http://dapmalaysia.org  
Tanah Kerajaan diberikan kepada syarikat yang pengarahnya ADUN Tronoh pada hanya RM2.26 setiap kaki persegi
 

Kenyataan Media
oleh Fong Po Kuan

(Pusing,  Selasa): DAP menyeru Ahli Dewan Undangan Negeri Tronoh, Datuk Lee Kon Yin menjelaskan peranan yang dimainkan olehnya di dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd sebagai Pengarah berkenaan perolehan tanah kerajaan yang seluas 2.3 ekar tersebut di Pusing. 

Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd telah diperuntukkan lebih kurang 2.3 ekar di Pusing, Perak selepas cadangan memajukan tanah dikemukakan oleh Syarikat tersebut pada tahun 2001.  

ADUN Pengarah Syarikat  

Menurut carian maklumat Syarikat, Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd terdiri daripada 2 orang Pengarah dan salah seorangnya adalah Datuk Lee Kon Yin, ADUN bagi Kawasan Tronoh di mana Pusing adalah terletak di bawah kawasannya.  Maklumat syarikat menyatakan bahawa Datuk Lee dilantik sebagai Pengarah Syarikat pada bulan Disember 2001. 

Persoalan di sini, apakah terdapat konflik kepentingan faedah atau tanggungjawab, sebagai wakil rakyat kawasan tersebut dan Pengarah Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd di dalam isu memohon dan memperolehi dua keeping tanah, 2.3 ekar tanah oleh syarikat tersebut bagi mendirikan 29 lot kedai tersebut. 

Tanah yang seluas 2.3 ekar tersebut,  sebelum ini merupakan tanah kerajaan yang terdiri daripada 2 keping tanah.  Satunya, adalah bekas kuarters JKR yang didiami oleh bekas penyewa daripada JKR dan dua orang warga tua yang tidak berkemampuan. Kuarters tersebut telah dirobohkan dan penghuninya dipanggil meninggalkan tempat tersebut dengan bayaran kos “perpindahan” di antara RM 1,000- 2,000 sahaja pada bulan Disember tahun lalu. 

Kini, papan tanda telah dipacak di atas tanah ini dengan notis projek mendirikan  bangunan kedai oleh sebuah syarikat pemaju, Keris Properties. Sebanyak 16 suratan hakmilik dikeluarkan untuk keping tanah ini.   

 Sekeping tanah yang lain pula, telah didaftarkan kepada 13 suratan hakmilik tanah untuk tujuan bangunan kedai adalah terdiri daripada “basket ball court” dan padang.  Disebabkan kemudahan padang bola keranjang telah rosak dan tidak diperbaiki, belia dan penduduk tidak dapat menggunakan kemudahan tersebut sejak tahun lalu.  Kedudukan tanah ini adalah di sebelah pasar dan kini menjadi tempat meletak kenderaan oleh penduduk Pusing dan tempat perniagaan Pasar pagi pada setiap hari Selasa. 

Perlu Penjelasan MB Perak 

Persoalan di sini adalah,

 1.Apakah kriteria yang digunakan oleh YAB Menteri Besar di dalam meluluskan dua keping tanah ini kepada Syarikat Panglima Bangsa di atas alasan “memajukan tanah kerajaan”?  Menurut maklumat penyata kewangan daripada carian maklumat syarikat tersebut, syarikat ini hanya mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih kurang RM 6,252 pada tahun 2003 sahaja.

 

2. Suratan hakmilik tanah telah dikeluarkan dan didaftarkan kepada Syarikat ini pada bulan Ogos 2004 dan adalah mengejutkan bahawa ada di antara 29 lot tanah tersebut telah dipindahmilik pada bulan Oktober 2004 kepada sebuah syarikat pemaju yang lain, Tujoh Jaya Sdn Bhd. 

Ini menimbulkan tanda tanya niat sebenar Syarikat Panglima Bangsa memohon tanah kerajaan tersebut, yang ketika mengemukakan permohonan menyatakan adalah untuk “memajukan tanah kerajaan”! 

3. Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd hanya perlu membayar premium tanah yang rendah, iaitu, lebih kurang RM  226,000 untuk kesemua 29 lot tanah komersial. 

Jika dibandingkan dengan penduduk yang menetap di Kampung Baru Bukit Merah, Lahat, ketika permohonan tanah mereka diluluskan, mereka dikenakan RM 40,000 premium tanah bagi tanah kediaman di kampung, adalah lebih tinggi daripada yang kena dibayar secara purata oleh Syarikat Panglima Bangsa ke atas setiap lot tanah komersial di Pusing ini. 

4. Apakah sebab tanah komersial dianugerahkan kepada Panglima Bangsa pada hanya RM 2.26 setiap kaki persegi sahaja? 

5.Adakah kerana salah seorang Pengarah dalam Syarikat ini adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri  daripada Barisana Nasional? 

Apabila DAP melawat ke lot tanah ini minggu lepas dan menyeru agar YAB Menteri Besar berprihatin kepada keperluan memerlihara tanah lapang ini dan kemudahan “basket ball court” ini, Datuk Lee dilaporkan menyatakan  

1.     Bahawa tanah ini  adalah kepunyaan syarikat swasta  DAN 

2.     Lebih kurang dua tahun yang lalu, beliau telah  “mendapatkan” tanah lapang iaitu taman rekreasi diTaman Ria, Pekan Baru Pusing dan  Taman Pelangi  dan 3 “basket ball court” untuk penduduk di Pusing.  Oleh itu, penduduk di Pusing adalah tidak perlu risau mereka tidak mempunyai tempat untuk rekreasi. 

Semasa membuat kenyataan tersebut di atas, Datuk Lee menyembunyikan identiti beliau sebagai Pengarah lantikan di syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd yang memohon dan memperolehi tanah tersebut daripada kerajaan sebelum ia dipindahmilik kepada syarikat swasta yang lain, Tujoh Jaya Sdn Bhd. 

Apakah Datuk Lee tidak menyedari  bahawa kebiasaan ia adalah keperluan undang-undang bahawa tanah lapang perlu disediakan taman rekreasi atau tanah lapang dan tidak perlu “diperjuangkan” oleh mana-mana pihak. 

Taman rekreasi yang sedia ada termasuk kemudahan bola keranjang yang sedia adalah untuk kegunaan penduduk di taman perumahan yang berdekatan.  Oleh itu, kemudahan di sebelah pasar ini perlu diperlihara untuk penduduk dipersekitaran ini. 

Letak Jawatan  

Jika Datuk Lee gagal menjelaskan peranannya sebagai Pengarah di dalam Syarikat Panglima Bangsa Sdn Bhd dalam isu tanah ini,  demi kebaikan imejnya sebagai wakil rakyat, beliau harus membuat satu pilihan iatu, samada meletak jawatan sebagai Pengarah Syarikat ini agar tidak berterusan menimbulkan syak wasangka berkenaan keutamaan tanggungjawabnya mewakili faedah pengundinya di Pusing serta memastikan tanah yang terlibat dikembalikan kepada komuniti Pusing.  Alternatifnya, beliau meletak jawatannya sebagai ADUN kawasan Tronoh, jika beliau lebih berminat menjadi ahli perniagaan. 

Kempen Tandatangan Maklumbalas Penduduk Pusing 

DAP akan mengadakan satu tandatangan seminggu bagi mendapatkan maklumbalas samada tanah lapang ini masih mempunyai keperluan untuk faedah teramai komuniti di Pusing. 

(22/3/2005)


* Fong Po Kuan, Ahli Parlimen DAP Kawasan Batu Gajah