http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh dalam Perbahasan Rang Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 2005
 


Ucapan di Dewan Rakyat
oleh Teresa Kok

(Parlimen, Selasa): Adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menyara kehidupan isteri dan keluarga, dan bukan tanggungjawab isteri untuk menyara kehidupan suaminya. Tidak adil kini apabila tanggungjawab tradisional lelaki ini dikurangkan tetapi ditambah dengan hak moden (hak sama rata ke atas harta yang diperolehi oleh isteri).

1) Seksyen 23(9)(b)

Melalui peruntukan 23 (9) (b) dalam Rang Undang-Undang ini, seorang suami boleh memohon agar haknya ke atas harta sepencarian dibahagikan kepadanya apabila dia memohon untuk berpoligami. Suami yang tidak bertanggungjawab dibolehkan untuk menuntut harta isteri sedia ada atau mendakwa bahawa harta yang telah dahulunya diberi kepada isteri sedia ada masih merupakan bahagian harta suami atau mahukan rumah perkahwinan mereka dijual untuk mendapat wang bagi menyara isteri barunya.

Peruntukan ini juga memaksa isteri untuk memilih sama ada untuk menuntut harta sepencarian atau membuat tuntutan nafkah yang sememangnya merupakan kewajipan suami dalam Islam. Oleh itu, peruntukan ini yang menafikan hak wanita terhadap nafkah dan juga hartanya adalah bertentangan dengan Islam sama sekali.

Saya cadangkan supaya peruntukan seksyen 23 (9) dalam Rang Undang-Undang ini digantikan dengan yang berikut:

“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa, apabila memberi kebenaran untuk pihak suami berpoligami di bawah seksyen ini, atau atas permohonan seseorang isteri sedia ada yang suaminya berkahwin lain dengan melanggar peruntukan seksyen ini –

(a)        untuk menghendaki seseorang lelaki membuat pembayaran nafkah berkala kepada isteri atau isteri-isteri sedia ada dan anak-anaknya, dan boleh
mengeluarkan perintah potongan gaji atau apa-apa perintah lain mengenai perkiraan cagaran harta atau pendapatan untuk melaksanakan perintah
nafkah tersebut; dan

(b)        untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang didaftarkan dalam nama suami, yang diperolehi oleh pihak suami dan isteri hasil dari usaha
bersama mereka atau yang diperolehi oleh usaha tunggal pihak suami, dalam masa perkahwinan mereka sebelum perkahwinan baru pihak suami, dibahagikan sebahagiannya kepada pihak isteri atau isteri-isteri sedia ada,dan prinsip-prinsip pembahagian harta sepencarian hendaklah terpakai dengan
penyesuaian yang perlu bagi pembahagian aset untuk menjamin perlindungan kepentingan dan keadilan kepada pihak isteri sedia ada di bawah seksyen
ini.”

2) Seksyen 122

Peruntukan ini adalah amat tidak adil terutamanya kepada isteri yang tidak bekerja, tidak mempunyai apa-apa pendapatan atau telah melalui tempoh
perkahwinan yang lama. Bahasa yang digunakan dalam pembahagian harta sepencarian dalam seksyenbaru 122 dalam rang undang-undang ini ialah bahasa yang tidak mengira jantina (gender neutral language), iaitu mana-mana “pihak” dalam perkahwinan dan tidak disebut pihak “isteri’ atau pihak “suami”.

Bahasa tidak mengira jantina yang digunakan adalah sama dengan peruntukan pembahagian aset perkahwinan di bawah undang-undang sivil dalam Akta
Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 bagi penganut agama lain. Tetapi ini tidak adil dan mempunyai kesan diskriminasi ke
atas perempuan Islam kerana di dalam RUU tidak terdapat keseimbangan hak di antara pihak lelaki dan perempuan. Di bawah undang-undang keluarga
sivil, terdapat keseimbangan hak kerana proses perceraian tidak mengira jantina (gender neutral), sama ada pihak yang memohon perceraian itu pihak suami atau pihak isteri, mereka perlu melalui proses yang sama; dengan itu peruntukan pembahagian aset perkahwinan yang tidak mengira jantina adalah adil bagi mereka.

Undang-undang tradisional mengikut kebanyakan masyarakat, termasuk di Barat serta di Timur, memanglah mengutamakan hak pihak lelaki dalam
berbagai perkara, tetapi biasanya terdapatlah juga keseimbangan dengan melebihkan kewajipan lelaki.

