http://dapmalaysia.org  
Memorandum kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam ( JPA) Berkenaan Dengan Peruntukan Biasiswa PILN 2005 JPA Kepada Pemohon-Pemohon SPM

--------------------------------------------------------------------------------------
Memorandum
oleh Ong Chee Keng
--------------------------------------------------------------------------------------

(Putrajaya, Khamis):

                                                                                                                 

MEMORANDUM KEPADA KETUA PENGARAH
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA)

BERKENAAN DENGAN PERUNTUKAN BIASISWA PILN 2005 JPA
KEPADA PEMOHON-PEMOHON SPM

PADA 16 JUN 2005 DI IBU PEJABAT

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM, PUTRAJAYA.

----------------------------------------------------------------------------------------------------Pengenalan

Rakyat Malaysia tergempar sekali lagi dengan berita di mana pelajar-pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2004 yang lepas tidak dianugerahkan biasiswa Program Penajaan Ijazah ke Luar Negara (PILN) JPA pada tahun 2005. Perkara sebegini hampir berlaku pada pertengahan tahun setiap tahun.

 

Kami dari DAP Selangor ingin merakamkan perasaan tidak puas hati kami melalui memorandum ini terhadap masalah ini yang berulang setiap tahun, di mana kami tidak menampak apa-apa usaha daripada pihak JPA untuk menyelesai masalah ini.

 

Pendirian Kami

Kami berpendapat bahawa masalah ini tidak seharusnya berlaku berterusan dan pihak JPA, bersama-sama dengan pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi harus merangka sebuah struktur penganugerahan biasiswa yang lebih telus dan adil.

Kami berpendapat bahawa sekiranya pihak-pihak yang terlibat, khususnya pihak JPA terus bersikap sambil lewa terhadap masalah ini, ianya akan membawa kesan buruk kepada sistem pendidikan negara kita di mana kita akan kehilangan aset penting ini kepada negara lain, khususnya negara jiran.

Ini adalah amat penting untuk memperkasakan Sistem Pendidikan di Malaysia, demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja mempunyai infrastruktur dunia pertama, tetapi turut mempunyai golongan cerdik pandai dunia pertama untuk mentadbir negara ini pada masa depan.

Hakikat daripada ini, kami berpendapat bahawa masalah ini sekiranya dibiarkan berterusan, maka tahap persaingan kita dengan negara lain akan merosot, memandangkan dunia sekarang sedang berubah menjadi lebih global.

Cadangan Kami

Dengan itu, kami mencadangkan supaya:

1.      Proses pemilihan penganugerahan biasiswa ini dilakukan dengan cara yang telus dan adil, khususnya temuramah-temuramah di antara JPA dengan pemohon.

Sehingga sekarang, golongan ramai dan ibubapa masih samar-samar dengan kriteria-kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh pihak JPA. Laman web JPA (http://www.jpa.gov.my) juga tidak mempunyai sebarang maklumat mendalam terhadap perkara ini.

Dengan itu, JPA perlu mengumumkan kriteria-kriteria dan segala pertimbangan permohonan yang dipertimbangkan oleh Bahagian Latihan JPA dan memaklumkan kepada setiap pemohon yang gagal tentang sebab kegagalannya untuk menjamin ketelusan dan keadilan dalam proses pemilihan ini.

2.      Bilangan biasiswa ditawarkan mengikut minat dan pilihan yang dibuat oleh pemohon. Pihak JPA mestilah dapat mengimbangi bilangan biasiswa yang ditawarkan dengan bilangan pemohon terhadap sesuatu kursus itu.

Misalannya, dalam permohonan PLIN 2005 ini, pihak JPA hanya menawarkan 322 biasiswa untuk kursus bidang perubatan walaupun seramai 1189 pemohon telah mengemukakan permohonan mereka untuk mengikuti kursus perubatan. Ini merupakan statistik yang diberi oleh JPA pada awal Jun 2005 ini tetapi JPA tidak memberitahu tentang nisbah permohonan kepada bilangan biasiswa untuk kursus-kursus yang lain.

Oleh itu, DAP Selangor menyeru supaya JPA meningkatkan bilangan biasiswa untuk kursus yang mendapat permohonan tinggi daripada pemohon-pemohon.

3.      Menganugerah biasiswa PLIN JPA ini kepada 200 pemohon yang paling cemerlang, dari segi akademik dan ko-kurikulum, memandangkan negara kita perlu berada pada tahap persaingan yang tinggi pada masa depan.

Kerajaan secara amnya dan JPA secara khususnya perlu memandang berat terhadap peranan yang dapat dipermainkan oleh 200 pelajar yang cemerlang ini kepada pembangunan masa depan Malaysia, dan memastikan mereka ini dapat menyumbang tenaga kepada pembangunan negara nanti, dan bukannya berkhidmat dengan negara-negara asing.

4.      Memastikan institusi-institusi pengajian tinggi yang dipilih oleh JPA juga merupakan IPT yang diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

DAP Selangor juga menyeru pihak JPA supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama di mana pihak JPA telah menghantar pemohon-pemohon tajaannya ke luar negara untuk mengikuti kursus perubatan yang tidak diiktiraf oleh LAN.

DAP Selangor menyeru JPA supaya mengemaskinikan rekodnya dengan LAN dan agensi-agensi serta kementerian yang berkenaan sebelum menawarkan biasiswa PILN ini.

Sekian, terima kasih.

 

Yang benar,

 

 

ONG CHEE KENG,

Pengerusi DAP Selangor

Mewakili Ahli Jawatankuasa DAP Selangor

 

 

(16/06/2005)


*  Ong Chee Keng, Penolong Bendahari Kebangsaan DAP dan Pengerusi DAP Negeri Selangor