http://dapmalaysia.org  
Pengesahan CFO Oleh Arkitet Pakar Perunding Bangunan
 

Ucapan
-
Dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih YDP Agong
oleh Teresa Kok Suh Sim

(Dewan Rakyat ,  Rabu): Datuk yang diPertua, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telahpun mengumumkan bahawa kerajaan akan memberi hak kepada arkitet dan perunding projek bangunan untuk meluluskan dan mengesahkan bangunan yang direka dan dipertugaskan oleh mereka setelah ia siap dibina, dengan tujuan untuk mengurangkan rep-tape dan kelewatan pihak agensi kerajaan dan kerajaan tempatan dari segi pengeluaran CFO.

Keputusan kerajaan yang meletakkan beban pengesahan sesuatu bangunan dan projek pembinaan pada pihak perunding projek dan arkitek adalah amat kurang wajar dan penuh dengan resiko, kerana ini bermaksud pengluputan layar “audit” terhadap sesuatu projek bangunan. Pengauditan suatu projek perumahan adalah sama seperti pengauditan akaun suatu syarikat, tujuan kita mengadakan external auditor adalah untuk memastikan akaun suatu organisasi dan syarikat itu betul dan bernas, pengluputan kuasa kerajaan tempatan dari segi pengeluaran CFO pun bermaksud ketiadaan external auditor bagi sesuatu projek perumahan.

Datuk yang diPertua, sebenarnya banyak masalah perumahan dan bangunan telah  walaupun dengan adanya pergauditan dan pemeriksaan oleh agensi kerajaan tempatan, ini ternyata dalam projek terbengkalai di Bangunan Maltrade, Keruntuhan Pangsapuri Highland Towers yang lepas, keretakan yang serius pada Pangsapuri Lembah Maju di Ampang yang telah mendapat CFO dan sebagainya. Sekiranya, kerajaaan membiarkan arkitet dan perundingan bagunan yang diupah oeh pemaju untuk mengesah dan meluluskan bangunan dan projek perumahanyang dereka-bentuk oleh mereka sendiri tanpa semakan luar. Maka saya pasti lebih banyak penipuan dan masalah akan berlaku pada masa yang akan datang dan pembeli rumalah pun akan menjadi mangsa dalam dasar ini.

Masalah Menggunakan Bahasa Inggeris Untuk Mengajar Sains dan Matematik

Datuk yang diPertua, Kongres Pendidikan Melayu Kedua yang tamat baru-baru ini menyaran kerajaan untuk mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik. Mengikut mereka, lebih kurang 80 peratus atau setengah juta pelajar Melayu akan keciciran dalam kedua-dua matapelajaran tersebut jika ia diteruskan. Kenyataan Kongres Pendidikan Melayu ini telah mendapat perhatian yang serius daripada pihak kerajaan di mana YAB Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji pandangan Kongres Pendidikan Melayu ini.

Sebenarnya, langkah yang menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik kepada murid-murid sekolah sejak Darjah Satu telahpun mendatangkan banyak kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk pakar pendidikan. Kritikannya ialah  metapelajaran seperti Sains dan Matematik merupakan subjek yang memerlukan fahaman konsep. Sekiranya kedua-dua matapelajaran konsep ini disampaikan melalui Bahasa Inggeris yang tidak difahami oleh mereka, maka ini pun akan menjejaskan fahaman mereka terhadap kedua-dua matapelajaran tersebut.

Sebenarnya, adalah sangat susah bagi guru-guru di sekolah rendah untuk mengajar Sains dan Matematik dengan menggunakan Bahasa Inggeris, khususnya bagi guru-guru yang sendirinya kurang fasih dalam Bahasa Inggeris. Guru-guru mengadu bahawa mereka tidak tahu semada mereka mereka mengajar Bahasa Inggeris ataupun Sains dan Matematik kerana murid-murid ini langsung tidak faham bahasa pengajaran guru-guru mereka, ramai murid-murid kecil ini baru belajar alphabet “a” “b” “c” dalam Darjah Satu,  macam mana murid-murid ini dapat menguasai konsep Sains dan Matematik melalui bahasa yang mereka tidak faham langsung?

Datuk yang diPertua, saya faham bahawa dasar menggunakan Bahasa Inggeris untuk mengajar Sains dan Matematik sebenarnya bukan dibangkitkan oleh Kementerian Pendidikan sendiri. Ia dilaksanakan kerana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menghendakinya dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan mutu dan tahap Bahasa Inggeris murid-murid sekolah. Sekarang Tun Dr Mahathir telah pun berundur daripada politik, tibalah masanya bagi Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula dasar ini.

