http://dapmalaysia.org  

Datuk Mohd Ali Rustam Mesti Menjelaskan Mengapa Perlu RM 120,520 Untuk Membina Satu Unit Tandas Awam Di Dataran Sejarah, Ayer Keroh, Yang Boleh Membeli 5 Buah Rumah Kos Rendah


Kenyataan Akhbar
oleh
Lim Guan Eng



(Melaka, Ahad): Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam mesti menjelaskan mengapa perlu belanjakan RM 120,520 untuk membina satu unit tandas awam di Dataran Sejarah, Ayer Keroh. Pendedahan terbaru ini amat mengejutkan kerana RM 120,520 hampir cukup untuk membeli 5 buah rumah kos rendah. 

Saya memperolehi maklumat bahawa kontrak ini diberikan kepada Patih Villa Sdn Bhd yang beralamat di Batu 6 ½, Bukit Lintang, Balik Bukit, 75460 Melaka untuk dibina dalam tempoh masa 16 minggu. Prestasi kerja bukanlah baik sangat, secara sederhana sahaja. Soalannya mengapa syarikat ini dipilih sungguhpun prestasinya adalah sederhana. 

Adakah satu tender terbuka diadakan? Apakah keistimewaan tandas ini seperti mangkuk tandas berkilau ataupun paip air mewah sehingga perlukan perbelanjaan RM 120,520/-. Jelas sekali tandas untuk orang tertentu buang air lebih penting daripada rumah untuk orang miskin – adakah ini tradisi BN membela rakyat atau sebenarnya tradisi membazirkan wang rakyat? 

Rakyat Melaka memang berminat tahu kos terperinci projek khususnya jenis binaan yang digunakan sehingga menjadi tandas awam yang paling mahal dengan harga RM 120,520/-. Kerajaan negeri Melaka betul-betul kaya sekiranya rela korbankan 5 buah rumah kos rendah untuk bina satu unit tandas. Akan tetapi banyak kontraktor membuat aduan keajaan Melaka tidak mencukupi wang bukan sahaja untuk projek baru malah membayar mereka pun tidak ada. 

Ketua Menteri Mesti Jelaskan Lawatan Luar Negeri Terbaru Untuk Menyakinkan Orangramai Ia Bukan Lagi Satu Lawatan Makan Angin

Setiap kali Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam pergi melawat ke luar negeri, tentu ada skendal yang meletup. Datuk Mohd Ali mesti menjelaskan tujuan lawatan kali ini, faedah kepada rakyat dan kos perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan negeri.  

Sudah tiba masa kerajaan negeri Melaka menghormati prinsip akauntabiliti dan ketelusan dengan mengumumkan semua kontrak kerajaan. Dan bukan tunggu pemimpin DAP membongkarkan setiap skendal kewangan ini satu per satu.

(17/4/2005)


* Lim Guan Eng,  Setiausaha-Agung DAP