http://dapmalaysia.org  

MEMORANDUM ADUAN TINDAKAN POLIS MENJALANKAN PENGUATKUASAAN LALULINTAS SEPERTI  “SAMAN EKOR” DI KAMPUNG BARU

-----------------------------------------------------------------------------------------------------

 

17hb Mei, 2005.

Kepada

Dato’ Siva Subramaniam a/l Nagaratnam                                             

Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM)

Tingkat 29, Menara Tun Razak

Jalan Raja Laut

50350 Kuala Lumpur

Isu:  Penguatkuasaan Peraturan Lalulintas di Kampung Baru seperti “Saman Ekor” (bersenyap) di Jalan Kampung Baru

Tempat:  Kawasan di bawah Bidangkuasa Ketua Polis Daerah Kinta di Batu Gajah, Perak

a)      Kampung Baru Nalla, Tronoh

b)      Kampung Baru Bali, Tronoh

c)      Kampung Baru Bemban, Batu Gajah

d)      Kampung Sentang, Batu Gajah

e)      Pusing

f)       Tanjung Tualang, Kampar

g)      Tronoh

h)      Kampung Baru Lawan Kuda, Gopeng

i)       Kopisan, Gopeng

Kami, penduduk-penduduk di Kawasan yang terlibat ingin mengadu berkenaan pendekatan yang digunakan oleh pegawai polis di dalam penguatkuasaan peraturan lalulintas yang pada pendapat kami, adalah tidak adil dan menyalahi prinsip hak asasi manusia.

Latar Belakang

Sejak bulan Jun, 2004, kami, penduduk-penduduk di Kampung Baru telah menerima notis yang dikirim ke rumah kami dan menuduh bahawa kami telah menunggang motosikal dan telah melanggar peraturan lalu lintas pada tarikh , masa dan tempat tertentu.

Setahu kami, pegawai polis  yang meronda di kampung kami telah mencatatkan nombor  plat motosikal tanpa pengetahuan kami dan menghantar notis kepada kami melalui poslaju. Sebagai contoh, seorang polis menunggang motosikal, polis yang duduk dibelakangnya mencatat nombor plat motosikal yang kononnya telah melanggari peraturan lalulintas.  Ada keadaan di mana, polis berteduh di bawah pokok dan memerhati nombor plat motosikal yang ditunggang/bergerak/diletakkan di jalan kampung.

Ini menyebabkan kami merasa tidak puas hati kerana kami diletakkan beban membukti bahawa kami tidak menyalahi peraturan lalulintas tersebut dan pada masa yang sama, tiada ruangan bagi kami untuk berbuat demikian kecuali pergi ke mahkamah.

Jenis Tuduhan Kesalahan

Kami telah dituduh melanggari peraturan lalulintas seperti berikut:-

  1. Tidak memakai topi keledar (terbanyak) – denda RM 70

  2. Memotong di garisan kembar

  3. Motosikal tidak bercermin

  4. No plat motosikal kotor

Ada dikalangan kami yang menerima tidak kurang daripada 5 notis dalam jangka masa yang singkat.  Terdapat juga kes di mana, kami tidak pernah pergi ke tempat tersebut tetapi dituduh gagal memakai topi keledar juga.

Tambahan, juga wujud situasi di mana kami telah meletakkan motosikal kami di tepi jalan dan minum kopi di kedai, pihak polis turut mencatatkan nombor plat motosikal kami apabila bakul motosikal adalah tidak mempunyai topi keledar.

Tanpa Gambar dibekalkan

Kami adalah tidak mempunyai sebarang bentuk cara untuk membuktikan bahawa kami tidak melanggari peraturan lalu lintas tersebut.  Kami ada cuba memohon gambar tetapi di beritahu bahawa tanpa gambar dibekalkan. 

Ini meninggalkan kami tidak dapat berbuat apa walaupun tidak melanggar Peraturan lalulintas tersebut kecuali membayar denda tersebut atau merayu bagi mengurangkan denda tersebut.

Tidak seperti kes memandu melebihi had laju di mana pemilik kenderaan masih dibekalkan gambar (jika memohon) bagi menafikan bahawa beliau melanggar lalulintas yang dituduh di dalam notis pos tersebut.

Jika pendekatan penguatkuasaan lalulintas berbentuk “saman ekor” berterusan dilaksanakan di Kampung Baru, ini adalah tidak adil  kepada kami.

Hentikan Penyalahgunaan Peraturan Pematuhan

Kami adalah dimaklumkan bahawa pihak polis adalah menggunakan satu peraturan yang dikenali Peraturan Pematuhan bagi menguatkuasakan peraturan lalulintas ini secara “senyap” atau tanpa pengetahuan pesalah yang melanggar peraturan lalulintas.

Sebagai contoh, Peraturan Pematuhan digunakan ke atas penunggang motosikal yang melanggar peraturan lalulintas dan enggan berhenti apabila diarahkan oleh pegawai polis.  Mungkin, di dalam situasi sedemikian, adalah munasabah pihak polis mencatatkan nombor plat motosikal yang terlibat, tetapi, bukan situasi di jalan kampung baru ini.

Akan tetapi, apakah pendekatan atau penggunaan peraturan pematuhan ini sesuai digunakan di jalan kampung baru ini?

  1. Motosikal di kampung baru adalah bergerak lambat

  2. Penunggang motosikal adalah kebanyakannya warga tua atau wanita yang pergi ke pasar atau kedai kopi yang berdekatan

  3. Jarang berlaku kemalangan jalanraya di kampung baru

Timbalan Menteri Turut Bersama Penduduk Kampung

Kami dimaklumkan bahawa isu ini turut dibangkitkan di Parlimen pada 6.12.2004 dan Timbalan Menteri juga bersependapat dengan pandangan kami dan menyatakan bahawa beliau telah meminta polis bertindak lebih bijak dan tidak menjadikan orang-orang kampung mangsa. (lampiran lapuran Parlimen)

Adalah diharap SUHAKAM akan menyiasat aduan kami ini dan menasihati pihak polis berkenaan keperluan menghormati hak asasi manusia iaitu, “hak diberitahu jenis kesalahan yang dilakukan pada ketika itu” dan “peluang membela diri” tanpa perlu pergi  ke mahkamah.  Sekian, terima-kasih.

Yang benar,

Wakil penduduk-penduduk terlibat

(18/5/2005)


* Fong Po Kuan, Setiausaha Organisasi Wanita DAP dan Ahli Parlimen untuk Kawasan Batu Gajah