http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Isu berkaitan pendidikan dan perkhidmatan guru


Ucapan Penangguhan
oleh
M. Kula Segaran
 

(Dewan Rakyat, Rabu):

Pemeriksaan skrip calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Format peperiksaan mata pelajaran Pendidikan Moral (SPM) menyatakan pelajar dikehendaki menjawab dua daripada tiga soalan esei. Jika seseorang calon menjawab ketiga-tiga soalan esei, maka Lembaga Peperiksaan mengarahkan pemeriksa hanya perlu memeriksa jawapan bagi dua soalan esei mengikut urutan nombor soalan yang teratas. Oleh yang demikian, pemeriksa tidak perlu memeriksa jawapan bagi soalan yang ketiga yang dijawab oleh pelajar. Mengapakah kreteria lain yang digunapakai bagi mata pelajaran Sejarah iaitu pemeriksa diwajibkan memeriksa kesemua jawapan esei yang dijawab oleh calon yang tidak mengikut arahan dalam kertas soalan, kemudian memilih jawapan  yang mempunyai markah tertinggi di antara soalan-soalannya bagi penjumlahan markah. Mengapakah wujud ketidaksegaraman dalam pemeriksaan skrip jawapan calon di antara mata pelajaran? Tindakan sedemikian seolah-olah menghukum pelajar bukan Melayu yang wajib mengambil mata pelajaran Pendidikan Moral sebagai mata pelajaran teras. Secara tidak langsung, amalan sedemikian menjejaskan keputusan calon bukan Melayu.

 

Kurikulum Mata Pelajaran Sejarah (KBSM - Semakan tahun 2003)

Sebanyak 10 topik di tingkatan 4 dan 9 topik di tingkatan 5  bagi mata pelajaran Sejarah telah disusun dalam Kurikulum mata pelajaran Sejarah (Semakan tahun 2003). Ini bermakna seseorang pelajar perlu menguasai 19 topik untuk membolehkannya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Rata-rata kebanyakan sekolah terutamanya yang mempunyai bilangan pelajar bukan Melayu yang  terlalu ramai sukar menghabiskan sukatan. Ini disebabkan elemen Sejarah Islam yang diajar di Tingkatan 4 melibatkan 5 daripada 10 topik dan ia merupakan satu aspek pembelajaran yang baru bagi seseorang pelajar-pelajar bukan Melayu.  Oleh yang demikian, guru-guru yang mengajar di sekolah yang mempunyai bilangan pelajar bukan Melayu yang ramai mengambil masa yang agak lama untuk menerangkan sesuatu konsep dan isi kandungan elemen Sejarah Islam berbanding dengan guru-guru yang mengajar di sekolah yang mempunyai bilangan pelajar Melayu yang ramai. Kesannya penguasaan pelajar bukan Melayu dalam mata pelajaran Sejarah pada tahap yang rendah berbanding dengan pelajar Melayu.

(i)                 Adakah Kementerian Pelajaran telah membuat sebarang kajian mengenai prestasi pencapaian pelajar bukan Melayu dalam mata pelajaran Sejarah?

(ii)                Adakah Kementerian Pelajaran akan menyusun semula kurikulum mata pelajaran Sejarah bagi Tingkatan 4 dan 5  atau mengurangkan bilangan topik dalam tingkatan 4 dan 5 supaya tahap penguasaan pelajar bukan Melayu bertambah baik dan guru-guru dapat menghabiskan semua topik sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bermula?

(iii)              Mengapakah isi kandungan elemen Sejarah Islam dalam kurikulum tingkatan 4 sangat mendalam, padahal peringkat tingkatan 4 adalah peringkat pendedahan sahaja berbanding dengan peringkat tingkatan 6.

 

Perkhidmatan perguruan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM)

Sistem Saraan Malaysia mula dilaksanakan pada 1 November 2002 bertujuan meningkatkan tahap kompetensi anggota perkhidmatan awam. Peluang kenaikan pangkat kepada guru-guru diperluaskan apabila gred jawatan baru diperkenalkan seperti DG44. Berapakah bilangan  guru yang terlibat dalam kenaikan pangkat ke gred DG44 pada tahun 2003 dan 2004?

 

Peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada anggota perkhidmatan perguruan.

Peperiksaan PTK merupakan satu daripada syarat untuk anjakan gaji dan kenaikan pangkat di bawah Sistem Saraan Malaysia. Anggota perkhidmatan guru dikehendaki menduduki peperiksaan Tahap 1 dan Tahap 2. Peperiksaan bagi kedua-dua tahap telah dijalankan pada penghujung bulan Disember 2004 di mana guru dikehendaki menjawab 40 soalan objektif Bahagian I (Kompetensi Umum) dan 40 soalan objektif Bahagian II (Kompetensi Khusus/Fungsi).

(i)                 Berapakah bilangan guru siswazah dan bukan siswasah menduduki peperiksaan PTK pada tahun 2003 dan 2004?

(ii)                Berapakah peratus anggota perkhidmatan perguruan lulus dalam kedua-dua bahagian secara serentak iaitu Bahagian I (Kompetensi Umum) dan Bahagian II (Kompetensi Khusus/Fungsi) pada tahun 2003?

(iii)              Mengapakah Kementerian Pelajaran mengambil masa yang agak lama untuk mengumumkan keputusan peperiksaan. Misalnya keputusan peperiksaan PTK tahun 2003 diumumkan pada penghujung bulan April 2004 manakala keputusan peperiksaan PTK bagi tahun 2004 sehingga hari ini (24 Mei 2005) belum diumumkan. Amalan ini berlainan dengan pengumuman keputusan peperiksaan iaitu antara satu hingga tiga bulan. Contohnya, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang melibatkan jumlah calon yang agak ramai berbanding dengan bilangan guru yang menduduki peperiksaan PTK. Mengapakah wujud kelewatan dalam mengumumkan keputusan peperiksaan PTK bagi anggota perkhidmatan perguruan?

 

(29/06/2005)      

                                                       


M. Kula Segaran, Ahli Parlimen Ipoh Barat dan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP
 

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: