http://dapmalaysia.org  

Penangguhan Pengkelasan Surat oleh Pos Malaysia, DAP Sambut Baik tetapi Pos Malaysia patut berterusan sensitif terhadap pelanggannya


Kenyataan Akhbar
oleh Fong Po Kuan

(Petaling Jaya,  Isnin): DAP menyambut baik tindakan Pos Malaysia menangguhkan masa penggunaan sistem pengkelasan suratnya kepada standard dan bukan standard terhadap orangramai sehingga 31hb Disember, 2005.

Ini adalah langkah yang bijak diambil oleh Pos Malaysia bagi memastikan pelanggannya tidak perlu berterusan keliru serta dibebankan dengan kos pengiriman yang lebih tinggi oleh penggunaan sistem pengkelasan surat tersebut. 

Menurut maklumat di laman web Pos Malaysia di www.pos.com.my, Pos Malaysia bertindak menangguhkan penguatkuasaan pengkelasan surat ini kerana sensitif terhadap pelanggannya yang ada di antara mereka perlu menghabiskan stok lama sampul suratnya serta memberi masa  kepada pegawai Pos Malaysia dan orang ramai memahami sistem pengkelasan surat ini. 

Pada pertengahan bulan Februari yang lalu,  Pos Malaysia telah mengumumkan bahawa surat-surat akan dikelaskan kepada standard dan bukan standard mulai 1 Mac, 2005  dan kadar yang akan dikenakan dan dibayar oleh orangramai adalah berdasarkan samada surat-surat tersebut mematuhi pelbagai syarat yang dicatatkan bagi surat standard dan bukan standard. 

Ekoran daripada pengumuman tersebut, ia telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan orangramai terutamanya syarikat-syarikat yang masih mempunyai stok sampul surat yang banyak tetapi tidak mematuhi syarat-syarat surat standard.  Malahan pegawai di kaunter pos Malaysia turut keliru akan pendekatan pengkelasan surat tersebut. 

DAP telah membangkitkan kekeliruan dan perasaan tidak puas hati orang ramai ini di Dewan Rakyat semasa perbahasan ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada 4.4.2005 terutamanya berkenaan pelbagai syarat yang perlu dipatuhi jika orangramai masih berkehendaki untuk menikmati harga RM 0.30 bagi mengepos surat serta notis yang singkat berkenaan penguatkuasaan sistem ini (2 minggu sahaja) (www.parlimen.gov –penyata rasmi bertarikh 4.4.2005, muka surat 180).  Malahan Timbalan Menteri semasa menjawab pertanyaan di Parlimen berkenaan isu ini di Dewan Rakyat pada 11.4.2005 turut mengakui wujud kekeliruan di dalam pengkelasan surat ini oleh Pos Malaysia. 

DAP menyokong Pos Malaysia berkenaan keperluan memperbaiki perkhidmatannya melalui pelaburan sebanyak RM 200 juta tetapi, DAP berpendapat ia tidak sepatutnya menjadi alasan kepada Pos Malaysia untuk meningkatkan harga perkhidmatan ke atas orangramai.  Menurut satu laporan, Pos Malaysia telah membuat keuntungan sebanyak RM 67 juta pada tahun 2003 dan RM 76juta pada tahun lepas. 

DAP berharap Pos Malaysia akan berterusan mengambilkira maklumbalas orangramai di dalam pengurusannya lebih-lebih lagi, sebelum Pos Malaysia mengubah polisinya yang akan melibatkan orangramai. 

(2/5/2005)


* Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah