http://dapmalaysia.org  

Kementerian Pertahanan Mesti Jelaskan Mengapa Kawalan Kem Tentera Begitu Longgar Sehingga Senang Dicerobohi Oleh Penduduk Tempatan


Kenyataan Akhbar
oleh
Lim Guan Eng



(Putra Jaya, Jumaat): Adalah sungguh menyedihkan kematian seorang lelaki dan cedera parah dua orang lelaki yang menceroboh masuk ke Kem Asahan pada Sabtu lalu menerusi satu `jalan tikus' untuk mengutip besi buruk di lapang sasar akibat letupan sebiji peluru mortar jenis M-406 yang ditemuinya. Dua orang rakan mangsa tersebut terselamat. 

Apa yang menghairankan ialah sebagai kawasan larangan, macam mana 5 orang lelaki boleh mencerobohi masuk Kem Asahan ini begitu senang. Sebagai kawasan lapang sasar seluas 15,200 hektar, ia merupakan kawasan latihan kem tentera di Gemas dan Kem Tentera di Asahan, Melaka dan adalah kawasan larangan untuk orang awam. Polis berkata kelima-lima lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk melalui `jalan tikus' kerana ia tidak berpagar. 

Pertanyaan yang timbul ialah adakah pihak tentera tahu tentang “jalan tikus” ini dan kalau ia mengapa tidak bertindak untuk menutupnya dari orang awam kerana ia dalam kawasan larangan. Kementerian Pertahanan harus menjelaskan mengapa kawalan kem tentera begitu longgar sehingga senang dicerobohi oleh penduduk tempatan.  

Ini menunjukkan kawalan keselamatan oleh tentera di kawasan Kem sendiri begitu kurang rapi sehingga orang awam boleh masuk keluar dengan sewenang-wenangnya. Malah saya difahamkan keadaan sedemikian juga berlaku di Kem Terendak di Sungai Udang, Melaka, sehingga orang tempatan boleh keluar masuk dengan senang menerusi “jalan tikus”. 

Standard kawalan keselamatan sedemikian yang longgar tidak boleh diterima di mana-mana kem tentera di dunia dan adalah perlu satu penilaian dan kajian semula diadakan untuk meningkatkan kawalan. Adalah mengejutkan bahawa tidak ada sebarang rondaan diadakan oleh tentera untuk memastikan kawasan mereka tidak senang dicerobohi. Pihak Kementerian Pertahanan mesti menganggap serius perkara ini untuk mengelakkan peranan tentera mempertahankan kedaulatan negara dipertikaikan kerana tidak dapat menghalang kawasan kem tentera dari dicerobohi.

(11/4/2005)


* Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP