http://dapmalaysia.org  

Mengatasi Masalah Pembinaan 27 Buah Kapal Peronda Luar Pesisir(OPV) Berharga RM 24.3 Bilion Untuk Bukan Sahaja Mengelakkan Ia Menjadi Skendal Kewangan Terbesar Dalam Sejarah Malaysia Tetapi Juga Menjejaskan Keberkesanan Tentera Laut di Raja Malaysia (TLDM) Menangani Ancaman Serangan Lanun Di Selat Melaka


Memorandum
- kepada Timbalan Perdana Menteri
oleh
Lim Guan Eng



(Putra Jaya, Selasa):

YAB Datuk Seri Najib Tun Razak,
Menteri Pertahanan Malaysia,
Kementerian Pertahanan Malaysia
Jalan Padang Tembak,
50634 Kuala Lumpur.                                  

Yang Amat Berhormat, 

Mengatasi Masalah Pembinaan 27 Buah Kapal Peronda Luar Pesisir(OPV) Berharga RM 24.3 Bilion Untuk Bukan Sahaja Mengelakkan Ia Menjadi Skendal Kewangan Terbesar Dalam Sejarah Malaysia Tetapi Juga Menjejaskan Keberkesanan Tentera Laut di Raja Malaysia (TLDM) Menangani Ancaman Serangan Lanun Di Selat Melaka

Kami ingin menarik perhatian YAB ke atas masalah pembinaan 27 buah kapal peronda luar pesisir atau Off-shore Patrol Vessels (OPV) dengan harga RM 24.3 billion atau RM 900 juta sebuah OPV. Adalah perlu tindakan tegas diambil untuk mengatasi masalah ini untuk bukan sahaja mengelakkan ia menjadi skendal kewangan terbesar dalam sejarah Malaysia tetapi juga menjejaskan keberkesanan TLDM menangani ancaman serangan lanun yang kian berleluasa di perairan Selat Melaka. 

Pada 11 Disember 1995, kerajaan pusat telah menanda tangani satu perjanjian pengswastaan dengan PSC Naval Dockyard Sdn Bhd (PSCND) untuk membina 27 buah OPV. PSCND juga diberikan kontrak membina infrastruktur Dermaga Lumut serta kerja penyelenggarakan dan memberi khidmat kepada semua kelengkapan dan kapal-kapal TLDM untuk tempoh masa selama 15 tahun. Surat tawaran diberikan pada 5 September 1998 untuk memperakukan mereka bentuk, membina dan menghantar 6 buah OPV pertama dari 27 buah OPV untuk disiapkan pada tahun 2004. 

Masalah ini hanya berkisar di kalangan sector pertahanan dan korporat bila OPV ini yang sepatutnya siap pada 2004 dihantar lewat. Ia mendapat prihatin umum bila Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Mohd Anwar Mohd Nor menyatakan pada akhir bulan Februari tahun ini bahawa penyerahan OPV pertama ini telah ditunda kerana gagal ujian akibat kesilapan teknikal dalam sistem elektronik serta latihan untuk pegawai dan kakitangan yang mengendalikan OPV ini sudah ketinggalan zaman. 

Kritikan secara terbuka Laksamana TLDM adalah serius kerana bererti Kementerian Pertahanan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk sesuatu kapal yang tidak berkesan dan berfungsi sepenuhnya. Setakat ini kerajaan telah melabur RM 2.5 bilion ringgit tanpa mendapat sebarang pulangan yang setimpal. OPV adalah kapal peronda generasi baru dan sepatutnya beroperasi sepenuhnya untuk mempertahankan perairan Malaysia yang sering diancam oleh serangan lanun.  

Kegagalan OPV menjalankan tugasnya bukan sahaja membazirkan berbilion-bilion ringgit yang dibelanjakan tetapi juga mendedahkan negara ke atas risiko menghadapi ancaman musuh-musuh baik daripada negara jiran mahupun daripada lanun. Ini mungkin sebabnya Amerika Syarikat cuba mengambil-alih peranan TLDM mengawal Selat Melaka dengan alasan ia lebih mampu menyekat serangan lanun. Ataupun Tentera Laut Indonesia begitu “gagah” menunjukkan belang di Laut Sulawesi kerana ketiadaan OPV yang canggih untuk mempertahankan kedaulatan negara. 

Penyerahan yang lewat kapal TLDM merupakan satu tradisi bila dua buah frigate peluru berpandu, KD Lekiu dan KD Jebat, hanya dihantar pada 1999 iaitu 3 tahun lewat. OPV adalah kapal yang canggih dan dilengkapi dengan peluru berpandu. Kalau spesifikasi yang dijanjikan dapat disempurnakan maka OPV patut boleh menangani sebarang cabaran daripada Tentera Laut Indonesia.

Malangnya kritikan terbuka oleh Laksamana TLDM terhadap OPV menunjukkan perlunya satu penyelesaian yang menguntungkan TLDM dan negara. Sekiranya syarikat membina OPV berkenaan gagal menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, maka kepentingan negara memerlukan tindakan diambil terhadapnya.  

Oleh itu kami ingin mencadangkan satu Suruhanjaya Siasatan di Raja ditubuhkan ke atas masalah pembinaan dan penyerahan OPV yang berharga RM 24.3 bilion ini; yang mesti disegerakan kerana ia adalah isu kepentingan awam yang melibatkan kewangan negara dan kedaulatan negara.
 

Kementerian Pertahanan Mesti Jelaskan Mengapa Kawalan Kem Tentera Begitu Longgar Sehingga Senang Dicerobohi Oleh Penduduk Tempatan 

Adalah sungguh menyedihkan kematian seorang lelaki dan cedera parah dua orang lelaki yang menceroboh masuk ke Kem Asahan pada Sabtu lalu menerusi satu `jalan tikus' untuk mengutip besi buruk di lapang sasar akibat letupan sebiji peluru mortar jenis M-406 yang ditemuinya. Dua orang rakan mangsa tersebut terselamat. 

Apa yang menghairankan ialah sebagai kawasan larangan, macam mana 5 orang lelaki boleh mencerobohi masuk Kem Asahan ini begitu senang. Sebagai kawasan lapang sasar seluas 15,200 hektar, ia merupakan kawasan latihan kem tentera di Gemas dan Kem Tentera di Asahan, Melaka dan adalah kawasan larangan untuk orang awam. Polis berkata kelima-lima lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk melalui `jalan tikus' kerana ia tidak berpagar. 

Pertanyaan yang timbul ialah adakah pihak tentera tahu tentang “jalan tikus” ini dan kalau ia mengapa tidak bertindak untuk menutupnya dari orang awam kerana ia dalam kawasan larangan. Kementerian Pertahanan harus menjelaskan mengapa kawalan kem tentera begitu longgar sehingga senang dicerobohi oleh penduduk tempatan.  

Ini menunjukkan kawalan keselamatan oleh tentera di kawasan Kem sendiri begitu kurang rapi sehingga orang awam boleh masuk keluar dengan sewenang-wenangnya. Malah saya difahamkan keadaan sedemikian juga berlaku di Kem Terendak di Sungai Udang, Melaka, sehingga orang tempatan boleh keluar masuk dengan senang menerusi “jalan tikus”. 

Standard kawalan keselamatan sedemikian yang longgar tidak boleh diterima di mana-mana kem tentera di dunia dan adalah perlu satu penilaian dan kajian semula diadakan untuk meningkatkan kawalan. Adalah mengejutkan bahawa tidak ada sebarang rondaan diadakan oleh tentera untuk memastikan kawasan mereka tidak senang dicerobohi. Pihak Kementerian Pertahanan mesti menganggap serius perkara ini untuk mengelakkan peranan pihak tentera mempertahankan kedaulatan negara dipertikaikan kerana tidak dapat menghalang kawasan kem tentera dari dicerobohi. 

Jawapan awal adalah dihargai. Sekian terima kasih. 

Yang benar,

LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA AGUNG  

(12/4/2005)


* Lim Guan Eng, DAP Secretary-General