Hentikan Tindakan Mahkamah Ke Atas Remaja Gagal Hadiri PLKN |
___________________________________ Kenyataan Akhbar oleh Fong Po Kuan ________________________________________ (Petaling Jaya, Selasa): DAP menyeru YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga selaku Menteri Pertahanan agar campurtangan dan mengarahkan penggantungan penerusan sebarang tindakan mahkamah ke atas remaja yang gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana implikasi negatif yang akan ditinggalkan ke atas diri remaja. Menurut laporan, terdapat seramai 4,269 orang remaja yang telah dipilih untuk menjalani PLKN gagal menghadiri program tersebut pada tahun lalu dan akan diambil tindakan mahkamah. Semalam, eorang remaja yang gagal menghadiri PLKN telah dijatuhi hukuman denda RM 600 atau penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret di Kangar. Olehkerana kemiskinan keluarganya, remaja ini tidak dapat membayar denda tersebut dan terpaksa memilih menjalani hukuman penjara selama 14 hari. Ini merupakan kes pertama remaja yang didakwa dan dihukum di mahkamah kerana gagal menghadiri PLKN. Di dalam kes ini, remaja ini yang telah dijatuhi hukuman akan mempunyai rekod jenayah seumur hidupnya yang berkemungkinan besar akan menjejaskan peluang pekerjaan di masa depannya. Walaupun selepas menjalani hukuman tersebut, remaja ini turut perlu menjalani PLKN dan apakah Program ini akan meninggalkan “kenangan manis” kepadanya serta apakah remaja ini dapat menjalani Program ini dengan hati yang tentaram tanpa perlu merisaukan kehidupan ibunya? Kementerian Pertahanan seharusnya; 1) Mengkaji semula Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara ke atas remaja yang gagal menghadiri program ini memandangkan ia melibatkan implikasi yang negatif ke atas remaja kita. 2) Mengkaji kelemahan Program ini bagi mencari punca remaja yang dipilih tidak berminat untuk menghadirinya. Malahan buat masa ini, perlaksanaan program ini masih menghadapi pelbagai masalah dalam segi infrastruktur serta kekurangan jurulatih. S.18 Akta Latihan Khidmat Negara memperuntukkan bahawa remaja yang dipilih gagal menghadiri program ini boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau enam bulan penjatara atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan DAP juga berpendapat hukuman denda sebanyak RM 600 yang dijatuhkan ke atas remaja tetapi gagal dibayarnya dan dipenjarakan selama 14 hari tersebut, adalah terlalu berat memandangkan remaja ini bukannya telah melakukan jenayah yang berat tetapi hanya gagal menghadiri satu program yang bersifat lebih kepada pembentukan diri yang positif dan perlu dijalani kepada remaja yang terpilih sahaja. Tambahan, remaja ini bukan dengan sengaja enggan menghadiri program ini tetapi kerana terpaksa bekerja bagi menyara kehidupan ahli kelurganya. Ibunya adalah seorang ibu tunggal. Pihak penguatkuasa dan Jabatan Latihan Khidmat Negara apabila mengetahui sebab remaja ini tidak menghadiri PLKN kerana kemiskinan keluarganya sepatutnya menghulurkan bantuan kepada keluarga remaja ini dan bukan menambahkan beban dan kesulitan kepadanya dengan mengheretnya ke Mahkamah. (11/05/2005)
* Fong Po Kuan, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah |