http://dapmalaysia.org  
Agenda Bantu kaum Bumiputra dan Melayu dan pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari tidak harus menjejaskan kewatakan hakiki negara Malaysia
 

Ucapan
-
semasa mambahas usul berterima kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong  
oleh Chow Kon Yeow

(Dewan Rakyat,  Khamis):  Saya melihat bahawa premis Bumiputra Melayu-Islam akan menjadi unsur hakiki dalam pendekatan untuk mentadbir negara ini untuk mencapai matlamat Wawasan 2020. 

Kita tidak ingin melihat pendekatan ini akan menghakis dan membubarkan kewatakan hakiki negara Malaysia, sama ada Perlembagaannya, kemajmukan rakyatnya, kepelbagaian agama, bahasa dan budayanya yang kesemua ini mencaturkan sebuah negara yang unik dalam dunia ini.

 

Peranan kita sebagai wakil rakyat bersama-sama civil society adalah untuk memastikan negara kita mengejar pembangunan dan pembaruan atas landasan yang sudahpun digariskan dan apabila kita menyimpang dari landasan ini, kita harus pulang ke pangkuan jalan.

 

Baru-baru ini telah tercetus kontroversi mengenai initiatif untuk menubuhkan Suruhanjaya Agama di mana seorang Menteri telah membantah kewujudan Suruhanjaya ini kononnya ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi.

 

Tidak sesiapapun yang mempertikaikan Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi. Tetapi kita tidak boleh membiarkan pegangan Menteri itu untuk melarang usaha-usaha murni untuk memupuk dan meningkatkan persefahaman antara budaya dan agama di negara ini.

 

Tidak lama dahulu, seluruh negara ini begitu terpikat oleh berita bahawa sebuah kota purba-Kota Gelanggi-ditemui di negeri johor yang akan memberi nilai yang amat besar kepada sejarah, budaya dan agama kepada Malaysia.

 

Kita tahu bahawa kota purba yang dikatakan berusia melebihi satu ribu tahun akan menghasilkan artefact-artefact yang akan mengandungi unsur-unsur budaya dan agama Hindu yang terpengaruh pada masa itu.

 

Adakah kerajaan akan mengambil satu pendirian bahawa sejarah dalam tempoh masa pra-kemasukan agama Islam dalam negara ini tidak diperlukan kerana ia dikatakan bercanggah dengan agama Islam sebagai agama rasmi.

 

Sebenarnya “pegangan ia bercanggah dengan agama Islam” telah banyak mempengaruhi bidang undang-undang keluarga yang saya bangkitkan dalam Dewan Rakyat tahun 2004.

 

Negara dan masyarakat kita akan terus menghadapi cabaran-cabaran akibat pengenalan dasar “negara Islam”, “Islam Hadhari” dan pegangan seperti “is bercanggah dengan agama Islam.”

 

Walaupun kita selalu bangga dengan kepelbagaian dan kemajmukan masyarakat misalnya luangan “Malaysia: Truly Asia”, namun kita masih terancam dengan isu-isu seperti “SJK Cina penghalang perpaduan rakyat dan harus dibubarkan.”

 

Kita juga mendapati Kementerian Pelajaran telah mengubah sukatan mata pelajaran Sejarah di Tingkatan Tiga dan Lima untuk memasukkan konsep seperti “Ketuanan Melayu”.

 

Kita ingin menegaskan bahawa agenda bantu kaum Bumiputra dan Melayu dan pelaksanaan dasar-dasar Islam tidak harus menjejaskan kewatakan hakiki negara Malaysia.

 

(31/3/2005)


* Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen kawasan Tanjong