NGO wanita telah menerima banyak aduan daripada pihak wanita Islam yang mengatakan mereka telah terpaksa bersetuju melepaskan tuntutan mereka
mengenai harta sepencarian agar mendapat persetujuan suami untuk perceraian. Malah terdapat juga aduan mengenai suami yang mengugut hendak
membuat tuntutan harta sepencarian terhadap harta yang sebenarnya harta isteri sekiranya isteri tidak mengikut kehendaknya mengenai terma-terma
perceraian itu.

Pihak isteri Islam berada dalam kedudukan tawar-menawar yang lebih lemah mengenai terma-terma perceraian kerana proses perceraian mengutamakan suami, tetapi pembahagian harta sepencarian pula tidak lagi mengutamakan isteri tetapi meletakkan suami isteri atas kedudukan yang sama.

Penggunaan bahasa yang tidak mengira jantina adalah tidak sesuai digunakan bagi RUU kerana ia mempunyai kesan diskriminasi terhadap wanita Islam.

Saya mencadangkan supaya ditambah peruntukan baru sebagai Seksyen 122 (6) yang berikut:

“(6) Berkenaan dengan harta sepencarian:
(a) apa-apa aset yang didaftarkan atas kedua-dua nama suami isteri hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian dan dibahagikan sama rata antara mereka;

(b) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama suami yang diperolehinya dalam tempoh perkahwinan hendaklah dianggap sebagai harta sepencarian di mana pembahagiannya adalah dua pertiga kepada pihak suami dan satu pertiga kepada pihak isteri kecuali jika -

(i)        suami itu membuktikan bahawa aset itu adalah hartanya sendiri; atau bahawa isteri patut diberi bahagian yang kurang daripada satu pertiga;
atau

(ii)        isteri itu membuktikan bahawa dia patut diberi bahagian yang lebih daripada satu pertiga;

(c) apa-apa aset yang didaftarkan atas nama pihak isteri, walaupun diperolehinya dalam tempoh perkahwinan, hendaklah dianggap sebagai hartanya sendiri kecuali jika pihak suami membuktikan bahawa aset itu adalah harta sepencarian di mana suami itu patut diberi bahagian yang tidak lebih daripada satu pertiga.”

3) Poligami dalam Seksyen 23 (4)(a) yang menggantikan perkataan “dan” yang terdapat selepas perkataan “adalahpatut” dengan perkataan “atau”
Perkahwinan poligami yang dicadangkan haruslah patut DAN perlu. Pindaan RUU kepada “patut atau perlu” telah melonggarkan syarat berpoligami.

Pindaan ini nampaknya sengaja hendak menolak dan mengetepikan penghakiman Jawatankuasa Rayuan Syariah dalam kes Aishah lawan Wan Mohd Yusof (1990) 7 JH 152 yang telah menekankan bahawa kesemua syarat di bawah subseksyen ini sama pentingnya dan hendaklah dibuktikan berasingan. Pihak suami telah memberi alasan untuk berpoligami bagi maksud menghalalkan pertalian kasih sayangnya dengan perempuan yang berkenaan.

Jawatankuasa Rayuan Syariah berpendapat bahawa walaupun alasan ini mungkin mencukupi untuk memenuhi syarat “keperluan” untuk berpoligami, tetapi ianya tidak ada kena-mengena dengan soal “kepatutan”. Jawatankuasa itu menegaskan bahawa sebagai seorang Islam, dia patut boleh mengawal
nafsunya dan mengelakkan diri dari melakukan zina dan perkara maksiat.

Saya cadangkan supaya:
i) Seksyen 23(5)(a) dipinda semula ke: 'patut dan perlu'

ii) Penambahan syarat - Syarat (e) telah digugurkan oleh Akta Pindaan
tahun 1994, iaitu: “bahawa perkahwinan poligami yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau tidak langsung taraf kehidupan yang dinikmati oleh isteri dan orang-orang tanggungan yang sedia ada.”

4) Seksyen 107A (baru): Perintah larangan terhadap pelupusan harta sepencarian Mahkamah berkuasa untuk membuat satu perintah melarang suami atau isteri daripada melupuskan apa-apa aset yang telah diperoleh mereka, secara usaha bersama atau usaha satu pihak semata-mata, .....

Datuk yang diPertua, saya ingin merujuk kepada Seksyen 23 (2) dalam undang-undang ini yang membenarkan pendaftaran perkahwinan poligami yang
diakadnikahkan tanpa kebenaran - adalah sama dengan peruntukan yang dimasukkan oleh Akta Pindaan tahun 1994. Saya difahamkan bahawa NGO
wanita di negara kita telah mengemukakan bantahan terhadap peruntukan ini dalam memorandum kepada Perdana Menteri pada tahun 1996.

Saya mencadangkan supaya sama ada:
•        peruntukan ini digugurkan; atau

•        peruntukan tambahan dimasukkan bagi melindungi kepentingan isteri sedia ada. Isteri sedia ada yang suaminya berkahwin tanpa kebenaran patutlah diberi pilihan, dan sama ada dia membuat pilihan untuk menuntut perceraian ataupun tidak, hak-hak kewangannya hendaklah dijamin. Hak-hak
itu termasuklah memperolehi nafkah berkala yang mencukupi sekiranya dia memilih meneruskan perkahwinannya, dan hak harta sepencarian, nafkah
iddah dan  sekiranya dia bercerai.

5) Seksyen 123 – Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

Pada hakikatnya, penalti yang terdapat dalam Akta tidak berjaya mencegah suami yang curang daripada mengambil kesempatan kelonggaran undang-undang dan berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah. Ini juga mengambil kira keadaan masyarakat pada masa ini di mana denda yang tidak melebihi satu ribu ringgit boleh dibayar oleh kebanyakan anggota masyarakat.

Ramai mendapati bahawa Mahkamah Syariah amat kurang menggunakan peruntukan penjara yang dibolehkan oleh Akta. Penggunaan hukuman secara penjara boleh menjadi penghalang (deterrent) bagi pihak-pihak yang mahu melanggar undang-undang.

Keadaan begini bukan sahaja menjejaskan kedudukan wanita tetapi juga menjejaskan kewibawaan Mahkamah kerana Mahkamah seolah-olah tidak
dihormati. Saya mencadangkan supaya penalti satu ribu ringgit digantikan dengan penalti lebih berat yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah, iaitu
seperti berikut:

“denda yang tidak kurang dari satu ribu ringgit dan tidak lebih dari lima ribu ringgit, serta penjara mandatori yang tidak kurang daripada empat minggu dan tidak lebih daripada satu tahun.”

6) Pindaan terhadap Seksyen 52 telah melanjutkan hak untuk menuntut fasakh pada amnya kepada pihak suami tanpa menambahkan hak atau perlindungan kepada hak isteri.

Cadangan draf subseksyen (1) “melupuskan harta isteri atau suami, melarang isteri atau suami, itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang
terhadap harta itu” telah juga memberi pihak suami sesuatu hak yang tidak pernah diberi pada zaman awal Islam, terutamanya dalam perenggan (h)(iv)
yang menjadikan alasan untuk fasakh sekiranya:

Mengikut Hukum Syarak, suami memanglah tidak berhak mengambil harta isterinya, tetapi isteri berhak mengambil daripada harta suaminya sekiranya suami tidak memberinya nafkah yang mencukupi (Hadith Rasulullah (saw) mengenai Hendon dan suaminya Abu Suffian).

Kesan peruntukan ini menjadi lebih tidak adil apabila hak fasakh dilanjutkan kepada pihak suami kerana tidak terdapat peruntukan seimbang yang menghalang Mahkamah daripada membubarkan perkahwinan walaupun jika pembubaran perkahwinan itu tidak adil bagi isteri.


Cadangan:
(i) Mengekalkan peruntukan subseksyen (1)(h)(iv) yang sedia ada dengan menggugurkan kemasukan perkataan-perkataan “atau suami” di mana jua
terdapat di dalamnya.

(ii) Meminda subseksyen (4) supaya tidak lagi perlu menunggu tempoh satu tahun mengenai sama ada suami mati pucuk, dan menggantikannya dengan
peruntukan mengenai keterangan perubatan bagi perenggan (1)(e) dan juga subsesksyen (2) seperti berikut:

 “Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) atau subseksyen (2), Mahkamah hendaklah memuaskan hatinya dengan keterangan perubatan bahawa suami itu mati pucuk atau isteri atau suami itu menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.”

(iii) Menggugurkan subseksyen (5) yang terlalu melindungi hak suami dan boleh disalahgunakan untuk memberi kesan supaya Mahkamah tidak membubarkan perkahwinan walaupun isteri mempunyai alasan bagi fasakh dalam subseksyen (1).

(27/09/2005)


* Teresa Kok, Ahli Jawatankuasa Tinggi Pusat DAP dan Ahli Parlimen Bagi Kawasan Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: