http://dapmalaysia.org  
RUMAH BANGLOW AND KELAB UNTUK AHLI EXCO SELANGOR - PENYALAHGUNAAN WANG AWAM
 

Kenyataan Akhbar
oleh  Teng Chang Khim

(Klang,  Selasa): Saya menggesa Menteri Besar Negeri Selangor, Dato Seri Mohd Khir Toyo, menjelaskan alasan kerajaan Selangor membina 10 rumah banglow and sebuah rumah kelab untuk kegunaan ahli exco negeri Selangor di Seksyen 7, Shah Alam. 

Adalah dijangkakan keseluruhan projek tersebut perlu menelan RM40 juta untuk kos tanah, pembinaan dan kos kelengkapan yang lain. Selain daripada itu, kerajaan negeri juga perlu menanggung semua kos pembiayaan dan penyelenggaraan rumah banglow dan rumah kelab setiap bulan.

 

Buat masa ini, kerajaan negeri Selangor ada membayar elaun perumahan kepada semua ahli exco. Pembayaran elaun perumahan ini adalah lebih ekonomikal jika berbanding dengan pembinaan rumah banglow yang memerlukan kos penyelenggaraan bulanan yang tinggi .

 

Bagi rumah kelab ahli exco pula, adalah amat tidak menasabah untuk membina sebuah rumah kelab berjuta ringgit di kawasan rumah banglow exco untuk kegunaan 10 orang ahli exco sahaja. Ahli exco negeri Selangor boleh menjadi ahli Kelab Shah Alam di mana yuran keahlian hanya adalah RM1,500.00 sahaja. Tidak adalah sebab yang kukuh mengapa sebuah kelab yang eksklusif harus dibina untuk ahli exco sahaja.

 

Dato Seri Toyo dan ahli exco negeri Selangor harus melihat jawatan yang mereka pegang di dalam barisan kerajaan negeri sebagai tanggungjawab untuk menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat. Wang rakyat harus diutamakan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya dan bukan untuk dinikmati oleh ahli exco.

 

Pembinaan rumah banglow dan rumah kelab ekslusif ini hanya mendedahkan bahawa kerajaan negeri Selangor gagal membelanjakan wang rakyat dengan berhemah dan merupakan satu penyalahguaan wang awam untuk kepentingan diri.

 

(8/3/2005)


* Teng Chang Khim, Ketua Pembangkang DUN Selangor dan ADUN DAP kawasan Sg Pinang