http://dapmalaysia.org  

Jemputan Kepada Ketua Polis Negara, turun padang melawat 8 buah Kampung di kawasan Parlimen Batu Gajah, Gopeng dan Kampar bagi isu “saman ekor”

___________________________________

Sidang Akhbar

oleh Fong Po Kuan
________________________________________


(Gopeng, Ahad):
Saya telah menghantar satu jemputan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri untuk melawat 8 kawasan yang terdiri daripada Kampung Baru/luar bandar bagi membolehkannya mendengar dengan sendirinya, aduan dan keluhan penduduk-penduduk kampung berkenaan perasaan tidak puas hati mereka dengan penggunaan pendekatan penguatkuasaan peraturan trafik berbentuk “saman ekor”. 

Di dalam surat jemputan tersebut, saya telah menjemputnya melawat 8 kawasan iaitu Kampung Baru Nalla, Kampung Baru Bali, Kampung Baru Bemban, Kampung Sentang, Batu Gajah, Pusing Tanjung Tualang, Tronoh, Kampung Baru Lawan Kuda, dan Kopisan

Kesemua kawasan yang terlibat adalah di dalam kawasan Parlimen Batu Gajah, Kampar dan Gopeng iaitu di bawah bidangkuasa Ketua Polis Daerah Kinta di Batu Gajah.

Mohd Bakri ketika diminta mengulas cadangan Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) beliau telah dilaporkan berkata tiga skop utama akan dipertekankan iaitu, penurunan kadar kes jenayah, tanggapan tinggi orang ramai terhadap masalah rasuah dalam PDRM dan isu pencabulan hak asasi manusia demi memantapkan PDRM dalam menjaga kepentingan umum kelak.

Saya percaya, masalah orang kampung diserah notis pos berbentuk ‘saman ekor” kerana didakwa tidak memakai topi keledar dan tidak berpeluang “membela diri” kerana tanpa gambar dibekalkan kecuali bicara ke mahkamah harus diambil perhatian oleh Mohd Bakri bagi menunjukkan PDRM ke arah dua daripada tiga skop tersebut, iaitu PDRM menekankan masalah jenayah dan bukan isu remeh temeh (tidak memakai topi keledar di kampung) dan menghormati hak asasi manusia.

Seperti yang telah dinyatakan dari awal lagi, penduduk-penduduk kampong tidak mempersoalkan kewujudan Peraturan pematuhan tetapi pendekatan yang digunakan oleh pihak polis di dalam menguatkuasakannya  seperti “ saman ekor” ini adalah dilihat sebagai mencabul hak asasi mereka kerana tiada gambar langsung dibekalkan untuk mereka “membela diri” kecuali melalui proses mahkamah.

Kenyataan dibuat oleh Ketua Trafik Perak, Superintendent Che Hamzah yang bertegas bahawa pihak polis adalah menjalankan Ops Sikap Pematuhan yang dilancarkan sejak bulan Disember yang lalu dan jika penduduk kampung tidak puas hati, mereka boleh mencabarnya di mahkamah adalah tidak membantu menjadikan imej polis yang mesra rakyat. 

Reaksinya seolah-olah mencerminkan pihak penguatkuasa meletakkan penduduk tanpa pilihan di mana penduduk kampung adalah terdiri daripada golongan yang kurang mampu dan proses mahkamah adalah mengambil masa dan kos yang tinggi.  Ini adalah juga antara puncanya yang menyebabkan ada di antara mereka menjelaskan notis tersebut walaupun tidak melakukan kesalahan tersebut dan tidak menjelaskan notis yang berturut-turut diterimanya kerana tidak mampu membayarnya.

Saya mengetahui bahawa Mohd Bakri mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab, lebih-lebih lagi selepas Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM diumumkan, tetapi langkah untuk menjemput beliau melawat 8 buah kampung ini merupakan pilihan terakhir  penduduk-penduduk kampung dan masalah ini tidak harus dipandang ringan kerana ia akan menganggu gugat usaha  Mohd Bakri untuk memperbaiki imej PDRM melalui pelbagai cadangan laporan Suruhanjaya tersebut.

Tambahan, saya percaya jika Mohd Bakri dapat hadir dengan sendiri bagi mendengar dan melihat pandangan dan aduan orang kampung, beliau akan dapat merasai dan mengetahui situasi yang sebenarnya dilalui oleh penduduk kampung.  Ini akan lebih adil bagi penduduk kampung daripada Mohd Bakri hanya meneliti laporan daripada pegawai PDRM.  Maklumat dan maklumbalas daripada kedua-dua pihak juga akan membantunya membuat satu keputusan dan tindakan yang adil.

Sebelum ini, saya telah pernah berjumpa denga Ketua Polis Daerah Kinta di  Batu Gajah, Ketua Trafik Pasukan, P/SAC I Gingkoi Seman Pancrasdan membangkitkan perkara ini di Parlimen

Ketika di Parlimen, Timbalan Menteri, Dato’ Haji Noh Omar bersetuju dengan pendapat saya bahawa pendekatan “saman ekor” ini adalah tidak sesuai dan beliau turut menyatakan bahawa beliau telah berjumpa dengan Ketua Polis Negara berkenaannya, berharap agar pihak polis lebih bijak mendidik orang kampung dan tidak menjadikan orang kampung mangsa, tetapi, nampaknya, kenyataan seorang Timbalan Menteri tidak diambil berat juga. (Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 6.12.2004 muka surat 143)

Pada hari Selasa yang lalu, SUHAKAM diwakili oleh Dato’ Sivasubramanian telah melawat penduduk kampung di Lawan Kuda bagi melihat dan mendengar aduan penduduk kampung dan beliau juga merasa terharu dan luarbiasa mengapa begitu tinggi jumlah “saman” yang diterima oleh orang kampung.  Menurut kenyataan Ketua Trafik Perak, Superintendent Che Hamzah, sebanyak 1,356 saman telah dikeluarkan kepada orang kampung ini sejak bulan Disember 2004.

Kebetulannya, keesokan hari, saya dimaklumkan bahawa “road block” telah diadakan oleh polis di dua buah kampung, iaitu Kampung Baru Nalla dan Kampung Baru Bali di Batu Gajah.  Saya juga dimaklumkan bahawa sedemikian juga berlaku di jalan masuk ke Kopisan, yang jarang diadakan “road block”.

Saya berharap, tindakan ini bukan reaksi atau “balasan” ke atas penduduk kampung kerana mengadu berkenaan penguatkuasaan polis tersebut kepada SUHAKAM.  Dengan mengadakan “road block” saya berharap ia adalah satu keperluan dan demi keselamatan penduduk kampung dan bukan untuk mencari kesalahan “remeh-temeh” di kalangan penunggang motosikal di kampung-kampung ini.

Saya berharap Mohd Bakri juga akan menerima jemputan saya dan penduduk kampung ini.

(22/05/2005)

 


* Fong Po Kuan, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah