YB Datuk Seri S. Samy Vellu,
Menteri Kerja Raya,
Kementerian Kerja Raya
Tingkat 5, Blok A, Kompleks Kerja
Raya
Jalan Sultan Salahuddin, 50580
Kuala Lumpur. Fax:
603-2711 6564
Yang Berhormat Datuk,
Projek Bermasalah Di Melaka:
Pengurusan Lebuhraya Sungai Udang-Durian Tunggal Yang Melebihi
Nilai Kontrak Asal RM 205.6 Juta, Kualiti Kerja Sub-standard
Di Jambatan Masjid Al-Azim Dan Pertikaian Tapak Kerja Masjid
Kampung Tanjung Minyak Sebanyak RM 2.45 Juta
Saya merujuk kepada perkara di atas
yang berkaitan dengan banyak projek-projek kerajaan dalam Melaka
yang dijalankan tanpa mengikut prosedur-prosedur pemantauan yang
ditetapkan. Kelemahan dan kegagalan sedemikian bukan sahaja
mengakibatkan kerugian kewangan besar tetapi juga boleh
mengancam keselamatan awam.
1. Projek Lebuhraya
Jalan Sungai Udang ke Durian Tunggal
Tender rundingan terus ini telah
diberikan secara joint-venture kepada Al-Joffrie Sdn Bhd,
Revolutionary Technology Holdings Sdn Bhd dan Seri Siantan Sdn
Bhd dengan harga kontrak RM 205.6 juta. Mengikut jawapan
bertulis YAB Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam kepada
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka YB Betty Chew Gek
Cheng pada 12 Mei 2003, prestasi projek adalah memuaskan. Tempoh
kontrak adalah dari 1/12/2001-31/5/2004.
Sungguhpun prestasi projek
dikatakan memuaskan oleh Datuk Mohd Ali Rustam pada 2003, ia
masih belum siap dan tidak dapat diserahkan kepada kerajaan pada
31/12/2004 seperti yang ditetapkan. Yang agak luarbiasa, ialah
nilai kontrak telah melebihi nilai kontrak asal RM 205.6 juta
dan dibayar selebihnya sungguhpun ia belum siap 100%.
Sekiranya kerja lewat, maka
kontraktor perlu dikenakan bayaran penalti denda lewat. Akan
tetapi, adakah bayaran penalti kelewatan untuk tempoh 10 bulan
sejak 31/5/2004 ini dikenakan? Sebaliknya, harga kontrak telah
bertambah sebanyak dua kali daripada RM 205.6 juta kepada RM 214
juta. Kali pertama adalah nilai kontrak asal sebanyak RM 205.6
juta bertambah kepada RM 208.5 juta dan yang kedua ialah
“variation works” sebanyak RM 5.3 juta menambahkannya kepada RM
213.8 juta. Setakat ini hampir RM 205 juta sudahpun dibayar.
Jelas sekali isu ini adalah suatu
perkara berkepentingan awam kerana melibatkan wang rakyat
beratus-ratus juta. Demi menegakkan prinsip akauntabiliti dan
ketelusan, YB harus menjelaskan macam mana bayaran yang
diluluskan melebihi tahap pembinaan, penalti denda atas
kelewatan kerja, harga kontrak dibenarkan naik sebanyak dua kali
sungguhpun kerja masih belum disiapkan dan tidak ada sesuatu
penilaian samada variation order ini munasabah berbanding dengan
harga pasaran.
2. Kualiti Kerja
Sub-standard Di Jambatan Masjid Negeri Melaka Al-Azim
Jambatan berhampiran Masjid Negeri
Melaka Al-Azim merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya
Muar-Simpang Empat di Melaka yang bernilai RM 500 juta. Jambatan
ini telah dibuka untuk laluan kenderaan lebih setahun setengah.
Malangnya kualiti kerja sub-standard telah menimbulkan
tanda-tanya samada ia selamat.
Ini disebabkan lebih 10 ketul batu
“slab” telah pun tercabut keluar di kaki jambatan itu.
Keselamatan awam dan pemandu kenderaan memang bahaya sekiranya
ketul batu itu tercabut keluar dengan sepenuhnya. Adalah
diharapkan YB boleh memperbaikinya dengan segera, mengambil
tindakan ke atas pihak kontraktor dengan mengenakan denda dan
juga menjelaskan tindakan pembaikan yang dijalankan.
3. Pertikaian Tapak Kerja Masjid
Kampung Tanjung Minyak Sebanyak RM 2.45 Juta
Cadangan pembinaan Masjid Kampung
Tanjung Minyak sebanyak RM 2.45 juta telah diberikan kepada
kontraktor dan tarikh penyerahan tapak adalah pada 1 Mac 2005.
Adalah difahamkan sungguhpun tarikh milik tapak bina adalah 1
Mac 2005, kontraktor telah masuk lebih awal lagi dengan
pengetahuan JKR Melaka. Saya ingin meminta YB menjalankan
siasatan untuk menentukan samada dakwaan ini benar, dan
sekiranya ia nyatakan apakah tindakan yang boleh dan telah
diambil ke atas kesalahan ini.
4. Kegagalan PLUS
bertindak segera menyebabkan Sesak Jalanraya Selama 5 Jam.
Saya telah menerima aduan oleh
pengguna Lebuhraya Utara-Selatan di KM 210 berhampiran Pedas
pada waktu Jumaat 18/3/2005 10 malam, ke atas kegagalan PLUS
bertindak membereskan satu kemalangan jalanraya. Kegagalan PLUS
berbuat demikian dengan segera telah mengakibatkan pemandu
memerlukan masa 5 jam untuk berjalan selama 12 km daripada KM
210-KM 222.
Beribu-ribu orang terperangkap
dalam kawasan tersebut sehingga ramai yang mematikan enjin
kereta. Kegagalan PLUS bertindak segara tidak boleh diterima
kerana pengguna lebuhraya membayar tol dengan jaminan masa
perjalanan akan dipendekkan dan lebih selesa. Dengan kenaikan
tol sebanyak 10% tahun ini, PLUS sepatutnya memberikan
perkhidmatan yang lebih baik bukan yang lebih buruk.
Dengan kata lain, pembayaran tol
adalah satu ketidakadilan kerana PLUS tidak memenuhi janjinya.
Yang lebih penting, apakah akan terjadi sekiranya berlaku
sesuatu kecemasan kesihatan kepada mereka yang terperangkap
dalam kereta itu yang tidak dapat bergerak langsung? Kegagalan
PLUS bertindak segera adalah tidak bertanggungjawab dan PLUS
harus meminta maaf dengan menunjukkan tanggungjawab sosial
korporat. Satu aspek penting tanggungjawab sosial korporat ialah
memberikan respons yang cepat bukannya sambil lewa.
Jawapan awal adalah dihargai.
Dokumen berkenaan perkara yang dibangkitkan di atas adalah
disertakan bersama. Sekian terima kasih.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG |