http://dapmalaysia.org  

Tubuhkan Suruhanjaya Diraja ataupun Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen Untuk Mengkaji Dasar dan Masalah Tenagakerja di Malaysia


Ucapan
- semasa menyertai perbahasan ke atas
Rang Undang-undang Akta Agensi Pekerjaan Swasta
oleh  
Teresa kok Suh Sim

(Dewan Rakyat, Khamis): Datuk yang diPertua, negara kita menghadapi banyak kekurangan dari segi menangani isu tenaga kerja. Pada satu pihak, ramai rakyat Malaysia menghadapi masalah pengangguran dan setengah rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan keluarga mereka di Malaysia untuk bekerja secara haram di negara maju, tetapi pada pihak yang lain, kita terpaksa mengimport tenaga kerja dari negara jiran di rantau ini, dan ramai di antara mereka menjadi pekerja asing tanpa izin ataupun tanpa dokumen sah.  

 

Mendaftar Pekerja Asing Tanpa Izin di Negara Kita
 

Kerajaan kelihatan agak sesat dari segi menangani pekerja asing tanpa izin yang begitu ramai di negara kita. Usaha untuk menghalau pekerja asing tanpa izin telahpun dijalankan banyak kali, tetapi apabila kerajaan  menghalau semua pendatang tanpa izin balik ke negara asal mereka, kita mendapati ramai pengusaha restoran dan industri kecil menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja dan mereka menyalahkan usaha kerajaan yang menghalau mereka.

 

Sekarang, kita terbaca bahawa ramai pekerja asing tanpa izin balik bekerja semula melalui saluran yang tidak sah. Walaupun begitu, saya merasa sangat hairan untuk membaca kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bahawa semua pekerja asing tanpa izin yang pernah bekerja di Malaysia boleh datang ke Malaysia dengan visa lawatan sosial dan mereka boleh mencari majikan baru dalam lawatan mereka. Bukankah kenyataan seperti ini mengalu-alukan pekerja asing tanpa izin untuk kembali kerja di Malaysia dengan visa lawatan sosial? Bukankah ini kenyataan yang bercanggah dengan usaha kerajaan untuk menghalau pekerja asing tanpa izin yang pada setengah tahun yang lepas?

 

Datuk yang diPertua, saya difahamkan bahawa kerajaan Thai telah mengiktiraf dan mendaftarkan sejuta orang pendatang tanpa izin yang majoritinya datang dari Burma supaya mereka boleh bekerja secara sah di Negeri Thai, bukankah cara ini lebih mudah daripada menghalau mereka balik ke tanah asal mereka dan lepas itu menyambut mereka balik bekerja di negara kita pula? 

 

Datuk yang diPertua, undang-undang, cara pengambilan pekerja asing dan dasar kerajaan terhadap pekerja asing memang mempunyai banyak masalah sehingga menjadikan ramai pekerja asing terpaksa menjadi pekerja asing tanpa izin, di samping menjejaskan kebajikan dan hak asasi manusia ramai pekerja asing kita.

  

Masalah sekarang:
 

1)      Kerajaan hanya memberi lesen kepada agensi pembantu rumah sahaja

Sekarang, kerajaan hanya memberi lesen operasi kepada agensi yang mengendalikan permohonan pembantu rumah sahaja manakala majikan di sektor lain yang ingin mengupah pekerja asing terpaksa berbaris panjang di pejabat imigresen untuk membuat permohonan mereka. Halangan terhadap agensi pekerjaan swasta untuk mengendalikan proses permohonan pekerja asing bukan pembantu rumah ini pun menyebabkan pekerja asing bukan pembantu rumah terletak di luar kawalan kerajaan, kerana sesiapa pun boleh memohon kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

 

Dasar kerajaan yang tidak mengenakan kawalan terhadap pekerja asing ini pun mewujudkan satu golongan agen pekerja asing yang baru. Golongan agen pekerja asing ini mengambil kesempatan untuk mendampingi pengurus sumber manusia di syarikat besar dan malah memberi wang rasuah kepada mereka untuk mengupah pekerja asing dengan harga biasa RM200 seorang pekerja asing. Selepas pekerja asing ini diambil masuk, mereka pun boleh dipecat beberapa bulan kemudian dengan pelbagai alasan, apabila mereka dipecat, permit kerja mereka pun dibatalkan oleh imigresen tetapi para pekerja asing ini tidak berani balik ke tanah air mereka kerana mereka telahpun membayar banyak wang kepada agen/orang tengah untuk datang bekerja di Malaysia, mereka tidak mampu pulang ke negara mereka dan terpaksa menjadi pekerja asing tanpa izin. Saya difahamkan wang yang dibayar oleh pekerja Indonesia kepada agennya ialah lebih kurang RM700 manakala pekerja India dan Bangladesh terpaksa membayar kos yang jauh lebih tinggi, iaitu lebih kurang RM10,000 untuk datang ke Malaysia.

 

Jadi, sekiranya kerajaan ingin mengurangkan pekerja asing tanpa izin di negara kita, maka kerajaan mestilah memberi agensi pekerjaan swasta ini untuk memproses permohonan pekerja asing di semua sektor dan bukan terhad kepada pembantu rumah sahaja, supaya semua pekerja asing terletak di bawah kawalan undang-undang dan agensi pekerjaan swasta.

 

2) Had umur pembantu rumah asing

Kerajaan menghadkan umur minima bagi pembantu rumah yang bekerja di Malaysia adalah 25 tahun. Had umur ini menyebabkan banyak agensi pekerjaan swasta ataupun agen pengambilan pekerja di negara jiran menipu imigresen kita dengan meletakkan umur palsu di passport mereka. Ini adalah kerana adalah agak susah bagi agensi pekerjaan swasta untuk mencari pembantu rumah yang berumur 25 tahun ke atas. Soalannya ialah, kenapakah kerajaan tidak merendahkan had umur pembantu rumah asing ini supaya pembantu rumah asing ini dan agensi pekerjaan swasta ini boleh lebih jujur kepada pihak imigresen dan keluarga majikan?  

 

3) Undang-undang yang ketat

Datuk yang diPertua, kita telah dengar banyak cerita tentang korupsi yang berlaku di kalangan pegawai imigresen dan pegawai polis. Kita mempunyai Akta Imigresen yang amat ketat di dunia, di mana majikan yang mengupah pekerja asing tanpa izin dan juga pekerja asing tanpa izin ini boleh dimasukkan penjara dan disebat. Selain itu, pekerja asing tanpa izin yang visa pekerjaan telah tamat tempoh dan ingin balik ke negara asal mereka juga akan menghadapi hukuman yang sama.

 

Datuk yang diPertua, sebenarnya, undang-undang yang ketat inilah yang menyebabkan ramai pekerja asing tanpa izin ini tidak berani pulang ke tanahair mereka. Selain itu, undang-undang ini juga memberi peluang kepada pegawai imigresen dan polis untuk mengambil rasuah daripada pihak majikan yang mengupah pekerja asing tanpa izin dan pekerja asing tanpa izin tersebut. Selain itu, hukuman yang berat terhadap pekerja asing tanpa izin dari negara jiran kita telahpun mencetuskan masalah hubungan luar negara kita dengan negara jiran dan mencemarkan imej dan reputasi Malaysia di masyarakat antarabangsa, jadi bukankah kerajaan seharusnya mengkaji semula Akta Imigresen kita supaya ia dijadikan lebih praktikal untuk dilaksanakan?

 

Sistem Bio-Metrik Harus Diletakkan di Semua Pintu Masuk Malaysia
 

Sekarang, kerajaan memperkenalkan sistem bio-metrik yang  menggunakan komputer untuk mencatat cap ibu jari pekerja asing sebagai langkah untuk mengesan dan menegah pendatang asing tanpa izin tetapi saya difahamkan bahawa sistem ini hanya diletakkan di imigresen KLIA sahaja tetapi bukan di semua pintu masuk ke Malaysia yang lain, seperti pelabuhan dan lapangan terbang yang lain? Sekiranya kerajaan ingin menyimpan rekod pekerja asing di negara kita, maka kerajaan sepatutnya mencatat rekod cap ibu jari semua pendatang asing apabila mereka membaharui visa kerja mereka.     