Saya menyokong usaha Kerajaan untuk meningkatkan mutu Bahasa Inggeris pelajar kita kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang diperlukan oleh rakyat kita untuk menghadapi cabaran globalisasi.Tetapi cara meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa bukan melalui pembelajaran Sains dan Matematik tetapi melalui kelas Bahasa Inggeris yang mengajar tatabahasa (grammar)dan perkataan Baru. Kerajaan Negeri China,Jepun dan Korea banyak menggalakkan rakyatnya belajar Bahasa Inggeris,tetapi mereka tidak melakukannya dengan memaksa murid-murid Darjah Satu untuk belajar Sains dan Matematik melalui Bahasa Inggeris.

Pendidikan merupakan asas untuk membina bangsa dan Negara.Dasar pendidikan yang salah akan menjejaskan masa depan anak-anak kita dan menyebabkan generasi yang akan datang itu kurang kompetitif. Saya menyeru kerajaan supaya mengambil langkah yang tegas dan pantas untuk meretifkasikan kesalahan pengajaran kita sekarang sebagai langkah untuk menyelamatkan masa depan generasi muda kita.

Datuk yang dipertua,sehubungan dengan itu,saya juga ingin menarik perhatian Dewan ini dengan kertas kerja yang dibentangkan oleh seorang pakar pendidikan Melayu yang terkenal, Profesor Datuk Isahak, di Kongres Pendidikan Melayu Kedua. Datuk Isahak mencadangkan supaya kaum melayu menghantar anak-anak mereka untuk belajar di Sekolah Rendah Cina demi menjamin masa hadapan mereka.Beliau dilaporkan berkata bahawa cara pengajaran guru-guru Sekolah Rendah Cina adalah lebih bersesuaian kepada murid-murid yang mempunyai kebolehan dan kefahaman yang berlainan.

Datuk yang dipertua,ini adalah pandangan daripada seorang pakar pendidikan dan bukannya ahli politik.Sebenarnya semakin ramai ibubapa Melayu menghantar anak-anak mereka untuk belajar diSekolah Rendah Cina,tetapi kesalnya, Kementerian Pendidikan dan ahli politik Barisan Nasional masih enggan mengiktiraf fakta ini dan masih melaksanakan dasar yang diskriminasi terhadap Sekolah Rendah Cina dengan tidak memberi peruntukan dan latihan guru yang cukup kepada mereka.Sekiranya dasar ketidakadilan ini diteruskan,maka akhirnya,murid-murid Melayu yang belajar di Sekolah Rendah Cina pun akan menjadi mangsa dalam dasar yang berunsur diskriminasi ini

Serbuan JAWI

 

Datuk yang diPertua, pemeriksaan terkejut yang dilakukan oleh pegawai Jabatan Agama Islam ataupun polis moral terhadap umat Islam telah mendatangkan banyak bantahan dan kritikan daripada orang ramai, khususnya golongan Muslim. Bantahan ini adalah nyata ditunjukkan oleh satu kenyataan bersama yang disokong oleh 52 pertubuhan bukan kerajaan, 3 parti politik pembangkang, 21 Ahli Parlimen termasuk 3 orang menteri kabinet dan juga 233 individu.

 

Saya menyokong ucapan YB Kota Baru di Dewan yang mulia ini yang menyatakan tindakan Jabatan Agama Islam ini telahpun mencabuli prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya juga memuji fikiran terbuka yang ditunjukkan oleh YB Kota Baru, para ahli-ahli berhormat di Dewan yang Mulia ini termasuk menteri kabinet yang menyokong kenyataan bersama tersebut, dan saya menyeru pihak kerajaan akan mengkaji semula kuasa yang diberi oleh Jabatan Agama Islam yang mencabuli keperibadian atau privacy individu, kerana yang menjadi mangsa itu bukannya umat Islam sahaja, tetapi juga termasuk orang bukan Islam kerana kadang-kadang orang bukan Islam juga salah ditangkap oleh pegawai jabatan agama dan perniagaan mereka juga terjejas kerana tindakan agama jabatan agama Islam yang melulu tersebut.

 

Tindakan Terhadap InvenQjaya

 

Datuk yang di Pertua, saya terbaca dalam surat khabar Singapore Business times dan Malay Mail tentang tindakan yang diambil oleh Polis bagi pihak Kementerian Kewangan yang menggunakan Anti-Money Laundering Act 2001 terhadap syarikat  InvenQjaya Sdn Bhd yang dipengurusikan oleh seorang pelabur bangsa Arab dari Amerika Syarikat Dr Sadeg Mustafa Faris.

