http://dapmalaysia.org  
Projek-projek Bermasalah Kerajaan Negeri Melaka Dan Pihak Swasta Memberikan Gambaran Buruk Melaka Bergelumang Dalam Penyelewengan Yang Menjejaskan Prestasi Dan Pembangunan Ekonomi Melaka
 

Ucapan Penangguhan
-
Mengenai Projek Bermasalah Kerajaan Negeri
oleh Betty Chew Gek Cheng

(Melaka,  Isnin): .Projek-projek kerajaan dan swasta yang lewat, lebihi harga kontrak asal dan mahal berbanding dengan harga pasaran menghantui negeri Melaka. Di samping projek Hang Tuah Mall sebanyak RM 8.5 juta yang masyhur dengan tong sampah RM 80 dikenakan harga RM880 atau air pancut RM 30,000 dibina dengan harga RM 250,000, saya ingin timbulkan tiga projek berikut:- 

1. Kelewatan Projek RM 7.3 Juta Tambahan 4-Tingkat Perpustakaan Awam Bukit Baru

Projek tambahan 4-tingkat Perpustakaan Awam di Bukit Baru, Melaka diberikan secara kontrak terhad dan bukannya kontrak terbuka oleh Lembaga Perolehan Negeri yang dipengerusikan oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka kepada syarikat Merpati Indah Construction Sdn Bhd. Tempoh kontrak adalah daripada 1 November 2002 sehingga 30 April 2004 dengan harga RM 7.3 juta. 

Sungguhpun pembinaan perpustakaan 4 tingkat sepatutnya siap pada 30 April 2004, sehingga sekarang kerja pembinaan amat lambat dan sekadar 50% sahaja. Di antara alasan yang diberikan amat menghairankan termasuk masalah kekurangan pekerja selepas PATI atau pendatang asing tanpa izin dihalau keluar dari negara. Adakah projek kerajaan juga menggunakan PATI? Sekiranya ya, macam mana kerajaan boleh menguatkuasakan undang-undang dan mendesak orang awam mematuhinya? 

Tambahan bangunan perpustakaan amat diperlukan kerana kemudahan yang sedia ada memang tidak mencukupi dan menangani permintaan yang meningkat. Oleh itu kelewatan yang timbul menafikan peluang pemuda-pemudi mengamalkan tabiat membaca. Pihak kerajaan negeri mestilah bertanggungjawab kerana memilih kontraktor bermasalah. Perlu ditanya adakah penalti dikenakan kerana kelewatan menyiapkan projek? Kalau tidak mengapa kontraktor yang lewat ini begitu dilindungi?

 

2. Projek Komersil MAIM “Newhill” Di Bukit Baru Sebanyak RM 30 Juta Yang Lewat.

Pojek bermasalah Newhill di sebelah Masjid Negeri Melaka merupakan projek usahasama di antara Majlis Agama Islam Melaka(MAIM) dengan Regal Merger Sdn Bhd(RMSB). Mengikut jawapan bertulis yang diberikan oleh YAB Ketua Menteri kepada saya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka pada 15-16 Jun 2004, satu perjanjian usahasama telah ditandatangani di antara pemaju RMSB dan tuan tanah MAIM pada 13 Disember 2002.  

Pemaju dikehendaki siapkan 30 yunit kedai Kompleks Perniagaan di atas lot PT 83 yang akan diserah hak kepada pemaju setelah menyiapkan satu kompleks 3 tingkat pejabat MAIM bernilai RM 10.162 juta di atas lot PT 1155. Pemaju akan dapat 30 yunit kedai yang dijualkan di antara harga RM 553,999 ke RM 820,000/- manakala MAIM akan dapat bayaran wang tunai RM 100,000 dan sebuah bangunan bernilai RM 10.162 juta.  

Mengikut jawapan YAB, pencapaian kerja adalah pada tahap 35% dan projek ini dijangka siap pada bulan Mac 2005. Ini tidak benar sama sekali kerana pembinaan kompleks 3 tingkat pejabat MAIM bernilai RM 10.162 juta belum berjalan lagi. Projek kompleks 30 yunit rumah kedai tiga tingkat adalah separuh siap dan tidak mungkin ia boleh siap pada bulan ini. Malah mengikut papan tanda kontrak, tempoh kontrak kompleks MAIM yang belum dimulakan kerja sekaran adalah di antara 20.10.2003 dan dijangka siap pada 19.10.2004.  

YAB mesti memberikan penjelasan penuh mengapa keadaan sedemikian boleh berlaku, khususnya syarat-syart RMSB yang membolehkan ia diberikan kontrak ini. Proses memilih RMSB menimbulkan tanda tanda bila tidak ada tender terbuka diadakan sebaliknya dipilih secara terus. Penglibatan bekas Timbalan Pengerusi MAIM yang sekarang adalah Pengurus Besar MITC, Hasnoor Sidang Husin agak controversial. 

Ini adalah kerana Hasnoor pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka pada 16 Oktober 1995 atas jenayah pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaaan. Beliau dihukum denda RM 1,500 dan penjara sehari. Adakah menjadi amalan untuk melantik pegawai dengan rekod sedemikian ataupun Melaka begitu kekurangan orang berbakat sehingga MAIM atau MITC tidak boleh cari orang lain kecuali yang mempunyai rekod jenayah?

 

3.         Pelanggaran Peraturan Dalam Pembayaran Projek Masjid Kampung Tanjung Minyak Sebanyak RM 2.45 Juta Sebelum Tarikh Penyerahan Tapak Pada 1 Mac 2005.

Cadangan pembinaan Masjid Kampung Tanjung Minyak sebanyak RM 2.45 juta telah diberikan kepada kontraktor, Equaltra(M) Sdn Bhd dan tarikh penyerahan tapak adalah pada 1 Mac 2005. Adalah difahamkan sungguhpun tarikh milik tapak bina adalah 1 Mac 2005, kontraktor telah masuk lebih awal lagi dengan pengetahuan JKR Melaka.  

Adalah luarbiasa kontraktor boleh menyampaikan tuntutan kemajuan bayaran interim No. 1 pada 18 Februari 2005 sebanyak RM 287,228.36 kepada JKR sebelum kontraktor memiliki tapak pada 1 Mac 2005. Yang lebih anih ialah macam mana JKR Melaka boleh meluluskan dan membuat bayaran untuk jumlah ini pada 28 Februari 2005, iaitu sebelum taikh milik tapak pada 1 Mac 2005. Mustahil JKR boleh luluskan pembayaran pada 28 Februari bila JKR tahu ia adalah sebelum tarikh ambil alih tapak pada 1 Mac 2005. 

Saya ingin meminta YB menjalankan siasatan atas pendedahan ini nyatakan tindakan yang diambil ke atas kesalahan ini dan mereka yang terbabit. Macam mana kesalahan ini boleh dibenarkan dan adakah JKR sendiri telah melanggari peraturannya sendiri? 

Akhir kata, projek-projek bermasalah kerajaan negeri Melaka dan pihak swasta ini akan memberikan gambaran buruk bahawa Melaka bergelumang dalam penyelewengan yang bukan sahaja merugikan dana kewangan rakyat tetapi juga menjejaskan prestasi dan pembangunan ekonomi Melaka.    

(21/3/2005)


* Betty Chew Gek Cheng,  Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Dan ADUN DAP Kawasan Kota Laksamana