http://dapmalaysia.org  

3 Kes Berkaitan Masalah Pelaksanaan Dasar Dan Undang-undang Bersifat Berpilih-pilih Yang Menimbulkan Ketidakadilan, Double-standard Dan Merugikan Rakyat


Memorandum
- kepada Timbalan Perdana Menteri
oleh
Lim Guan Eng



(Putra Jaya, Jumaat):

YAB Datuk Seri Najib Tun Razak,
Timbalan Perdana Menteri,
Pejabat Timbalan Perdana Menteri,
Aras 4, Blok Barat,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,                                            DENGAN TANGAN/
62502 PUTRAJAYA.                                                                        FAKS : 03-88880035

 Yang Amat Berhormat, 

3 Kes Berkaitan Masalah Pelaksanaan Dasar Dan Undang-undang Bersifat Berpilih-pilih Yang Menimbulkan Ketidakadilan, Double-standard Dan Merugikan Rakyat

Saya ingin menarik perhatian YAB ke atas 3 kes berkaitan dengan masalah pelaksanaan dasar dan undang-undang oleh system pentadbiran kerajaan pusat dan negeri yang bersifat berpilih-pilih dan boleh menimbulkan ketidakadilan, double-standard serta merugikan rakyat. 3 kes ini adalah:

  • Membenarkan Badan Pencegah Rasuah(BPR) bertindak ke atas 18 kes rasuah membabitkan individu kenamaan dan berprofil tinggi termasuk menteri yang diumumkan oleh Datuk Rais Yatim pada Februari 2004, ekoran kenyataan kontroversi Timbalan Presiden Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin di International Herald Tribune pada 29 Mac 2005;

  • Memberhentikan pemusnahan Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang  oleh kerajaan negeri Melaka untuk projek perumahan dan taman bertema yang hanya memberikan keuntungan besar kepada satu dua individu tetapi merugikan rakyat jelata; dan

  • Memulihkan keyakinan orangramai ke atas kewibawaan pegawai kanan kerajaan dan ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan menghentikan lantikan individu yang mempunyai rekod jenayah pecah amanah atau tidak menunjukkan teladan yang baik.

 

1.        Kes 18 Individu Kenamaan Dan Berprofil Tinggi.

Akhbar International Herald Tribune keluaran 29 Mac lalu, memetik Khairy sebagai berkata, ‘Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi did not want to dig up the past and will not focus on retroactive actions but rather look forward’. Ini membawa makna kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah yang berlaku sebelum pilihan raya umum tahun lalu, khususnya 18 invidu kenamaan dan berprofil tinggi.

Kenyataan oleh seorang Timbalan Presiden Pemuda UMNO ini berlawanan dengan jaminan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum pilihanraya besar 2004 yang bertegas memerangi rasuah. Kenyataan Khairy dianggap menjelaskan mengapa pihak pentadbiran kerajaan pusat dan BPR begitu lesu menguruskan dan menyiasat kes-kes rasuah oleh 18 individu kenamaan atau berprofil tinggi. 

Adalah perlu YAB menyangkal sama sekali kenyataan dan anggapan dibawa Khairy serta menggesa BPR bertindak segera ke atas 18 kes-kes rasuah berprofil tinggi dan kenamaan ini. Sekiranya tidak, maka rakyat akan menganggap ada amalan double-standard oleh BPR yang membeza-bezakan antara orang atas dan orang biasa. Ia adalah perlu untuk menghidupkan kempen anti-rasuah yang telah kehilangan tenaga kebelakangan ini.

 

2.         Menyelamatkan Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang Di Melaka

Pada 5 April 2005, saya telah mendedahkan pembalakan dan pemusnahan di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang di Melaka. Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang seluas 164 hektar merupakan hutan simpan terakhir di Daerah Melaka Tengah. Dengan keperluan pembangunan industri, pelancongan dan perumahan, tidak ada hutan simpan lagi dalam Daerah Melaka Tengah. 

