http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Rang Undang-undang Pindaan Akta Prosedur Jenayah Syaraiah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Pada 12 Julai 2005

_______________________________________
Ucapan
oleh Teresa Kok
____________________________________________

(Dewan Rakyat, Selasa):
Datuk yang diPertua,  kita mempunyai satu Perlembagaan Persekutuan yang berasaskan sistem pentadbiran sekular, tetapi dengan adanya undang-undang syariah, negara kita mempunyai dua jenis sistem perundangan yang berbeza, iaitu undang-undang syariah yang digunakan pada umat Islam dalam sesetengah kesalahan manakala undang-undang sivil pada orang bukan Islam.

Perbezaan Di Antara Hukuman Di Undang-Undang Syariah Dan Sivil

Masalah sekarang ialah, hukuman yang terkandung dalam undang-undang syariah berbeza dari negeri ke negeri, dan kadang-kadang ia adalah jauh berbeza daripada undang-undang sivil, yang menyebabkan perbezaan dari
segi hukuman dan keadilan.

Saya ingin bangkitkan satu contoh yang menunjukkan perbezaan hukuman dalam satu kes sumbang mahram di antara seorang bapa yang berumur 36 tahun dengan anak perempuannya yang berumur 17 tahun di Kelantan pada tahun 2000. Kedua-dua bapa dan anak perempuannya didakwa ke mahkamah syariah atas kesalahan sumbang maram. Mahkamah Syariah Kelantan memutuskan bahawa si-bapa dimasukkan ke penjara selama 2 tahun, didenda RM4000 dan juga sebatan rotan 2 kali, manakala anak perempuan pesalah itu di hantar ke
rumah pemulihan selama setahun kerana gagal membayar denda sebanyak RM1000.

Sekiranya kes ini berlaku pada orang bukan Islam, si-bapa yang melakukan sumbang mahram  dengan anaknya akan dihukum di bawah dakwaan rogol dalam Kanun Keseksaan yang mengenakan perpenjaraan sekurang-kurangnya 5 tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan rotan. Selain itu, anak perempuan yang berumur 17 tahun dianggap sebagai “minor” ataupun kanak-kanak, jadi dia tidak akan didakwa ke mahkamah tetapi dia akan dianggap sebagai mangsa rogol ataupun mangsa “statutory rape”.

Kita lihat adalah jauh perbezaan di antara pesalah sumbang mahram di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Jenayah Syariah, di mana undang-undang syariah kelihatan menjatuhkan hukuman yang lebih ringan terhadap pesalah sumbang mahram berbanding dengan Kanun Keseksaan. Bukankah ini amat tidak adil kepada mangsa jenayah seks yang berugama Islam kerana hukuman di bawah undang-undang Syariah tidak membayangkan serius sesuatu jenayah ini, kerana kadang-kadang di dalam undang-undang Syariah seperti contoh yang disebutkan di atas, sumbang mahram selalu dianggap sebagai kelakuan seks suka sama suka.

Sehubungan dengan ini, saya ingin tanya YB Menteri, dalam keadaan macam manakah pihak pendakwaraya akan mendakwa seorang pesalah jenayah seks yang beragama Islam di bawah undang-undang syariah, dan dalam keadaan macam manakah seseorang pesalah akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan?


Hukuman Berat Dalam Undang-Undang Syariah Mencemarkan Namabaik Negara

Datuk yang diPertua, standard hak asasi manusia pada zaman sekarang dan juga di masyarakat antarabangsa telahpun berubah, kadang-kadang hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah kita tidak lagi sejajar dengan
perkembangan zaman dan hak asasi manusia pada zaman ini, dan ia secara tidak langsung memburukkan nama baik negara kita. Sehubungan dengan ini, saya ingin menyuarakan ketidakpuasan dan kekejutan ramai kawan yang
beragama Islam dan juga yang bukan beragama Islam terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah Syariah Kuantan terhadap dua orang penganut Islam yang minum Stout, iaitu denda sebanyak RM5000 dan 6 kali sebatan
rotan. Selepas mahkamah syariah tersebut menjatuhkan hukuman tersebut, ia pula menghadapi masalah macam mana menjalankan hukuman rotan tersebut kerana tiada perlengkapan pengrotanan di mahkamah syariah, manakala cara menjalankan sebatan rotan adalah amat berbeza dengan sebatan rotan dalam Kanun Keseksaan. Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah di Kuantan tersebut sebenarnya telah dilaporkan di televisyen BBC beberapa kali. Sekiranya mahkamah syariah menjatuhkan lebih hukuman berat terhadap kesalahan kecil seperti contoh di atas, maka ia tentu akan mencemarkan imej negara kita di dunia antarabangsa.

Datuk yang diPertua, semua agama tidak menggalakkan penganutnya minum arak, sebenarnya seseorang yang minum satu atau dua tin stout atau beer tidak akan menyebabkan seseorang mabuk teruk. Pada pandangan saya, selagi seseorang tidak melakukan perbuatan yang merosakkan ketenteraman masyarakat dan kelakuan jenayah, dia sepatutnya diampunkan dan tidak sepatutnya dikenakan hukuman yang begitu berat. Hukuman yang begitu berat terhadap seorang yang minum dua tin stout hanya mencemarkan fungsi mahkamah Syariah dan menakutkan orang, dan ia merupakan satu bentuk ketidakadilan dan sekatan terhadap kebebasan penganut Islam dari segi
pilihan dan hiburannya. Sebenarnya dalam kes yang kecil seperti ini, adalah lebih wajar bagi hakim mahkamah syariah dan pegawai jabatan agama Islam untuk memberi amaran dan nasihat,dan bukannya hukuman berat.

Selain itu, kes yang disebutkan tadi juga menunjukkan:
i)        Terdapat pelaksana undang-undang syariah dan pegawai mahkamah syariah
kurang fasih undang-undang syariah dan tidak mengikuti undang-undang
syariah;

ii)        Undang-undang syariah di negeri-negeri ini gagal mengiktiraf pengakuan maaf, reformasi dan pengampunan, yang mana merupakan bahagian yang utama dan penting dalam tradisi undang-undang Islam dan warisan tamadun Islam;

iii)        Authoriti agama mesti fikir cara yang lebih berkesan untuk mengajar Islam dan menyerap nilai-nilai Islam supaya ajaran Quran diikuti oleh penganutnya kerana kepercayaan daripada hati tetapi bukan kerana paksaan
dan takut akan dihukum;

Serbuan dan Penyemakan Jabatan Agama Islam Terhadap Tempat Hiburan

Datuk yang diPertua, pemeriksaan terkejut ataupun serbuan oleh pegawai Jabatan Agama Islam berasaskan undang-undang jenayah syariah di tempat-tempat hiburan seperti pub,  kelab malam dan hotel telah mendatangkan kritikan dan bantahan kuat daripada orang ramai, khususnya mereka yang menjalankan bisnes dan golongan penyokong hak asasi manusia. Pengelola kedai hiburan dan malah hotel mengadu bahawa bisness mereka terganggu dan terjejas oleh tindakan pegawai Jabatan Agama Islam.

Bantahan terhadap tindakan jabatan agama Islam ini juga nyata ditunjukkan dalam satu kenyataan bersama yang disokong oleh 52 pertubuhan bukan kerajaan, 3 parti politik pembangkang, 21 Ahli Parlimen dan juga 233
individu. Pihak kerajaan seharusnya mengkaji semula kuasa yang diberi oleh Jabatan Agama Islam yang mencabuli keperibadian individu, yang menjadi mangsa itu bukannya umat Islam sahaja tetapi juga orang bukan Islam kerana kedai hiburan yang diserbu itu selalunya dikendalikan oleh orang bukan Islam, dan kadang-kadang orang bukan Islam juga disalah-tangkap oleh pegawai jabatan agama juga.

