http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Tangguhkan Projek Perintis - Penggunaan Senjata Api M 16 di Program Latihan Khidmat Negara


Kenyataan Akhbar
oleh Fong Po Kuan

(Perak, Rabu): Semalam, Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak telah dilaporkan meluahkan kekecewaannya dan mendakwa bahawa isu penggunaan senjata api untuk peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dibesar-besarkan sedangkan kadet-kadet tentera dan polis di sekolah turut menggunakan senjata api semasa latihan.

Saya merasa kesal kerana  Najib langsung menyedari bahawa orangramai, terutamanya sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara (PPKN) adalah lebih kecewa terhadap Kementerian di bawah pimpinannya yang gagal menjelaskan mengapakah penggunaan senjata api di PLKN, walaupun hanya satu projek  perintis perlu dilaksanakan secara senyap-senyap dan tidak diterangkan tujuannya atau diminta pandangan daripada  orangramai terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan?

Saya dan ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan (PPKN)  yang diketuai oleh Menteri dari Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili sebagai Pengerusi PPKN, turut berada di dalam kegelapan berkenaan projek perintis tersebut.

Pada bulan Jun yang lalu, ketika cadangan menggunakan senjata api, M16 untuk peserta PLKN dilaporkan oleh media, Jawatankuasa Pilihan Khas PPKN yang sedang mengadakan pendengaran awam di Kuching, Sarawak, telah menerima maklumbalas yang negatif berkenaan penggunaan M16 di PLKN tersebut.  Malahan, satu kenyataan akhbar turut telah dikeluarkan oleh Dr Maximus Ongkili bagi meredakan kerisauan orangramai dengan menyatakan  bahawa ia hanya sekadar cadangan dan berkemungkinan tidak akan diterima.

Walaupun Najib menyatakan bahawa ia hanya satu projek perintis, tetapi ia telah dilaporkan bahawa  modul untuk penggunaan senjata api sedang dikemaskinikan kerana maklumbalas yang diterima oleh Jabatan Khidmat Negara daripada para pelatih yang telah melalui cubaan menembak,  adalah positif.  Oleh itu, ia berkemungkinan akan dilaksanakan pada tahun akan datang.

Saya, sebagai ahli Jawatankuasa Pilihan Khas PPKN, telah dimaklumkan bahawa tujuan pelatih diajar menggunakan senjata adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme.  Akan tetapi, Najib pula menyatakan bahawa ia adalah untuk mengajar pelatih membina keyakinan diri dan displin diri.  Persoalan di sini, sejauh manakah setiap pelatih dengan diberi peluang menembak 30 butir peluru hidup selepas 2 hari teori, tujuan tersebut dapat dicapai?

Ketika menjawab perbahasan Rang Undang-undang Latihan Khidmat Negara 2003 di Parlimen pada bulan Jun 2003, Najib telah menegaskan bahawa Program ini bukan berbentuk kerahan tenaga.

Sejak perlaksanaan PLKN ini, semakin hari dilihat elemen-elemen ketenteraan mula digunapakai, selain kehadiran tentera , yang kononnya untuk mengawal displin, bekas tentera turut diambil bagi mengetuai kem-kem PLKN.  Kini pula,  pengajaran penggunaan senjata M16.

Saya menyeru Najib agar menangguhkan projek perintis ini sehingga laporan interim daripada Jawatankuasa Pilihan Khas PPKN ini dikemukakan ke Parlimen pada akhir tahun ini yang turut mengandungi maklumbalas orangramai yang menghadiri proses pendengaran awam PPKN ini.  Pada masa yang sama, adalah perlu pandangan orangramai yang lebih menyeluruh perlu  diambil berkenaan keperluan anak-anak muda ini diajar mengendalikan senjata api M16 ini agar tidak timbul krisis keyakinan atau kerisauan keselamatan di kalangan ibubapa pelatih seperti yang berlaku ketika PLKN mula dijalankan.

Adalah perlu diperingati juga bahawa, hanya sekadar menyatakan bahawa maklumbalas daripada pelatih yang telah menjalani cubaan menembak 30 butir peluru hidup adalah positif dan mereka sukakannya serta tanpa paksaan, adalah tidak mencukupi bagi menyakinkan bahawa penggunaan M16 perlu dilaksanakan.  Malahan, ada dikalangan orang dewasa yang melancong ke negara jiran, turut sudi membayar bagi memperolehi keseronokan melepaskan tembakan.

Selain tujuannya, langkah-langkah keselamatan, berapakah perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk perlaksanaan pengajaran dan latihan mengendali senjata api ini di kem-kem PLKN?

(14/9/2005)


* Fong Po Kuan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP dan Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: