http://dapmalaysia.org  

Laporan BPR pertama mengenai salahurus di Melaka


Laporan Pertama Kepada Badan Pencegah Rasuah
- mengenai salahurus di Melaka
by
Lim Guan Eng



(Melaka, Selasa):
 

DENGAN TANGAN

15hb Mac 2005.

Tuan Haji Idris bin Baharudin,
Pengarah Negeri Melaka,
Badan Pencegah Rasuah (BPR),
Tingkat 2 & 3, Bangunan B.C. Lim,
No. 102, Jalan Taming Sari,  
Peti Surat 6000, 75400 Melaka

Tuan Haji, 

Laporan Ke atas Perbelanjaan Tinggi Untuk Sistem Pusat Panggilan Satu Nombor Negeri Melaka(PPSN) RM 2.3 Juta Bernombor 06-2333333 Yang Gagal Berfungsi

Saya ingin menarik perhatian YAB terhadap kontroversi perbelanjaan tinggi sebanyak RM 2.3 juta untuk sistem PPSN yang tidak berfungsi demi menegakkan akauntabiliti dan ketelusan. Kontrak PPSN ini tidak diberikan secara tender terbuka tetapi secara penswastaan kepada Syarikat Wavelink Systems Sdn Bhd (SWSSB)  dengan bekerjasama dengan sebuah syarikat Sr Lanka.  

Jumlah kos PPSN bukanlah murah kerana perjanjian yang ditandatangani dengan SWSSB bernilai RM 2,256,652-00. Dengan hanya menggunakan satu nombor 2333333 dan kod, kononnya komputer dalam sistem PPSN boleh menghubungi semua jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka tanpa menerusi operator.  

Sistem PPSN mulai pada 21 Julai 2003, dan didakwa boleh menjimatkan wang dan masa kerana memudahkan menghubungi jabatan dan agensi kerajaan negeri Melaka dengan menggunakan satu nombor sahaja iaitu 2333333. Malah Ahli EXCO Negeri untuk Sains, Teknologi, Multimedia dan Maklumat Datuk Abdul Karim Sulaiman dalam satu kenyataan akhbar pada 4 September 2004 mengakui masalah dalam sistem ini tetapi mempertahankannya kerana sudah menjimatkan  RM 90,000. Susah diterima SSPN dengan perbelanjaan RM 2.3 juta boleh dianggap berjaya dengan penjimatan hanya RM90,000-00 sahaja? 

Akan tetapi saya difahamkan ia tidak berfungsi dan sebaliknya perlu dibuat secara manual menerusi operator untuk menghubungi jabatan kerajaan. Ini berlawanan dengan tujuan asal sistem PPSN yang boleh menghubungi terus jabatan kerajaan dengan hanya menekan butang telefon dan kod jabatan tanpa menerusi operator. 

Kalau operator atau telefonis masih diperlukan apakah perlunya membelanjakan sampai RM 2.3 juta? Sekiranya dua telefonis dipakai mereka mungkin merupakan telefonis termahal sebanyak RM 1 juta seorang. Harga tinggi RM 2.3 juta ini dikatakan disebabkan oleh sistem komputer secara automatik ini. Kalau sistem automatik menerusi komputer tidak boleh dipakai bukankah ini merupakan satu pembaziran wang besar kepada rakyat. 

Lagipun SWSSB hanya ditubuhkan pada 28 Mei 2003, iaitu dua bulan sebelum sistem ini berfungsi pada Julai 2003. Jelas sekali SWSSB tidak mempunyai sebarang track record dalam sistem pengkomputeraan dan ditubuhkan khusus untuk mendapat projek ini. Di antara pengarah dan pemilik adalah seorang peniaga terkemuka yang rapat dengan YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Ghaffar bin Ibrahim dan anaknya Zool Hilmi bin Abdul Ghaffar. 

Demi memastikan setiap sen wang rakyat digunakan dengan betul dan mengikut tujuan yang ditetapkan adalah perlu BPR menjalankan siasatan ke atas operasi PPSN dan sebabnya ia tidak berfungsi seperti yang dinyatakan dalam iklan Buku Harian Rasmi Negeri Melaka, kos tinggi sebanyak RM 2.3 juta ini dan asal usul SWSSB boleh dipilih menjalankan projek ini? 

Jawapan awal adalah dihargai.

Yang benar 

LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG

 

(15/3/2005)


* Lim Guan Eng, Setiausaha Agong DAP