Warga kota Melaka amat “menyayanginya” dan menyokong ia diwartakan sebagai hutan simpan kekal. Oleh itu, pembalakan dan pemusnahan Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang telah menimbulkan perasaan kurang puas atau tidak senang hati bahawa kerajaan negeri Melaka gagal menjalankan tanggungjawab melindunginya.  

Betapa marah dan terkejutnya rakyat Melaka bila didapati pembalakan dan pemusnahan  hutan simpan kekal ini dilakukan dengan pengetahuan, kebenaran dan restu kerajaan negeri Melaka. Maka YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam dengan begitu ceria dan senang hati sekali menyatakan status 41 hektar hutan simpan kekal ini telah dilucutkan haknya pada tahun lepas sebagai hutan simpan kekal untuk membolehkan ia dibangunkan sebagai taman bertema dan projek perumahan.  

Beliau menambah cadangan projek ini disokong dan direstui oleh warga kota dan kerajaan telah menerima royalti RM 61,000-00 untuk pembalakan pokok meranti dan keruing. Adalah tidak benar sekali pemusnahan Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang ini disokong oleh warga kota Melaka. Lunas demokrasi tidak diikuti, warga kota Melaka tidak dirundingkan terlebih dahulu atau dibicarakan secara umum. Malah orang awam tidak tahu bahawa hutan simpan kekal ini telah dimansuhkan sehingga skendal ini didedahkan oleh saya. 

Saya percaya sekiranya suatu pungutan suara diadakan di kalangan warga kota Melaka, pemusnahan hutan simpan kekal ini untuk membangunkan projek rekreasi dan taman bertema akan ditolak oleh segala lapisan masyarakat tanpa kira kaum dan agama. Pengakuan YAB Datuk Mohd Ali Rustam tentang RM 61,000 royalti yang diterima dari pembalakan pokok harus dibidas kerana hanya untuk RM 61,000, kerajaan negeri Melaka sedia menggadaikan hutan simpan terakhir di Daerah Melaka Tengah. Macam mana generasi akan datang berpeluang melihat pokok meranti dan keruing berpulohan tahun. 

Perlu ditanyakan siapa yang akan untung besar daripada pembangunan taman bertema  dan projek perumahan ini. Hutan dan alam sekitar harus dipelihara untuk generasi akan datang dan bukan dieksploitasikan untuk meraih keuntungan yang hanya memihak individu tertentu. 

Apa gunanya undang-undang melindungi hutan dengan mewartakannya sebagai hutan simpan kekal sekiranya ia boleh dilucutkan dengan begitu senang sekali? Status hutan simpan kekal sama seperti status hak kewarganegaraan. Ia tidak boleh dilucutkan dengan sewenang-wenangnya. Sekiranya hak status hutan simpan kekal dilucutkan adalah sama dengan hak kewarganegaraan dilucutkan. 

Di samping itu, keputusan membatalkan warta 41 hektar Hutan Simpan Kekal Bukit Beruang bertentangan dengan saranan YAB Perdana Menteri dalam Persidangan Biodiversiti di Melaka pada 13 Januari 2005 melindungi hutan yang sedia ada dengan menambahkan keluasannya. Demi memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri, adalah perlu YAB bercampur tangan menyelamatkan hutan simpan kekal di Melaka yang tinggal 5,400 hektar. Sekiranya hutan simpan kekal terakhir di Daerah Melaka Tengah boleh dimusnahkan, tidak ada hutan simpan lain yang terselamat dari rancangan dan muslihat kerajaan negeri Melaka.

 

3. Pengurus Besar Melaka International Trade Centre Sdn Bhd (MITC) Yang Ada Rekod Jenayah Pecah Amanah Dan Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah(MBMB) Yang Hutang Sewa MBMB.

