YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri Malaysia,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
2 Ogos 2005.
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya.
Fax: 03-88883975
Yang Amat Berhormat Datuk Seri,
Perlunya Mengadakan Pemilihan
Demokrasi Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Berikutan Kes Ahli-ahli
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Berhutang Cukai Pintu Dan
Sewa Dan Penyalahgunaan Kuasa Dan Amalan Double-standard Dalam
Penguatkuasaan.
Saya terkejut dengan pendedahan Datuk
Bandar MBMB Datuk Zaini Md Nor dalam suratkhabar hari ini bahawa ada
seorang ahli MBMB berhutang cukai pintu selama 4 tahun sebanyak RM
14,000 untuk dua hartanahnya. Ini adalah kes kedua seorang ahli MBMB
berhutang kepada MBMB selepas pendedahan seorang lagi ahli MBMB yang
lain, Encik Md Sani bin Jantan, berhutang sewa sebanyak RM 41,000
untuk sebuah kiosk MBMB di Hang Tuah Mall.
Jelas sekali, pentadbiran kerajaan negeri
Melaka di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam penuh dengan
penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan kewangan. Sebagai ahli MBMB,
mereka seharusnya menunjukkan teladan kepemimpinan yang baik.
Sebaliknya hutang dikelilingi pinggang kepada MBMB tanpa sebarang
tindakan tegas menimbulkan dua soalan.
Satu, bagaimanakah YAB Ketua Menteri
boleh melantik orang yang tidak berkelayakan, tidak berwibawa atau
mempunyai kredibiliti baik untuk menjadi ahli MBMB. Encik Md Sani bin
Jantan hanya melepaskan jawatannya secara terpaksa selepas pendedahan
hutang sewanya oleh pihak kami. Jawatan ahli kerajaan tempatan
sepatutnya berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mendapat layanan khas
atau elaun atau gaji buta tanpa membuat kerja seperti yang berlaku
sekarang.
Ini menunjukkan bahawa sistem lantikan
yang diamalkan sekarang dijalankan bukan atas menfaat dan kepentingan
rakyat tetapi semata-mata sebagai habuan politik. Sistem lantikan yang
disalahgunakan untuk kepentingan politik tidak berfungsi. Oleh
demikian, ahli kerajaan tempatan seharusnya dipilih secara langsung
oleh rakyat untuk membolehkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan
ditegakkan.
Kedua, mengapakah pihak kerajaan tempatan
tidak mengambil tindakan tegas menghadapkan kedua-dua ahli MBMB ke
mahkamah kerana gagal membayar sewa dan cukai pintu. Tindakan memotong
elaun ahli MBMB sebanyak RM 500 sebulan sehingga hutang cukai pintu
ini dilangsaikan sungguh tidak memuaskan kerana hartanah orang biasa
akan terus disita selepas notis membayar cukai pintu dalam masa 15
hari dikeluarkan mengikut seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan.
Sikap double-standard ini harus dikecam
kerana melanggar peruntukan kesamarataan Perkara 8 Perlembagaan
Perseketuan yang berbunyi,
“Semua orang adalah sama rata di sisi
undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi
undang-undang.”
Mengapa ahli MBMB dibenarkan bayar secara
ansuran sebanyak RM 500 sebulan untuk menjelaskan tunggakan cukai
pintu dalam masa 28 bulan sedangkan hartanah orang biasa akan terus
disita? Jelas sekali sikap double-standard sedemikian dalam
penguatkuasaan undang-undang yang haram di sisi undang-undang dan
Perlembagaan Malaysia boleh digambarkan sebagai layanan istimewa
kerana kedudukan mereka sebagai ahli MBMB.
Pendedahan Kepincangan Projek Kerajaan
Melaka Menyebabkan Butiran Terperinci Projek Kerajaan Tidak
Diberikan Dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka.
Sebelum ini Pejabat Tanah Daerah Melaka
Tengah dan Jasin serta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis
Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Daerah Jasin telah gagal
menguatkuasakan undang-undang dalam kutipan tunggakan cukai pintu dan
cukai tanah berpuloh-pulohan tahun untuk bangunan milikan UMNO dan
MCA.
Di samping itu, badan-badan berkanun itu
juga lalai dan tidak bertanggungjawab bila gagal menghormati
undang-undang dengan tidak melaksanakan rampasan hartanah milikan UMNO
dan MCA kerana gagal membayar cukai. YAB Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi pernah memberikan amaran kepada kerajaan negeri
agar mengutip tunggakan cukai pintu dan tanah sebanyak RM 2 billion
supaya dapat menyalurkannya kepada projek pembangunan tanpa bergantung
kepada bantuan kerajaan Persekutuan.
Dalam jawapan kepada YB Ketua Pembangkang
Dewan Undangan Negeri Melaka
dan ADUN Kawasan Kota Laksamana Betty Chew Gek Cheng pada 26hb Oktober
2004 dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka, YAB Ketua Menteri
Melaka Datuk Mohd Ali Rustam mendedahkan bahawa parti politik BN
berhutang sebanyak RM 140,828.69 dalam cukai pintu dan tanah
seperti berikut:
-
UMNO Kota Melaka berhutang cukai tanah
sepanjang 25 tahun sejak 1979 sebanyak RM 30,921.70.
-
Bangunan UMNO Jasin berhutang cukai
pintu selama 18 tahun sebanyak RM 83,701.15;
-
UMNO Selandar berhutang cukai tanah
selama 9 tahun sejak 1995 sebanyak RM 25,152.10;
-
UMNO Alor Gajah berhutang cukai pintu
RM 190-00; dan
-
MCA Alor Gajah berhutang cukai pintu
sebanyak RM 863.74.
Adalah sungguh mengejutkan macam mana
UMNO Kota Melaka boleh dibenarkan tunggakan cukai tanah selama 25
tahun sebanyak RM 30,921.70 dan juga UMNO Jasin berhutang cukai pintu
selama 18 years sebanyak RM 83,701.15 tanpa sebarang tindakan diambil.
Sungguhpun sebahagian hutang ini telah dilangsaikan oleh UMNO dan MCA
selepas dikritik oleh pihak kami, soalannya sekiranya parti
pembangkang seperti DAP tidak tahu, perkara ini akan lenyap sama
sekali.
Jelas sekali ini merupakan kes
penyalahgunaan kuasa bila ada tanah di Melaka yang dirampas oleh
kerajaan negeri sungguhpun hanya tidak membayar cukai tanah selama 2
tahun! Macam mana kerajaan negeri boleh memperbaiki kutipan tunggakan
cukai pintu atau cukai tanah bila parti politik BN menikmati kekebalan
undang-undang daripada membayar cukai pintu dan cukai tanah
berpuloh-puloh tahun tanpa bimbang hartanah mereka dirampas bila tanah
orang biasa boleh dirampas hanya kerana gagal bayar 2 tahun?
Berikutan dengan expose dan pendedahan
ADUN-ADUN DAP dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka, YAB Ketua
Menteri telah mengambil sikap “menutup” pelung di dada dengan enggan
memberikan sebarang maklumat ke atas soalan-soalan yang ditujukan
dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka. Ini berlawanan dengan
semangat demokrasi dan memperkecilkan Dewan Undangan Negeri sebagai
cop getah di mana butiran-butiran lanjut projek kerajaan negeri tidak
diperjelaskan.
Adalah diharapkan YAB boleh mengambil
tindakan untuk memulihkan demokrasi dalam pemilihan ahli majlis
kerajaan tempatan, mengembalikan ketelusan dan akauntabiliti dalam
perjalanan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka supaya memberikan
maklumat berkepentingan awam serta mengambil tindakan ke atas
kepincangan yang berlaku dalam badan penguatkuasaan kerajaan tempatan
dan pejabat daerah di Melaka.
Sekian terima kasih.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG DAP
|