 

Mengikut beliau, beliau dipelawa oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir  untuk melabur di Malaysia dengan memindah teknologinya di negara kita. Beliau juga diberi pinjaman sebanyak RM 437 juta oleh Kementerian Kewangan tetapi kemudian Kementerian Kewangan tidak menunaikan perjanjian dengan beliau dan selalu melewatkan bayaran pinjaman kepadanya khususnya selepas Tun Dr Mahathir berundur daripada politik. Pada Jan 2005 Syarikatnya diserbu oleh polis berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh Sushamma Gokhale bekas pegawai syarikat itu, yang mendakwa beliau melakukan kesalahan Jenayah Pecah Amanah (CBT), banyak barang dan dokumen penting syarikatnya diambil oleh pihak polis. Pada Feb 2005 juga, pihak polis memberitahunya syarikatnya diambil tindakan di bawah seksyen 52(1)  Anti-Money Laundering Act 2001, para pengarah syarikatnya dan beliau tidak boleh mengendalikan perniagaan syarikatnya dan syarikatnya diambil alih oleh Price Waterhouse, iaitu syarikat itu telah disita oleh pihak polis.



Saya ingin minta Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri untuk memberitahu dewan yang mulia ini apakah yang sebenarnya berlaku pada syarikat InvenQjaya Sdn Bhd? Apakah Dr Sadeg merupakan mangsa manipulasi politik oleh pihak tertentu di Kementerian Kewangan? Apakah taktik menggunakan Anti-Money Laundering Act terhadap pelabur asing secara sewenang-wenang ini akan menakutkan pelabur asing sehingga Malaysia akan jauh ditinggalkan oleh pelabur asing? Apakah layanan terhadap Dr Sadeg ini adalah kerana beliau enggan memberi rasuah dan menunduk kepada arahan pihak tertentu di Kementerian Kewangan? Saya minta kedua-dua Kementerian Kewangan dan pihak polis bertindak secara munasabah dalam kes ini supaya imej Malaysia tidak dijejaskan di kaca mata pelabur asing.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Harus Memantau Syarikat Multi-Level Marketing Dengan Lebih Ketat

 

Datuk yang diPertua, syarikat Multi-level marketing telahpun bertumbuh seperti cendawan selepas hujan. Walau bagaimanapun saya rasa Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kelihatan tidak memainkan peranan yang sepatut dimain olehnya untuk memantau syarikat-syarikat ini sehingga ramai orang yang terlibat dalam perniagaan tersebut dijadikan mangsa.

 

Datuk yang diPertua, saya pernah bangkitkan penipuan yang dilakukan oleh syarikat Asia Command Sdn Bhd dan Netforum Sdn Bhd yang mengurusniagakan kad I-Cash dalam dewan yang mulia ini pada pertengahan tahun lepas. Kementerian ini memulihkan lesen kepada syarikat tersebut beberapa bulan selepas menarik balik daripada syarikat berkenaan dengan alasan kerajaan menghendaki syarikat berkenaan menyelesaikan masalah kewangan dengan agen-agen mereka. Untuk pengetahuan kementerian, syarikat tersebut sebenarnya tidak menjalankan usaha untuk membereskan masalah mereka ataupun menyelesaikan hutang dengan agen mereka. Salah seorang agen I-Cash di pusat Kuala Lumpur telahpun menang dalam kes mahkamah mereka dua bulan yang lepas kerana Asia Command Sdn Bhd langsung tidak mempertahankan diri dalam mahkamah. Selain itu, saya juga pernah bertemu dengan peniaga dan agen I-Cash di Indonesia yang juga berkata mereka telah ditipu beribu-ribu ringgit oleh syarikat tersebut, alasan mereka ditipu adalah kerana syarikat berkenaan menggunakan nama dan gambar Perdana Menteri untuk menarik pelanggan. Saya ingin tanya pihak Menteri, apakah tindakan yang akan diambil oleh kementerian terhadap syarikat multi-level marketing ini?

 

Selain itu, sekumpulan agen syarikat multi-level marketing Melilea Sdn Bhd juga mendakwa bahawa syarikat tersebut tidak membayar komisyen mereka yang berjumlah RM8 juta. Kumpulan agen ini pernah mengadu kepada Biro Pengaduan di JPM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, kemudian mereka juga pernah mencari bantuan daripada YB Timbalan Menteri di JPM dari Taiping. Mereka mendakwa bahawa aduan mereka kepada Kementerian tidak diambil serius oleh pegawai kementerian kerana mereka disuruh untuk menyelesaikan masalah mereka dengan syarikat Melilea dan mereka kelihatan berpihak kepada syarikat tersebut, sama seperti cara mereka mengendalikan kes I-Cash.

 

Datuk yang diPertua, saya telah banyak mendengar tentang rasuah yang berlaku di kalangan pegawai di Kementerian ini, khususnya dari segi kelulusan lesen. Kedua-dua kes yang saya sebutkan tadi menunjukkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna lebih berpihak kepada syarikat multi-level marketing yang didakwa menipu orang ramai daripada memberi perlindungan kepada pengguna dan agen yang tertipu. Memandangkan pihak kementerian mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen, bukankah ini merupakan lesen percuma kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menipu dan merompak? Kenapakah pihak kementerian tidak menggantungkan lesen mereka, mengenakan denda terhadap pihak syarikat dan menjalankan siasatan terhadap kesemua aduan ini sebagai langkah untuk menegah lebih orang ditipu oleh syarikat-syarikat berkenaan?

 

Syarat Pengupahan Yang Tidak Adil Terhadap Paramugari MAS

Datuk yang diPetua, saya merasa sangat kesal terhadap syarat pengupahan yang diskriminasi terhadap paramugari MAS di mana mereka dikehendaki untuk berhenti kerja pada umur 40 tahun manakala ketua paramugari bersara pada umur 45 tahun. Selain itu, mereka juga dihadkan untuk mempunyai dua anak sahaja, mereka tidak diberi elaun perubatan dan tidak dibayar gaji sejak mereka mengandung pada bulan ketiga sehingga bayi dilahirkan.

 

Saya faham bahawa syarat pengupahan ini adalah termaktub dalam Perjanjian Kolektif di antara Majikan MAS dan Kesatuan Sekerja MAS. Ramai Paramugari MAS tidak faham kenapakah kesatuan sekerja mereka bersetuju dengan syarat pekerjaan sebegini dan mereka berkata mereka tidak pernah dirunding sebelum perjanjian bersama itu dimeterai.

 

Datuk yang diPertua, walaupun bekas pramugari MAS Beatrice Fernandez yang dipecat oleh MAS kerana beranak telah kalah di Mahkamah Persekutuan, tetapi ini tidak bermaksud syarat pekerjaan MAS terhadap paramugari itu betul. Umur 40 sebenarnya merupakan tahap klimaks dalam hayat manusia, kebanyakan orang hanya mampu mencapai kecemerlangan dalam kerjaya mereka selepas mereka mencapai umur 40 tahun, tetapi kesalnya MAS menghendaki paramugarinya bersara pada umur kecermelangan mereka. Kerja apa yang boleh dilakukan oleh paramugari MAS selepas mereka bersara pada umur yang begitu muda, khususnya mereka yang beranak dan perlu menanggung keluarga? Selain itu,kebanyakan syarikat swasta dan agensi kerajaan tidak ingin menggaji wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun. Ini bermaksud paramugari MAS ini terpaksa menganggur selepas mereka berhenti kerja, apa yang mereka dapat hanyalah graduti sebanyak 15 ribu ringgit sahaja selepas mereka bersara.

 

Datuk yang diPertua, syarat pekerjaan yang berunsur diskriminasi ini sebenarnya hanya wujud di MAS dan bukan syarikat penerbangan yang lain. Saya difahamkan bahawa umur bersara paramugari Air India ialah 57 tahun manakala bagi Japan Airlines pula, umur bersara paramugari ialah 60 tahun. Jadi, apakah alasan MAS untuk menetapkan syarat pekerjaan yang begitu diskriminasi ini?

 

Saya menyeru pengurusan MAS membetulkan syarat pengupahan yang berunsur diskriminasi terhadap paramugari ini dan menjadikannya sejajar dengan jiwa yang termaktub dalam artikel 8 dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya juga menyeru Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendesak MAS untuk membetulkan syarat pekerjaan yang tidak adil terhadap wanita ini.

 

Apakah Kriteria Perlantikan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kawasan Parlimen?

 

Datuk yang diPertua, saya ingin tanya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apakah kriteria atau pemilihan perlantikan Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kawasan Parlimen, berapakah peruntukan diberi kepada setiap Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kawasan Parlimen, dan berapakah pengerusi majlis ini diketuai oleh kaum bukan Bumiputera?

 

Saya pernah mengadu kepada YB Menteri bahawa saya tidak pernah dijemput untuk menghadiri apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kawasan Parlimen Seputeh walaupun saya adalah wakil rakyat wanita di kawasan ini. Selain itu, saya juga tidak tahu bilakah Majlis ini dibentuk. Saya juga merasa amat hairan untuk melihat bahawa satu kawasan Parlimen yang mempunyai sebanyak 90 peratus penduduk Cina, Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Kawasan Parlimen ini diketuai oleh wanita daripada UMNO yang langsung tidak tahu tentang masalah dan kehendak wanita Cina di kawasan saya? Saya sebagai Ahli Parlimen selalu dijemput untuk menghadiri mesyuarat dan aktiviti yang dianjurkan oleh Kementerian tetapi saya tidak dijemput untuk menghadiri apa-apa aktiviti oleh Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga di kawasan saya, bukankah ini bercanggah dengan dasar kementerian?

 

Sehubungan dengan itu, sekiranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ingin menggunakan peruntukannya untuk menghulurkan bantuan kepada wanita akar-umbi, saya mencadangkan kepada kementerian supaya jawatan pengerusi dan jawatankuasa majlis kawasan Parlimen dipegang oleh pemimpin NGO dan bukannya ahli politik untuk mengelakkan masalah seperti ini.  

 

Sistem Pengangkutan di Lembah Klang

 

Datuk yang diPertua, pembangunan di kawasan Lembah Klang telah menjadi semakin pesat, tetapi seperti apa yang dikatakan oleh YAB Perdana Menteri kita, kerajaan tempatan kita masih mempunyai “Infrastruktur Dunia Pertama tetapi Mentaliti Dunia Ketiga”, di mana banyak kawasan perumahan yang diluluskan oleh kerajaan majlis perbandaran, langsung tidak mengambil kira tentang kesesakan jalanraya yang akan berlaku pada masa yang akan datang. Kerajaan tempatan di Lembah Klang kelihatan tidak ada apa-apa rancangan untuk meredakan kesesakan jalanraya di kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, dan mereka kelihatan tiada rancangan untuk meluaskan rangkaian LRT atau monorail. Ini jelas ditunjukkan di kawasan perumahan baru yang dibangunkan pesat di Cheras, Kota Damansara, Kepong, Puchong dan juga kawasan Mid-Valley.

 

Soalan saya, apakah tugas dan bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan? Bukankah isu tentang pembangunan dan sistem pengangkutan di Lembah Klang haruslah diambil berat dan diteliti oleh kementerian ini dan kementerian ini haruslah menjalankan kajian yang terperinci terhadap masalah pengangkutan di seluruh Lembah Klang? Kalau tidak, apakah kerja Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen di kementerian ini? Sekiranya kerajaan ingin menjadikan Kuala Lumpur sebagai “World Class City”, maka kerajaan mestilah mula menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dan memperbanyakkan sistem pengangkutan di Lembah Klang, kalau tidak, saya bimbang Kuala Lumpur mungkin akan menjadi tempat letak kereta World Class pada tahun 2020.

 

Sehubungan dengan itu, saya juga ingin minta pihak kerajaan memberitahu dewan ini bilakah kerajaan akan menyelesaikan masalah kekurangan bas di kawasan Lembah Klang, khususnya di banyak kawasan perumahan di Kuala Lumpur? Apakah Bas Rapid ini syarikat di bawah kawalan kerajaan ataupun syarikat swasta? Kementerian manakah yang memantau Bas Rapid dan menerima aduan daripada publik?

 

Sehubungan dengan itu, saya juga menyeru pihak kementerian memandang serius terhadap kritikan dan aduan yang dibangkitkan oleh wakil rakyat di Parlimen. Saya pernah membangkitkan isu pembaziran dari segi kos material yang dipakai oleh Jabatan Pengangkutan Bandar di DBKL, tetapi pihak DBKL dan kementerian kelihatan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pegawai yang terlibat dan aduan saya diketepikan begitu begitu sahaja. Saya menyeru pihak kementerian supaya memainkan peranannya lebih gigih untuk mengambil  tindakan terhadap aduan yang dibangkitkan oleh wakil rakyat sebagai langkah untuk mengemaskinikan pentadbiran dalam DBKL.   

 

(30/3/2005)


* Teresa Kok, Ahli Parlimen Kawasan Seputeh