 

Kenapakah CLAB Ditubuhkan?
 

Datuk yang diPertua, semasa kita membahas rang undang-undang ini, saya menerima satu surat aduan yang dikatakan daripada agensi-agensi pekerjaan swasta yang berdaftar di Malaysia. Surat ini menyoal sebab kerajaan meluluskan “Construction Labour Exchange Center Berhad” (CLAB) untuk menguruskan pengambilan pekerja asing untuk majikan sektor pembinaan. Mengikut laman web CLAB, ahli lembaga CLAB adalah termasuk: Construction Industry Development Board (CIDB), Master Builders Association Malaysia (MBAM), Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Real Estate and Housing Developers Association (REHDA), Guild of Bumiputra Contractors (GCB) dan Persatuan Kontraktor India Malaysia (PKIM). Laman web CLAB juga menyenaraikan anggota Lembaga Penasihatnya yang termasuk: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Construction Industry Development Board, Master Builders Association Malaysia, Real Estate and Housing Developers Association dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.  

 

Mengikut laporan Bernama pada 24 Mac 2005, CLAB ditubuhkan dalam November 2003 oleh Construction Industry Development Board (CIDB) berikutan dengan satu keputusan yang dibuat oleh satu jawatankuasa kabinet tentang pekerja asing. CLAB dilaporkan terdapat 207 buah syarikat atau majikan berdaftar dengannya dan ia telah membawa masuk 413 orang pekerja asing sektor pembinaan.

 

Para pengusaha agensi pekerjaan swasta yang berdaftar ini amat tidak berpuashati tentang perlantikan CLAB oleh pihak kerajaan kerana ia amat tidak adil terhadap mereka. Kerajaan seharusnya memberi kebenaran pengambilan pekerja asing kepada agensi pekerjaan swasta dan bukan kepada CLAB, mereka juga mendakwa CLAB berkemungkinan mempunyai ahli-ahli palsu dan latar-belakang yang tidak diingini.

 

Datuk yang diPertua, mengikut kenyataan yang dibuat oleh pegawai perhubungan awam di Jabatan Imigresen, iaitu Mohd Aris Chonin di New Straits Times pada 3 September 1995, beliau berkata agen pengambilan pekerja asing seharusnya mempunyai lesen agensi pekerjaan swasta yang dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan agensi tersebut haruslah didaftar denga Jabatan Imigresen dan meletakkan RM100 ribu surat jaminan bank. Soalan sekarang ialah: kenapakah agensi berdaftar yang mematuhi peraturan tersebut selama 10 tahun pun tidak diberi peluang untuk mengambil pekerja asing pelbagai sektor tetapi sekarang kerajaan memberi kebenaran kepada CLAB untuk menjalankan tugas ini? Bukankah tindakan ini amat tidak adil terhadap agensi pekerjaan swasta ini?

 

Saya berharap YB Menteri boleh memberi satu jawapan yang memuaskan tentang isu ini.

 

Kerajaan Harus Memberi Perlindungan Kepada Pekerja Asing
 

Datuk yang diPertua, kita banyak baca di surat khabar tentang pekerja asing, khususnya pembantu rumah yang dianiayai oleh majikan mereka dan kita juga tahu ramai pembantu rumah asing sebenarnya berhutang banyak kerana terpaksa membayar fi kepada agen di negara asal mereka untuk datang bekerja di Malaysia.

 

Demi melindungi hak dan kebajikan pekerja asing, saya ingin memberi cadangan berikut:

i)          Kerajaan harus menghendaki majikan Malaysia membayar kos yang membawa masuk pekerja asing dan tidak membiarkan pekerja asing menanggung beban kos untuk datang ke Malaysia sebagai langkah untuk mengelakkan pekerja asing dieksploitasi oleh orang tengah dan agen mereka;

 

ii)         Kerajaan mempunyai tanggung jawab untuk menjaga kebajikan dan memelihara hak pekerja asing kita. Sekarang, pekerja asing merupakan hamba abdi moden yang menghadapi banyak eksploitasi dan penganiayaan oleh majikan mereka. Saya mencadangkan supaya pekerja asing ini diletakkan di bawah kawalan Kementerian Sumber Manusia dan kementerian ini diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pekerja asing seperti apa yang berlaku di Taiwan. Di Malaysia, apabila kontrak pekerjaan pekerja asing ditamatkan, visa kediaman mereka di Malaysia juga  ditamatkan, manakala di Taiwan, permit bekerja dan visa untuk bermastautin terletak dalam dua kementerian yang berlainan. Pekerja asing memohon permit kerja daripada Kementerian Buruh dan mereka memohon visa kediaman dengan pihak imigresen. Cara ini akan mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan korupsi pada pihak imigresen. 

 

iii)         Saya ingin menyeru kerajaan mencontohi dasar yang dilaksanakan di Taiwan, kerana negeri itu mempunyai pekerja asing tanpa izin yang sangat rendah kerana undang-undang di Taiwan memberi banyak perlindungan kepada pekerja asing yang berdaftar, dan ini menggalakkan pekerja asing mendaftar untuk menjadi pekerja asing yang sah. Misalnya, kerajaan membenarkan pembantu rumah yang dianiayai dan menghadapi gangguan seksual daripada majikan untuk bertukar ke bidang perindustrian yang memberi perlindungan kepada pekerja asing. Selain itu, kerajaan Taiwan juga memberi bantuan guaman dan bantuan kewangan kepada pekerja asing yang dianiayai oleh  majikan mereka. Selain itu, kerajaan Taiwan telahpun menubuhkan 20 pusat kaunseling di seluruh negara untuk membantu pekerja asing yang menghadapi pelbagai masalah dan juga memberi bantuan kewangan kepada 6 pusat perlindungan (shelter homes) kepada pekerja asing yang menghadapi masalah yang dikendalikan oleh NGO.  

 

iv)        Kerajaan mungkin harus membasmikan agensi pekerjaan swasta dan mengambil pekerja asing terus daripada negara yang mengeksport buruh, iaitu dengan cara kerajaan dengan kerajaan ataupun “G to G”. Dengan cara ini, kita bukan sahaja boleh mengadakan kawalan yang lebih ketat kepada pekerja asing, tetapi kita juga boleh menjaga kebajikan mereka dan mengelakkan mereka daripada eksploitasi dan diskriminasi.

 

Mengadakan Gaji Minima di Malaysia
 

Tibalah masanya bagi kerajaan untuk menetapkan gaji minima di Malaysia dan menaikan gaji rakyat Malaysia secara ansuran, di samping menaikkan levi untuk mengupah pekerja asing secara ansuran sebagai langkah untuk mengelak majikan kita untuk mengupah pekerja asing seperti apa yang  berlaku di Singapura.

 

Pelarian Diberi Peluang Mengisi Keperluan Pasaran Buruh  
 

Datuk yang diPertua, negara kita menghadapi masalah pendatang asing tanpa izin dan juga pelarian (refugee) tetapi anehnya negara kita tiada dasar migration, dan kerajaan kelihatan tidak menjalankan kajian yang menyeluruh tentang keperluan dan pembekalan tenaga kerja di Malaysia,  sehingga kerajaan selalu kelihatan tidak konsisten dan kadang-kadang agak serba-salah dari segi menangani pekerja asing dan pelarian.

 

Datuk yang diPertua, 20 Jun yang lepas ini adalah Hari Pelarian Sedunia, ramai di antara Ahli Parlimen kita telahpun menghadiri pelancaran buku panduan undang-undang pelarian antarabangsa oleh UNHCR yang begitu terharu dan menarik di bangunan Parlimen kita semalam. Tibalah masa bagi kita sebagai penggubal undang-undang di Parlimen kita untuk mengkaji masalah pelarian di negara kita di samping mengatasi masalah mereka. Saya menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang berkata bahawa kerajaan ingin memberi peluang kepada pelarian untuk bekerja demi mengisi keperluan tenaga kerja di negara kita. 

