http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Kontroversi Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) Membayar Sewa Tambahan RM 15 Juta Setiap Tahun Kerana Berpindah Dari Bangunan Sedia di Rumah Kedai Metacorp Ke Cubic Electronics Sdn bhd.
 


Oleh Lim Guan Eng


(Melaka, Khamis):

 

14 Julai  2005.

YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam,
Ketua Menteri Melaka,
Pejabat Ketua Menteri,
Blok Bendahara, Aras 4(Suite)
Seri Negeri, Ayer Keroh, 75450 Melaka.                                           DENGAN TANGAN

 

Yang Amat Berhormat,

Kontroversi Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) Membayar Sewa Tambahan RM 15 Juta Setiap Tahun Kerana Berpindah Dari Bangunan Sedia di Rumah Kedai Metacorp Ke Cubic Electronics Sdn bhd.

Saya ingin menarik perhatian YAB terhadap kontroversi  Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) di Ayer Keroh Melaka, membayar sewa tambahan RM 15 juta setiap tahun kerana berpindah dari bangunan sedia ada di Rumah Kedai Metacorp ke Cubic Electronics. Memandangkan kampus baru di Kesang akan siap selewat-lewatnya dalam masa tiga tahun, ini merupakan perbelanjaan tambahan sewa sebanyak RM 45 juta.

Oleh kerana bayaran tambahan sewa RM 45 juta adalah jumlah wang besar, kerajaan negeri mesti menjelaskan rasionalnya atas kepentingan awam. Saya telah cuba menghubungi KUTKM mengenai perkara ini yang malangnya tidak berani berdepan dengan saya.

Mengikut maklumat yang diperolehi, KUTKM telah membelanjakan RM 2.9 juta untuk mengubahsuai ruang kedai yang disewa sekarang dari Metacorp Bhd. Sewa yang ditawarkan kepada KUTKM untuk 176,907 kaki persegi ruang sewa adalah RM 300,000 sebulan. Ini berbanding dengan kos sewa daripada Cubic sebanyak RM 1,542,000 sebulan untuk ruangan seluas 455,160 kaki persegi. Kos perbelanjaan mengubahsuaikan semula ruang di Cubic sebanyak RM 247,000/-.

Dengan kata lain KUTKM harus bayar lebihan sewa lebih lima kali di Cubic sebanyak RM 1,242,000 setiap bulan lama sungguhpun ruang kedai baru adalah hanya 2.5 kali lebih besar berbanding dengan yang lama. Lebihan sewa RM 1,242,000 setiap bulan bermakna lebihan sewa setiap tahun sebanyak RM 15 juta. Ini tidak termasuk kos perbelanjaan mengubahsuaikan semula ruang baru di Cubic sebanyak RM 247,000 dan kehilangan kos pengubahsuaian tempat lama sebanyak RM 2.9 juta.

Adalah tidak lojik, tidak wajar dan tidak bertanggungjawab KUTKM perlu membelanjakan RM 247,000 kos pengubahsuaian dan sewa tambahan RM 15 juta setiap tahun bila kampus baru di Kesang akan siap selewat-lewatnya dalam masa tiga tahun lagi. KUTKM harus bersabar dan menggunakan premis lama sebelum berpindah ke tapak baru untuk menjimatkan wang sebanyak RM 45 juta untuk tempoh tiga tahun ini.

Untuk melihatkan KUTKM sengaja membazirkan wang rakyat sebanyak RM 45 juta, prinsip akauntabiliti dan ketelusan memerlukan satu penjelasan menyeluruh oleh YAB tentang rasional pemindahan ini. Sekiranya kerajaan negeri tidak dapat menunjukkan sebarang faedah yang boleh diperolehi, maka YAB harus mengarahkan KUTKM menghentikan pemindahan dengan segera. Kegagalan YAB berbuat demikian akan memberikan gambaran buruk bahawa YAB membenarkan salah pengurusan atau penyalahgunaan kuasa sedemikian berlaku.

Jawapan awal adalah dihargai.

 

Yang benar

 

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG

 

 

(13/07/2005)      

                                                       


* Lim Guan Eng, DAP Secretary-General
 

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: