http://dapmalaysia.org  
Satu Perilaku Peruntukan Yang Akauntable Dan Telus Perlu Untuk Menghentikan Penyalahgunaan Dan Penyelewengan Permohonan Peruntukan Kawasan
 

Ucapan
- semasa
Menyokong Usul ADUN DAP Kawasan Bandar Hilir Goh Leong San
oleh Betty Chew Gek Cheng

(DUN Melaka,  Khamis): Saya bangun untuk menyokong usul rakan saya dan cadangan beliau bahawa perlunya satu perilaku peruntukan yang akauntable dan telus untuk menghentikan penyalahgunaan dan penyelewengan permohonan kawasan yang merugikan rakyat.  Pemberian wang peruntukan kawasan yang tidak akauntable ini menyebabkan banyak penyelewengan berlaku. 

Contohnya pada 2001 DUN Bandar Hilir, Durian Daun dan Tengkera masing-masing diberikan RM 50,000 manakala DUN Duyong memperolehi RM 150,000/-. Cara ia dibelanjakan sungguh tidak bertanggungjawab sekali contohnya dalam tahun 2001 bagi:-

a)         DUN Tengkera sebanyak RM 50,000

  • RM 26,400 untuk pergi melancong dan melawat, termasuk ke negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS  ataupun lebih 50% daripada peruntukan tahunan; dan
  • Jamuan makan dan kenduri sebanyak RM 6,000/-.

b)         DUN Bandar Hilir sebanyak RM 50,000

  • Membekalkan 25 buah hamper Hari Raya sebanyak RM 1,000; dan
  • Membeli 11 pasang lounge suit ahli Persatuan Angkat Berat sebanyak RM 6,160 atau RM 560 sepaang dari peruntukan DUN Bandar Hilir;

c)         DUN Durian Daun sebanyak RM 50,000

  • Membiayai aktiviti kumpulan tarian dan kebudayaan MCA Melaka yang diterima oleh Encik Chong Yong Keong sebanyak RM 2,000/- dari DUN Durian Daun; dan
  • Membekalkan 25 buah hamper Hari Raya sebanyak RM 1,000;

d)         DUN Duyong sebanyak RM 150,000

  • 10 pasang lounge suits untuk ahli atlet Persatuan Angkat Berat Negeri Melaka sebanyak RM 5,600/- atau RM 560 sepasang;
  • 55 buah hamper Hari Raya sebanyak RM 2,200/-; dan
  • RM 37,000 untuk makan angina di Sarawak.

Pada tahun 2000, RM 1,770 dibelanjakan dari peruntukan DUN Duyong untuk membeli telefon bimbit untuk pejabat ADUN Duyong pada masa itu. Jelas sekali penyalahgunaan sedemikian amat ketara sekali sehingga membeli hamper, makan angina, jamuan makan, telefon bimbit untuk kepentingan pejabat peribadi dan juga untuk tujuan politik MCA. Apa faedah kepada rakyat?

 Berjuta-juta ringgit digunakan untuk elaun dan tuntutan Ketua Menteri, Ahli EXCO dan ADUN setiap tahun. YAB Ketua Menteri mendapat elaun bulanan RM 6,750 daripada menghadiri mesyuarat dan subsidi perbelanjaan Hari Raya adalah mengikuti perbelanjaan sebenar yang boleh sampai RM 50,050 pada tahun 2000. Speaker dan Ahli-ahli EXCO menerima subsidi perbelanjaan hari perayaan masaing-masing RM 10,000 setiap orang, dan untuk ADUN BN sahaja RM 5,000 setiap orang. Tentulah ahli parti pembangkang tidak terima satu sen pun.

Malah subsidi hari perayaan setiap tahun hampir RM 250,000/- membazirkan wang rakyat tanpa memberikan sebarang faedah.kecuali membolehkan setiap ahli EXCO dan ADUN BN untuk mengadakan rumah terbuka dan menyambut Hari Raya masing-masing secara percuma. Memandangkan ia adalah wang rakyat, bukankah ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa kerana membolehkan ia dibelanjakan untuk tujuan politik BN. Rumah terbuka yang diadakan oleh ADUN BN adalah wang rakyat   

Oleh itu rakyat mesti ingat semasa mengunjung hari terbuka wakil rakyat BN, kos makanan dan minuman bukanlah keluar dari kocek mereka sendiri tetapi daripada wang rakyat sendiri. Itulah sebabnya BN begitu berjaya memancing undi dengan memberikan makanan dan minuman percuma tetapi semua ini daripada wang rakyat. Perlu ditegaskan bahawa ADUN pembangkang tidak pernah menerima sebarang peruntukan wang daripada kerajaan untuk mengadakan rumah terbuka. 

Sekiranya wang perbelanjaan sebanyak RM 250,000 setahun ini digunakan untuk memberikan derma kepada mereka yang tidak bernasib baik, DAP tidak akan membantah. Tetapi sekiranya ia digunakan untuk mempromosikan BN dan juga kepentingan politik ADUN-ADUN BN, ia merupakan satu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Saya tidak faham apakah faedah kepada rakyat Melaka ADUN BN biasa yang tidak memegang jawatan kerajaan boleh diberikan peruntukan sebegini. 

Sebelum ini kerajaan BN Melaka telah dikesan membazirkan wang rakyat untuk berseronok seperti makan angin, berpolitik dengan menuntut elaun perbatuan seperti mengadakan sidang akhbar dalam rumahnya sendiri di Jalan Kubu atau berkempen dalam pilihanraya kecil dan juga menghadiri mesyuarat MCA di Kuala Lumpur. Jelas sekali ini menyalahi slogan pilihanraya BN “Tradisi Membela Rakyat” (yang mungkin harus ditukar kepada “Tradisi Membazirkan Wang Rakyat”) dan juga usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan pentadbiran kerajaan dari penyalahgunaan kuasa.  

Disamping itu, pemeriksaan juga harus dibuat ke atas tuntutan elaun perjalanan oleh ADUN-ADUN Melaka. Contohnya menurut jawapan rasmi dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka oleh YAB pada 4hb April 2001, ADUN Duyong Datuk Wira Gan Boon Leong telah membuat tuntutan elaun perjalanan bukan atas kerja awam tetapi kepentingan peribadi. Sekiranya benar, ia boleh dianggap sebagai satu penyalahgunaan wang awam yang sukar direstui umum.

 Elaun perjalanan sepatutnya dibuat atas urusan rasmi. Adalah keterlaluan sekiranya tuntutan elaun perjalanan disalahgunakan sehingga merangkumi urusan peribadi atau urusan yang dijalankan di dalam rumah sendiri sepertiL:

mempengerusikan sidang akhbar di rumah sendiri;

menghadiri majlis perkahwinan;

menghadiri mesyuarat politik parti MCA di Kuala Lumpur;

melawat kawasan berhampiran rumahnya;

melawat pesakit di hospital; dan

menerima rawatan sebagai pesakit di hospital. 

Besarlah harapan sekiranya YAB dapat mengambil langkah-langkah pembetulan ke atas dua kecacatan yang disebut di atas agar dapat meningkatkan prestasi kerajaan negeri. Pada masa yang sama, ia akan meneggakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan yang diperjuangkan oleh YAB Perdana Menteri. 

Tuntutan pakaian, elaun perjalanan dan pembaikan kereta dari YAB Ketua Menteri, Ahli EXCO, ADUN dan setiausaha politik dan setiausaha sulit untuk 2001 dan 2002 melebihi RM 1.2 juta. Elaun perjalanan sahaja untuk YB Macap ialah RM 45,658.85 pada tahun 2001. Dengan elaun, tuntutan dan penyalahgunaan peruntukan pembangunan sedemikian tepatlah peribahasa Cina, “Jadi wakil rakyat, jadi kaya”, di mana slogan pilihanraya besar MCA, “orang dalam kerajaan senang buat kerja” patut diubah kepada “orang dalam kerajaan senang cari makan”!. 

Adalah perlu segala salah guna kuasa ini dihapuskan dengan menyahut saranan YAB Perdana Menteri membentuk sebuah masyarakat yang bersih, jujur dan bebas dari rasuah. Untuk memastikan proses peruntukan ini bukan sahaja bersih tetapi dipandang sebagai bersih, satu perilaku dan garispanduan harus ditetapkan supaya ia benar-benar menfaatkan rakyat dan bukan ADUN BN serta kuncu-kuncu mereka.

(31/3/2005)


* Betty Chew Gek Cheng, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Dan ADUN DAP Kawasan Kota Laksamana