http://dapmalaysia.org  

BN Melaka Menyalahgunakan Kuasa Dan Membazirkan Wang Dengan Gunakan Wang Rakyat Lebih RM200,000 Setiap Tahun Kepada Ahli EXCO Dan ADUN BN Mengadakan Rumah Terbuka Menyambut Hari Raya Masing-masing


Kenyataan Akhbar
oleh
Lim Guan Eng

(Melaka, Ahad): DAP mengecam kerajaan BN Melaka menyalahgunakan kuasa dan membazirkan wang rakyat dengan menberikan dari RM 200,000 setiap tahun kepada setiap ahli EXCO dan ADUN BN untuk mengadakan rumah terbuka dan menyambut Hari Raya masing-masing. Saya difahamkan bahawa setiap ADUN BN diberikan RM 5,000 manakala setiap ahli EXCO diberikan RM 13,000 oleh kerajaan negeri untuk meraikan hari raya dengan mengadakan rumah terbuka setahun sekali. 

Memandangkan ia adalah wang rakyat, bukankah ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa kerana membolehkan ia dibelanjakan untuk tujuan politik BN. Rumah terbuka yang diadakan oleh ADUN BN adalah wang rakyat  Oleh itu rakyat mesti ingat semasa mengunjung hari terbuka wakil rakyat BN, kos makanan dan minuman bukanlah keluar dari kocek mereka sendiri tetapi daripada wang rakyat sendiri.

 

Itulah sebabnya BN begitu berjaya memancing undi dengan memberikan makanan dan minuman percuma tetapi semua ini daripada wang rakyat. Perlu ditegaskan bahawa ADUN pembangkang tidak pernah menerima sebarang peruntukan wang daripada kerajaan untuk mengadakan rumah terbuka.

 

Sekiranya wang perbelanjaan sebanyak RM 200,000 setahun ini digunakan untuk memberikan derma kepada mereka yang tidak bernasib baik, DAP tidak akan membantah. Tetapi sekiranya ia digunakan untuk mempromosikan BN dan juga kepentingan politik ADUN-ADUN BN, ia merupakan satu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Saya tidak faham apakah faedah kepada rakyat Melaka ADUN BN biasa yang tidak memegang jawatan kerajaan boleh diberikan peruntukan sebegini.

 

Sebelum ini kerajaan BN Melaka telah dikesan membazirkan wang rakyat untuk berseronok seperti makan angin, berpolitik dengan menuntut elaun perbatuan seperti mengadakan sidang akhbar dalam rumahnya sendiri di Jalan Kubu atau berkempen dalam pilihanraya kecil dan juga menghadiri mesyuarat MCA di Kuala Lumpur. Jelas sekali ini menyalahi slogan pilihanraya BN “Tradisi Membela Rakyat” (yang mungkin harus ditukar kepada “Tradisi Membazirkan Wang Rakyat”) dan juga usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan pentadbiran kerajaan dari penyalahgunaan kuasa.

(6/2/2005)


* Lim Guan Eng, DAP Secretary-General