Adalah perlu pegawai kanan anak syarikat kerajaan negeri dan ahli majlis kerajaan tempatan merupakan individu yang berwibawa. Bekas Timbalan Pengerusi MAIM yang sekarang adalah Pengurus Besar MITC, Hasnoor Sidang Husin, bukanlah lantikan yang “credible” untuk menguruskan badan berkanun kerajaan ratusan juta ringgit. 

Ini adalah kerana Hasnoor pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 16 Oktober 1995 atas jenayah pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaaan. Beliau dihukum denda RM 1,500 dan penjara sehari. Adakah menjadi amalan untuk melantik pegawai dengan rekod sedemikian ataupun Melaka begitu kekurangan orang berbakat sehingga MAIM atau MITC tidak boleh cari orang lain kecuali yang mempunyai rekod jenayah? 

Kes kedua melibatkan Tuan Haji Md. Sani bin Hj. Jantan, yang menyewa kiosk MBMB sungguhpun beliau adalah seorang ahli MBMB. Kiosk MBMB terletak di Hang Tuah Mall, yang dibina oleh MBMB dengan harga RM 8.5 juta. Yang menarik adalah sehingga 22 Oktober 2004, tunggakan sewa Md Sani adalah RM 41,000. Adalah tidak patut seorang ahli MBMB berebut-rebut dengan orang awam peluang perniagaan yang diwujudkan oleh MBMB. 

Penjelasan MBMB bahawa Md Sani telah menyewa kiosk sebelum menjadi ahli MBMB tidak boleh diterima. Sebaik sahaja dilantik menjadi ahli MBMB, beliau seharusnya menyerahkan balik kepada MBMB semua menafaat yang diterima demi mengelakkan dakwaan timbulnya percanggahan kepentingan. Sekiranya beliau tidak sedia menyerahkan menafaat yang diterima maka beliau patut letak jawatan.

Sebagai seorang ahli pentadbiran yang mengambil bahagian dalam keputusan berkaitan dengan peniaga kecil, beliau mesti membuktikan tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam urusan MBMB. Ini sama dengan mereka yang jadi ahli pentadbiran kerajaan menyerahkan semua kepentingan termasuk syarikat guaman. 

Walaubagaimanapun, samada Md Sani menyerahbalik kiosknya di Hang Tuah Mall, bukan lagi isu penting kerana beliau sudah tidak layak menjadi ahli MBMB memandangkan beliau bukanlah role model yang baik. Macam mana MBMB mempunyai “moral authority” menguatkuasakan undang-undang dan meminta peniaga kecil melunaskan sewanya sekiranya ahli MBMB dibenarkan hutang sebanyak RM 41,000/-.  

Tidak patutnya berlaku “double-standard” oleh kerajaan negeri mengejar peniaga kecil yang berhutang beberapa ratus ringgit tetapi terus membiarkan mereka yang berhutang berpuloh-puloh ribu ringgit. Adalah sungguh tidak bertanggungjawab politik kroni dibenarkan berlaku sehingga ahli MBMB yang tidak layak terus dikekalkan. 

Sungguhpun perkara ini telah dibawa berkali-kali kepada perhatian YAB Ketua Menteri Melaka, beliau masih berdegil mengekalkan mereka. Saya percaya YAB sendiri tidak akan menggaji individu seperti ini yang mempunyai rekod seburuk ini untuk memimpin masyarakat atau menguruskan wang rakyat. Demi menjaga prestasi, imej dan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri Melaka sebagai kerajaan yang bersih, cekap dan amanah, YAB harus mengarahkan YAB Ketua Menteri Melaka agar kedua-dua individu ini dipecat dengan segera.  

Sekian terima kasih.  

Yang benar,

LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG

s.k.

1.         YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri Malaysia,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya.   

 2.        YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam,
            Ketua Menteri Melaka,
            Pejabat Ketua Menteri,
            Blok Bendahara, Aras 4(Suite)
            Seri Negeri, Ayer Keroh, 75450 Melaka.

 

(8/4/2005)


* Lim Guan Eng, DAP Secretary-General