http://dapmalaysia.org  

PM HARUS MEROMBAK SEMULA PIMPINAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR SEBAGAI

LANGKAH PERTAMA MEMBETULKAN PENTADBIRAN NEGERI
 


Kenyataan Akhbar
oleh  Teng Chang Khim

(Klang,  Jumaat): Saya menyeru Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahamd Badawi merombak semula barisan pimpinan kerajaan Negeri Selangor Barisana Nasional sebagai langkah pertama membetulkan pentadbiran kerajaan negeri. 

Terdapat terlalu banyak skandal dan kontroversi sepanjang tempoh pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato Seri Mohd Khir Toyo, sejak tahun 1999 yang mendedahkan kelemahan beliau sebagai ketua kerajaan negeri.

 

Kes-kes tersebut termasuk pembinaan jalan di Sekinchan, pemberian tanah dengan RM300 seekar kepada pegawai tinggi kerajaan, ahli exco, ahli dewan undangan negeri, setiausaha dan pembantu Menteri Besar, lawatan ke luar negeri yang membazir oleh kerajaan negeri dan tempat berkuasa tempatan, cadangan lawatan Jawatankuasa Kira-kira Awam Dun Selangor yang membazir, ahli exco terlibat dalam perniagaan, ahli Majlis Perbandaran Klang secara palsu mendakwa diri dilantik sebagai Jaksa Pendamai, pembangunan di persekitaran Taman Pertanian Bukit Cahaya Sri Alam, U10 Shah Alam, pembangunan di dekat Taman Rimba Templer, pembangunan di Bukit Sungai Puteh dan sebagainya.

 

Saya telah berulang kali menyeru kerajaan negeri mengambil sikap yang serius terhadap teguran orang ramai terhadap pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan tempatan. Tetapi oleh kerana keangkuhan Menteri Besar Selangor kerana merasa terlalu selasa dengan majority yang dimenangi oleh Barisan Nasional, beliau tidak mengendahkan permintaan rakyat terhadap pentadbiran beliau.

 

Melainkan Perdana Menteri mengambil tindakan segera menggantikan semula barisan pimpinan kerajaan negeri, pentadbiran negeri akan terus berada di dalam keadaan kucar-kacir dan imej negeri Selangor sebagai negeri maju akan terjejas. Selangor tidak akan dapat terus maju dengan imejnya sebagai sebuah negeri yang sentiasa dihantui dengan skandal yang tidak diselesaikan.

 

(4/3/2005)


* Teng Chang Khim, Ketua Pembangkang DUN Selangor dan ADUN DAP kawasan Sg Pinang