http://dapmalaysia.org  

Tenaga pengajar tempatan harus diberikan keutamaan untuk mengajar bahasa Cina di sekolah rendah kebangsaan
 


Kenyata Akhbar
oleh
Chong Eng

(Petaling Jaya, Selasa): Semalam, saya telah mengutus surat kepada Menteri Pelajaran Datuk Hishamuddin Tun Hussein mengenai masalah kekurangan guru untuk mengajar bahasa Cina di sekolah rendah kebangsaan (SRK).

Menurut laporan akhbar, Hishamuddin telah menyatakan bahawa kerajaan akan menggaji guru dari negara China untuk mengajar bahasa Cina di SRK mulai tahun depan.

DAP tidak membantah penggajian guru dari luar negara untuk menangani masalah kekurangan guru di negara kita. Tetapi dalam perkara ini, kami berpendapat kita masih mempunyai tenaga pengajar tempatan yang belum diterokai, iaitu pemegang Sijil Peperiksaan Bersatu Sekolah Menengah Swasta Cina atau Unified Examinations Certificate (UEC) dan juga pemegang ijazah dari universiti-universiti Taiwan, China dan Hong Kong.

Selain mengutamakan sumber tenaga tempatan, pelajar-pelajar dan siswazah-siswazah tersebut juga lebih sesuai digaji untuk mengajar di SRK kerana mereka mempunyai kelebihan, iaitu fasih dalam Bahasa Malaysia jika dibandingkan dengan guru yang diimport dari China.

Oleh demikian, DAP mencadangkan supaya kerajaan mengiktiraf UEC dan ijazah-ijazah dari universiti-universiti Taiwan, Cina dan Hong Kong supaya para pemegang UEC dan ijazah ini dapat digaji sebagai guru bahasa Cina di SRK.

Buat masa ini, sijil UEC telah diiktiraf oleh lebih lima ratus universiti di dunia, termasuk universiti terkenal seperti Cambridge, Oxford dan universiti-universiti utama lain di China, India, Indonesia, Kanada, Australia dan negara-negara lain.

DAP berpendapat sudah sampai masanya kerajaan mengiktiraf UEC supaya selaras dengan dasar kegunaan sumber tenaga berasaskan pengetahuan.

Kami juga berpendapat bahawa kerajaan harus mengiktiraf ijazah-ijazah yang dianugerah oleh universiti-universiti Taiwan, China dan Hong Kong sebelum mengimpot guru dari negara-negara ini supaya mengelakkan keadaan di mana pemegang ijazah warga negara China digaji kerajaan tetapi warga Malaysia sendiri yang memegang ijazah yang sama tidak diiktiraf.

Malahan, wakil-wakil rakyat BN sendiri iaitu YB Toh Kin Woon (Gerakan - Macang) dan YB Lau Chik Tuan (MCA - Berapit), kedua-duanya ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, juga telah menyuarakan pendapat yang sama. Saya percaya sebahagian besar masyarakat kaum Cina di negara ini mempunyai pendapat yang sama.

Dalam surat saya kepada Hishamuddin, saya telah memohon beliau supaya mengambil berat cadangan untuk mengiktiraf UEC dan ijazah-ijazah yang dianugerah oleh universiti-universiti China, Taiwan dan Hong Kong supaya rakyat kita yang berkelulusan diberi peluang berkhidmat untuk negara selaras dengan dasar mengutamakan sumber tenaga tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar negara.

Langkah sedemkian juga akan membantu kerajaan mencapai matlamat untuk meningkatkan bilangan kakitangan bukan Melayu di sektor awam yang kini sangat rendah peratusannya.

(17/5/2005)


* Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Pengerusi DAP Wanita