http://dapmalaysia.org  

Kembalikan Kepada Perlembagaan Kemerdekaan 1957 Dan Penubuhan Malaysia 1963 Sebagai Daya Penggerak Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional


Memorandum DAP
- kepada
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara
oleh
Lim Guan Eng



(Parlimen, Jumaat):
 

YB Datuk Dr Maximus  J. Ongkili,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
mengenai Perpaduan dan Khidmat Negara,
Bangunan Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.                                              

                                                                                                            DENGAN TANGAN

Yang Berhormat Datuk, 

Kembalikan Kepada Perlembagaan Kemerdekaan 1957 Dan Penubuhan Malaysia 1963 Sebagai Daya Penggerak Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional

Isu-isu perpaduan nasional mempunyai kesan yang besar terhadap corak dan bentuk pembangunan negara. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini harus mempertimbangkan sebarang dasar-dasar yang dapat memelihara dan memperkukuhkan perpaduan dan integrasi nasional di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.  

Sesungguhnya, pembentukan sebuah bangsa Malaysia di mana kita dikenali sebagai warganegara Malaysia dan bukan asal usul kaum masing-masing harus digalakkan.  Lantaran itu, parti-parti politik atau kesatuan-kesatuan yang menghadkan keahlian kepada satu kaum sahaja diharamkan. Begitu juga dengan sebarang perbezaan atau pemecah-belahan di kalangan rakyat Malaysia yang tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia tidak harus dijadikan sebahagian dasar pembangunan negara.   

Demi mencapai hasrat berbeza masyarakat pelbagai kaum dan agama, kami ingin mencadangkan syor kembalikan kepada Perlembagaan Kemerdekaan 1957 dan penubuhan Malaysia 1963 sebagai daya penggerak perpaduan negara dan integrasi nasional. Sebagai teras mengecapi kemerdekaan dan asas kepada pembentukan Malaysia, syor menerima pakai semula Perlembagaan asal tidak begitu berkontroversi atau banyak dipertikaikan. 

Yang pertama, ia mencerminkan  kontrak sosial kemerdekaan dan penubuhan Malaysia baik dari soal status agama, bahasa kebangsaan, raja dan sistem raja perlembagaan mahupun hak asasi manusia secara individu. Kedua, ia mengingatkan semula asas kemerdekaan daripada penjajah adalah berlunaskan demokrasi dan rundingan di mana hak yang diberikan disusuli dengan pertanggungjawaban dan pembahagian kuasa badan Parlimen, Kehakiman dan Eksekutif. Ketiga ia merupakan satu daya penggerak perpaduan dan integrasi nasional dengan menggariskan peruntukan keadilan sosio-ekonomi dalam pembangunan ekonomi dan pendidikan yang seimbang berdasarkan meritokrasi dan keperluan. 

Adalah dikesali bahawa matlamat murni ini telah diselewengkan berikutan pindaan berpuloh-puloh kali dalam tempoh masa 48 tahun ini sehingga Perlembagaan masakini adalah lain daripada yang asal. Pindaan ke atas kuasa Perdana Menteri dan badan Eksekutif menjadikan Parlimen yang sepatutnya paling unggul sebaliknya menjadi sebuah cabang Jabatan Perdana Menteri. Pindaan-pindaan yang menidakkan kebebasan berhimpun, bersuara dan menerima layanan yang saksama mencabuli hak asasi manusia sehingga tahanan tanpa bicara menjadi lumrah. Kini kuasa polis dan badan berkuasa begitu luas sehingga negara digelar negara polis kerana rakyat tidak ada hak perlindungan langsung.   

Di samping itu dasar-dasar pendidikan dan kebudayaan yang hanya menonjolkan konsep dominasi dan ketuanan sesuatu kaum atau agama harus diketepikan. Konsep ketuanan kaum adalah satu ideologi kolot yang bukan sahaja ketinggalan zaman tetapi amat berbahaya sekali. Ini dibuktikan oleh rekod sejarah dominasi kaum Aryan Nazi di bawah Hitler yang mencetuskan Perang Dunia Kedua dan menyebabkan berpuloh-puloh juta kematian. 

Adalah dikesali konsep ketuanan Melayu telahpun diperkenalkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 3 dan 5 pada tahun lepas bila ia tidak pernah dibangkitkan di antara tahun 1957 ke 2003. Adalah sungguh tidak sihat pelajar-pelajar kita akan dipecah-belahkan dalam usia yang begitu mentah di antara warganegara kelas satu dan kelas dua.   

Selain daripada bercanggah dengan sifat toleransi yang diperlukan untuk memupuk semangat muhibbah, ia juga berlawanan dengan amalan dan budaya demokrasi. Kami harap Jawatankuasa Pilihan Khas boleh mencadangkan buku teks sejarah sekolah menengah  dibetulkan untuk memansuhkan istilah “ketuanan Melayu” yang mencacatkan usaha perpaduan dan integrasi nasional. 

Akhir kata, kami mengesyorkan agar Perlembagaan Persekutuan dikembalikan kepada era  Merdeka tahun 1957 untuk memulihkan hak-hak rakyat dan jaminan perlembagaan terhadap demokrasi kebebasan, keadilan dan akauntabliti. Rakyat tanpa kira kaum dan agama boleh bersatu-padu di bawah bendera demokrasi seperti memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan ataupun memerangi gejala rasuah. Maka perpaduan sedemikian adalah lebih kukuh dan bermakna kerana dapat menjaminkan semua rakyat Malaysia menikmati kemakmuran yang adil dan saksama.  

Sekian terima kasih. 

Yang benar,

LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA AGUNG DAP 

 

 

(29/4/2005)


* Lim Guan Eng,  Setiausaha-Agung DAP