Saya difahamkan bahawa bekas hakim yang terkenal Allayarham Tan Sri Harun Hashim pernah mencadangkan bahawa undang-undang jenayah Syariah dihapuskan dan biarkan Kanun Keseksaan digunakan untuk menangani semua kesalahan jenayah, manakala undang-undang jenayah Syariah hanya digunakan untuk menangani perkara rumah-tangga sahaja. Apakah pandangan kerajaan terhadap pandangan hakim yang terkenal ini?

Reformasi Undang-undang Keluarga Islam

Kerajaan telah banyak kali dan lama berkata akan menyeragamkan undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri yang berlainan . Menteri di JPM dilaporkan berkata bahawa proses penyeragaman undang-undang Islam
di negara ini kini mencapai hampir 90 peratus apabila 12 negeri telah menguatkuasakan undang-undang yang sama di negeri masing-masing, dan hanya Wilayah Persekutuan dan Perlis yang belum menerima pakai
penyeragaman undang-undang Islam. Soalan saya ialah, apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk menyeragamkan hukuman dalam Kanun Keseksaan dan undang-undang jenayah syariah kerana perbezaan di antara hukuman dalam undang-undang sivil dan undang-undang syariah telahpun mengakibatkan masalah dari segi keadilan.

Sehubungan dengan itu, sebelum kerajaan menyeragamkan undang-undang syariah di negeri-negeri yang berlainan, adalah penting bagi kerajaan untuk mengadakan reformasi dari segi undang-undang keluarga di kesemua
negeri. Pindaan terhadap undang-undang keluarga pada tahap negeri sejak tahun 1990-an sebenarnya menjejaskan hak dan kedudukan wanita dan bukan membantu mereka.

Misalnya, seksyen 23(5) dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Selangor 2003 yang mana dalam proses penyeragaman, menyatakan bahawa perkahwinan poligami mestilah “patut atau perlu” manakala dalam enakmen 1984, perkahwinan tersebut haruslah “patut dan perlu”. Pindaan ini menunjukkan undang-undang keluarga syariah ini telahpun melonggarkan syarat dalam perkahwinan poligami.

Seksyen 53 dalam Enakmen Undang-undang Selangor 2003 memberi hak kepada suami untuk bercerai fasakh sebagai tambahan kepada hak tradisi lelaki untuk talaq. Dalam enakmen 1984, hak untuk fasakh hanya diberi kepada isteri, pindaan ini menambah satu hak lagi kepada suami tanpa merujuk kepada isteri ataupun memberi perlindungan kepadanya. Datuk yang diPertua, persatuan wanita Islam selalu mengadu bahawa apabila  terdapat
pandangan yang berbeza dalam kes tertentu, seperti dalam kes fasakh, selalunya hakim mahkamah syariah lebih cenderung berpihak pada si-suami dan bukannya si-isteri.

Kekurangan Hakim Mahkamah Syariah

Apakah langkah kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan hakim di mahkamah syariah, khususnya hakim wanita? Saya ingin ambil satu contoh, seorang pensyarah universiti ditawarkan jawatan hakim mahkamah rendah
Syariah dengan gaji RM 2,000 manakala gajinya sebagai pensyarah ialah RM6,000. Bukankah kerajaan haruslah menyamakan gaji hakim mahkamah Syariah dengan kelayakannya.

Kerajaan Harus Mengambil Pendekatan Yang Lebih Halus Terhadap Ayah Pin

Datuk yang diPertua, sekarang kita banyak baca tentang kumpulan “Kerajaan Langit” yang diasaskan oleh Arrifin Mohamad aka Ayah Pin. Ayah Pin mendakwa dirinya sebagai Tuhan dan kumpulannya dianggap sebagai ajaran
sesat. Saya berpandangan adalah lebih baik kerajaan mengambil pendekatan nasihat kepada mereka dan bukannya tindakan kekerasan, supaya tindakan semua ini sejajar dengan artikel 11, iaitu Kebebasan Beragama dalam Perlembagaan Persekutuan.

(12/7/2005)


* Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

 

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: