk pengangkutan awam di Selangor supaya
pembinaan sistem pengangkutan rel/LRT ini dalam disepadukan dengan
perkhidmatan bas.
vii. Pembangunan Teknologi
Maklumat.
RSN Selangor antara lain turut
menjadikan kawasan sekitar Cyberjaya, Dengkil, Bandar Baru Salak
Tinggi dan Sg Merab di Daerah Sepang sebagai Zon Koridor Raya
Multimedia. Walaupun begitu, RSN Selangor tidak meletakkan apa-apa
sasaran dalam penembusan broadband (broadband penetration) di seluruh
Selangor menjelang tahun 2020.
Cadangan DAP Selangor: Sasaran
ini perlu diletakkan. Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bermegah
dengan “Status Negeri Maju”nya, maka tiada sebab mengapa RSN Selangor
tidak meletakkan sebarang sasaran dalam bidang ini.
Selain daripada mengumumkan
perangkaan penembusan broadband pada tahun 2005, DAP Selangor ingin
mencadangkan bahawa penembusan broadband berdasakan bilangan isi-rumah
dapat menjangkau 50% pada tahun 2010 dan 80% pada tahun 2020.
-
Klausa 2.4.2 Pembanguan ekonomi.
Cadangan DAP Selangor:
Pembanguanan ekonomi negeri Selangor kelihatan amat tertumpu dalam
sektor pembinaan dan pembuatan. Kerajaan Negeri Selangor perlu membuat
perancangan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan sumber
pendapatan kerajaan negeri.
Selain itu, dalam Jadual 2.7,
diperhatikan bahawa keperluan keluasan tanah perindustrian di setiap
daerah di negeri Selangor pada tahun 2000, 2005 dan 2010 menunjukkan
pola perubahan yang tidak stabil (berubah-ubah) dan drastik. Misalnya
untuk daerah Hulu Selangor, keperluan keluasan tanah perindustrian
pada tahun 2000 ialah 6308 hektar tetapi ianya merosot dengan mendadak
ke paras 414 hektar pada tahun 2005 dan kemudian dijangka meningkat ke
673 hektar pada tahun 2010.
Untuk tanah pertanian,
keluasannya pula semakin menurun seolah-olah kerajaan negeri tidak
ingin beikhtiar untuk mengembangkan sektor pertanian di Selangor.
DAP Selangor dengan itu meminta
Jabatan Perancang Negeri (JPN) untuk menjelaskan fenomena ini.
-
Klausa 2.4.3 Pembanguan sosial.
Dalam Rajah 2.10, ditunjukkan
unjuran keperluan sekolah di negeri Selangor dari 2000 hingga 2020.
Dalam Rajah 2.12, ditunjukkan unjuran keperluan keluasan tanah
(hektar) untuk pembinaan premis keagamaan di negeri Selangor dari 2000
hingga 2020.
Cadangan DAP Selangor: Kerajaan
Negeri Selangor harus memberi bilangan SJK(C) dan SJK(T) yang akan
dibina di negeri Selangor pada masa depan. Perangkaan yang ditunjukkan
dalam RSN Selangor juga perlu memberi pecahan bilangan Sekolah
Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
DAP Selangor berpendapat bahawa
terdapat keperluan yang semakin meningkat terhadap sekolah aliran
SJK(C) dan SJK(T) khususnya di Ampang, Selayang, Petaling Jaya, Klang,
Puchong dan Subang Jaya. Dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor harus
membina sekolah mengikut keperluan setempat.
Cadangan DAP Selangor: DAP
mendapati bahawa terdapat jurang perbezaan yang besar di antara
masjid, surau, gereja, kuil dan tokong, di mana hampir 90% daripada
keluasan tanah untuk pembinaan premis keagamaan diperuntukkan kepada
pembinaan masjid dan surau.
Pada masa sekarang, kebanyakan
premis keagamaan bukan Islam terpaksa ditempatkan di rumah teres dan
atau kedai rumah. Kesemua premis keagamaan ini perlu diberi tempat
tetap untuk menjalani aktiviti keagamaan mereka. Tambahan pula,
sesetengah aktiviti keagamaan ini mungkin akan mengganggu ketenteraman
jiran.
DAP Selangor berpendapat bahawa
nisbah keperluan keluasan tanah untuk pembinaan premis agama bukan
Islam perlu dipertingkatkan memandangkan lebih kurang 40% daripada
penduduk di Selangor merupakan bukan Muslim.
-
Klausa 3.3 Sasaran Negeri Selangor
Maju Sejahtera.
Jadual 3.2 memaparkan pendapatan
KDNK per kapita Selangor pada tahun 2000, 2005 dan 2020. Jadual 3.3.
juga memaparkan sasaran negeri Selangor Maju bagi sektor penduduk dan
perancangan sumber manusia, 2005 – 2020.
Cadangan DAP Selangor:
Sebenarnya, statistik penting seperti jurang perbezaan di antara yang
terkaya dengan yang termiskin juga perlu ditunjukkan di sini kerana
ianya adalah lebih bermakna daripada sekadar pendapatan KDNK per
kapita. Ini dapat menunjukkan setakat mana kekayaan di Negeri Selangor
ini dibahagikan dengan adil saksama.
Jadual 3.3 memaparkan bahawa
kerajaan Negeri Selangor mensasarkan kadar pengangguran yang meningkat
setiap tahun. Malahan, perangkaan mutlak juga menunjukkan peningkatan
yang dahsyat, iaitu daripada 138,270 orang pada tahun 2000 (3.3%
daripada 4.19 juta orang penduduk) kepada 270,100 (3.7% daripada 7.30
juta orang penduduk) orang pada tahun 2020.
DAP Selangor dengan itu meminta
Jabatan Perancang Negeri (JPN) untuk menjelaskan fenomena ini.
-
Klausa 3.5 Zon-zon pembangunan.
Cadangan DAP Selangor:
Memandangkan Zon Wilayah Lembah Klang merupakan gugusan kawasan
perbandaran yang sedia ada, maka apabila RSN ini menyatakan bahawa
“pendekatan pembangunan bandar mesti menekankan kaedah “infilling”
atau pembangunan semula di kawasan sesak dan usang”, kerajaan negeri
Selangor harus mengelakkan pembinaan kawasan perumahan berkepadatan
tinggi (high density residential area) di tempat yang memang sering
mengalami kesesakan lalulintas.
-
Klausa 6.0 Pelaksanaan
Bahagian ini telah menyatakan
bahawa RSN hanya sebagai sebuah dokumen panduan kepada semua jabatan
kerajaan dan orang awam dalam memajukan Negeri Selangor.
Bahagian ini juga menyatakan
bahawa semua Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) di Selangor
merupakan agensi pelaksana utama RSN Selangor. Dinyatakan juga dalam
Klausa 6.5 Pemantauan bahawa proses pemantauan dilakukan oleh JPBD
Negeri secara berterusan.
Cadangan DAP Selangor:
1.
Supaya
DUN Selangor menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemilihan berkenaan dengan
RSN Selangor yang turut dianggotai oleh ADUN Pembangkang dan
membentangkan satu laporan kepada DUN untuk diperbahaskan.