 

Datuk yang diPertua, kerajaan India telah memberi permit bermastautin satu tahun yang boleh diperbaharui kepada pelarian yang memegang surat UNHCR, saya difahamkan bahawa Malaysia mempunyai lebih kurang 50 ribu orang pelarian yang datang dari negara yang berlainan, seperti Aceh, Burma dan sebagainya, kesemua pelarian ini dilarang untuk bekerja dan ada di antara mereka telah hidup bergenerasi di Malaysia. Memandangkan negara kita dianggar memerlukan setengah juta kekurangan buruh dan kita amat memerlukan tenaga buruh asing dari luar negeri, adalah wajar bagi kita untuk membenarkan pelarian yang memegang surat pengesahan daripada UNHCR ini untuk bekerja, sebagai cara untuk mengatasi keperluan tenaga kerja di sektor pembangunan, sektor perladangan ataupun sektor rumahtangga di negara kita? Dengan ini, kita bukan sahaja boleh mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara kita, tetapi kita juga boleh menjaga kebajikan pelarian asing di negara kita dan mengadakan pengawasan terhadap mereka?

 

Datuk yang diPertua,  Malaysia merupakan negara yang menandatangani Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, saya mencadangkan supaya kerajaan menunaikan konvensyen ini dengan menjaga kebajikan dan kesihatan anak-anak daripada pelarian politik di negara kita, seperti memberi peluang kepada anak-anak pelarian politik yang duduk di Malaysia untuk belajar di sekolah dan diberi rawatan perubatan? Sehubungan dengan itu, saya juga ingin kerajaan menunaikan kenyataannya yang berjanji memberi kad pengiktirafan khas kepada pelarian Rohingya dari Burma di dewan yang mulia ini untuk mengelakkan mereka daripada ditangkap dan diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa dan polis. Selain itu, saya juga mencadangkan supaya kerajaan menandatangani Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai langkah untuk memelihara hak asasi manusia.

 

Kem Tahanan Semenyih Harus Dimajukan
 

Sehubungan dengan itu, banyak kritikan telahpun dilemparkan terhadap cara kita melayan pendatang aisng, termasuk sebatan yang dikenakan terhadap pendatang asing dan majikan yang mengupah mereka, layanan terhadap pendatang asing tanpa izin yang dikurung di Kem Tahanan Semenyih. Pendedahan tentang penyeksaan yang dihadapi oleh tahanan di Kem Tahanan Semenyih oleh Irene Fernandez, pengarah Tenaganita, iaitu NGO yang mengendalikan masalah pekerja asing telahpun mengejutkan kita semua pada beberapa tahun yang lepas. Tetapi apa yang saya tahu, masalah kekejaman, kekurangan makanan dan minuman, dan kesesakan masih berlaku di Kem Tahanan Semenyih, dan laporan yang negatif tentang keadaan yang kurang perikemanusiaan di Kem Tahanan Semenyih telahpun mencemarkan imej negara kita. Jadi, saya mencadangkan sekiranya kerajaan tidak dapat mencari jalan untuk mengatasi masalah pekerja asing yang berleluasa, maka kerajaan seharusnya memberi lebih peruntukan kepada Kem Tahanan Semenyih demi kemanusiaan dan namabaik negara kita.     

 

Tubuhkan Suruhanjaya Diraja ataupun Jawatankuasa Pilihan Khas di Parlimen Untuk Mengkaji Dasar dan Masalah Tenagakerja di Malaysia

  

Datuk yang diPertua, sekiranya kita betul-betul melancarkan operasi untuk memburu dan menangkap pendatang asing tanpa izin di negara kita, maka penjara dan kem tahanan pendatang asing tanpa izin pun tidak cukup untuk memuatkan mereka dan ini juga akan mengenakan kos yang tinggi pada kerajaan. Memandangkan isu tenaga kerja ini melibatkan beberapa kementerian dan kita tiada satu dasar migration yang jelas, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya diraja ataupun jawatankuasa pilihan khas di Parlimen untuk mendengar pandangan orang ramai di samping membuat kajian dan cadangan kepada kerajaan untuk membentuk dasar dan pindaan undang-undang kita, untuk menyelesaikan masalah tenaga kerja yang dihadapi oleh kita sekarang.

 

  

(23/6/2005)

 


* Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh