http://dapmalaysia.org Forward Feedback
Pengorbanan nyawa rakyat yang tidak berdosa akan sia-sia jika Kerajaan terus alpa dan cuai dalam menangani penyakit demam denggi
(Parlimen, Khamis):
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan saya
kepada Tuan Di Pertua Dewan Rakyat kerana telah membenarkan saya
membawa usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) untuk
merundingkan perkara tertentu berkenaan kepentingan orangramai yang
berkehendak disegerakan iaitu ancaman wabak demam denggi yang melanda
negara Malaysia.
Perbahasan usul yang membabitkan kepentingan rakyat
adalah kewajipan Dewan Rakyat dan wakil-wakil rakyat sebab kita tidak
boleh mengabaikan kepentingan rakyat dalam satu isu yang begitu
penting. Ini juga menunjukkan komitmen kita semua untuk mewakili
rakyat yang menaruh harapan dan memberi mandat kepada kita sekalian
untuk menginsafkan pihak pentadbiran bahawa masih adalah kelemahan dan
kekurangan yang perlu diatasi demi menjaga nyawa rakyat jelata dari
terus menjadi korban kepada penyakit demam denggi.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat telah menyifatkan
demam denggi sebagai virus bawaan nyamuk yang mengancam manusia yang paling
mustahak pada tahun ini.
Pakar kesihatan telah menyifatkan kealpaan kerajaan terhadap bahaya demam
denggi sebagai punca lonjatan kes jangkitan pada masa kini dan merebaknya
penyakit itu di beberapa buah negara rantau Asia termasuk Malaysia.
Pengarah Institut Asia Pasifik bagi Penyakit Berjangkit dan Ubat Tropikal di
Hawaii, Duane Gubler telah membuat indictment yang serius apabila beliau
berkata “denggi antara penyakit yang diabaikan malah tidak dipedulikan
selama bertahun-tahun. Kita tidak berbuat apa-apa sehingga timbul krisis,
kemudian barulah kita bertindak balas dan ketika itu sudah terlewat.”
Dakwaan ini amat serius dan kerajaan-kerajaan di rantau ini haruslah terima
kenyataan ini dengan hati dan sikap yang terbuka.
Memang berasas kenyataan itu sebab pada hakikatnya negara Malaysia dilanda
wabak demam denggi saban tahun tetapi ini bukan alasan untuk menerima takdir
yang melanda negara ini setiap tahun.
Kita melihat perkara ini berlaku berulang-ulang setiap tahun iaitu kita
tidak berbuat apa-apa atau berbuat dengan sambil lewa sehingga timbul
krisis, kemudian barulah bertindak balas dan ketika itu sudah terlewat.
Kerana terlewatlah 70 nyawa rakyat jelata yang tidak berdosa sudah
dikorbankan sehingga sekarang pada tahun ini. Perlukah kita melihat kematian
seorang wanita muda yang sarat mengandung anak kembar sulung dari Teluk
Kumbar, Pulau Pinang menjadi korban terbaru kemudian barulah kita bertindak
balas dan saya berharap tindakan ini masih tidak terlewat.
Perwakilan Parti DAP dalam Dewan Rakyat ini memandang berat tentang ancaman
wabak penyakit demam denggi ke atas nyawa, kesihatan dan keselamatan 25 juta
rakyat Malaysia apabila statistik menunjukkan satu keadaan yang amat
membimbangkan dengan kelonjatan kes-kes jangkitan.
Kes-kes jangkitan bagi seluruh negara telah meningkat sebanyak 26 peratus
dan Menteri Kesihatan telah memberi amaran minggu ini bahawa kita mungkin
akan menghadapi satu epidemik.
Kita ingin tahu mengapa epidemik denggi masih menjadi ancaman tahunan
apabila pelbagai cara digunakan untuk membasminya tetapi apabila nyamuk
menyerang rakyat, kita mudah tewas.
Seramai 706 rakyat telah menjadi korban demam denggi sejak tahun 1991 dan
apakah cara-cara pencegahan dan rawatan masih tidak berkesan dan apakah
jentera-jentera kerajaan masih complacent dalam menangani krisis ini.
Kementerian Kesihatan dan lain-lain kementerian yang berkaitan yang memantau
demam denggi tidak harus berahsia akan kedudukan hal sebenar yang sedang
kita hadapi.
Kita sudah banyak kali menyeru supaya kerajaan bertindak dengan telus dan
proaktif dan memberi maklumat secara cepat tetapi masih wujud masalah di
mana kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mahu merahsiakan keadaan kritikal
yang berlaku sehingga langkah pencegahan dan rawatan tidak dapat diambil
dengan segeranya.
Kita juga melihat masalah kordinasi di antara Kementerian Kesihatan dengan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri dan pihak
berkuasa tempatan yang mungkin menyebabkan kita tidak dapat menyediakan satu
sistem pertahanan terhadap denggi yang proaktif dengan program pengawasan
makmal dan program maklum balas kecemasan yang berkesan.
Kita ingin melihat segala jentera kerajaan digembelingkan, bukan Kementerian
Kesihatan sahaja yang memikul tanggungjawab. Kita sudah mempunyai
undang-undang yang mencukupi tetapi penguatkuasaan perlu dikaji semula dan
ditingkatkan. Sikap kita yang pandang remeh kepada nyamuk aedes harus
berubah.
Negara kita boleh terus merasa bangga dengan Petronas Twin Towers dan Sepang
Formula One dan KLIA, Putrajaya dan Cyberjaya, ICT dan bioteknologi, tetapi
ini tidak bermakna jika kita tewas kepada nyamuk aedes yang membawa penyakit
demam denggi. Negara kita mungkin tidak ada peperangan seperti di Iraq dan
Afghanistan, tetapi rakyat Malaysia kita terus mati kerana tidak dapat
perang dengan nyamuk.
Pergorbanan rakyat kita akan jadi sia-sia jika kita masih tidak mampu untuk
menangani wabak denggi terbaru.
Oleh kerana setakat ini masih belum ditemui penawar paling mujarab untuk
merawat pesakit demam denggi, kita perlu mencari penawar dalam mengubah
sikap kerajaan dan orang awam untuk sama-sama menang dalam peperangan dengan
penyakit demam denggi.
(29/09/2005)
*
Chow Kon Yeow
, Naib
Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Tanjong
|