Adalah perlu untuk menambahkan Teras
Strategik 11: mewujudkan Polis Diraja Malaysia (PDRM ) yang bermesra
dengan rakyat. Kenyataan Akhbar oleh Tan Seng Giaw (Kepong, Rabu): Kita bersetuju dengan objektif strategik Suruhanjaya Diraja untuk mengubah PDRM menjadi organisasi abad ke-21 yang bertaraf dunia, cekap, bersih dan amanah, sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat dan negara dengan penuh berwibawa dan menghormati hak asasi manusia. Kita sering mengutarakan objektif ini di dalam dan luar Parlimen beberapa tahun ini. Sepuluh teras strategik itu adalah meliputi pemodenan PDRM; peperangan jenayah; siasatan baik; pembasmian rasuah; kepatuhan undang-undang dan hak asasi; penghormatan hak wanita dan kanak-kanak; jawatan,saraan dan skim khidmat lebih baik; peningkatan sumber manusia; penambahan logistik dan perumahan lebih baik. Jika semua ini dapat dijayakan, maka PDRM akan bertaraf dunia. Selain daripada pasukan petugas yang diketuai Perdana Menteri, kita berkehendakkan sebuah institusi yang bebas dan berkesan seperti ombudsman untuk memantau teras-teras dan 125 syor Suruhanjaya Diraja. Oleh itu Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mestilah ditubuhkan melalui Akta Parlimen dengan secepat mungkin. Kita harus memastikan IPCMC adalah selaras dengan ombudsman yang berkesan. Laporan Suruhanjaya Diraja mengandungi hampir empat muka darihal perhubungan awam yang tidak memuaskan. Perenggan 2.5.1, Muka 54, berkata: Suruhanjaya telah menerima 119 aduan daripada orang ramai yang mengadu bahawa perhubungan awam pihak polis adalah tidak memuaskan seperti yang berlaku di kaunter pertanyaan di mana orang awam ingin membuat laporan; cara pihak polis menyoal dan bercakap dengan pengadu, saksi ataupun saspek dalam sesuatu penyiasatan; sifat tidak sensitif pihak polis terhadap mangsa dan pengadu; dan cara pihak polis menjalankan pemeriksaan dan kawalan terhadap orang ramai. Perenggan 2.5.3, Muka 55 mencatatkan: Pengadu yang tidak boleh menulis dalam Bahasa Malaysia atau buta huruf sering dilayan ala kadar dan dimalukan dan selalunya laporan mereka tidak dilayan oleh pihak polis sehingga orang yang ingin membuat laporan polis itu mendapat bantuan orang lain. Kadangkala, anggota polis bersikap kasar dan memarahi pengadu sebagaimana yang dipaparkan dalam kes yang berikut: Seorang pengadu wanita pergi ke balai polis dengan niat untuk membuat laporan polis kerana beberapa budak lelaki yang juga jirannya mengganggu anak perempuannya. Apabila dia berada di balai polis, dia telah diberitahu secara kasar bahawa polis tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada bahagian tubuh anak perempuannya yang cedera. Malah pihak polis telah memberitahunya agar berpindah dari kawasan tersebut. Terdapat banyak lagi contoh seumpama ini. Tatkala para pengadu minta saya tolong, saya mengetaip aduan-aduan mereka di balai-balai polis. Suasananya adalah lebih mesra. Pelancaran moto polis, Mesra, Cepat dan Betul, sejak Mac, 1999 tidak dapat memupukkan budaya perkhidmatan yang mesra, cepat dan profesional dalam pasukan polis. Sekiranya moto baru Mesra, Cekap dan Beramanah yang dicadangkan oleh Suruhanjaya akan mendatangkan perubahan yang berkesan, kita mengalu-alukannya. Kita mengesyorkan supaya ditambahkan Teras Strategik 11: mewujudkan PDRM yang bermesra rakyat. Ahli-ahli polis daripada rekrut kepada pegawai kanan akan sentiasa diteraskan dengan hajat bermesra dengan rakyat. Pegawai-pegawai kanan menunjukkan teladan. (18/5/2005)
* Dr Tan Seng Giaw, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kepong |