http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Wa!FM – Menuntut penjelasan daripada Effendi Norwawi


Ucapan Bujet 2006
oleh Tan Kok Wai

(Parlimen, Khamis):

 

Wa!FM – Menuntut penjelasan daripada Effendi Norwawi

 

Penutupan Wa!FM, iaitu stesen radio Mandarin yang digemari ramai, telah mencetuskan kegelisahan orang ramai. Isu ini mempunyai tiga aspek yang saling berkaitan. Yang pertama, kerajaan berperanan penting untuk mengelakkan operasi stesen radio ini daripada berhenti. Kedua, hakmilik jenis monopoli ke atas media harus dikaji semula. Ketiga, kerajaan sepatutnya menjalankan siasatan ke atas skandal yang melibatkan ntv7 dan Synchrosound Studio.

Sudah waktu berakhirnya “KL Spring”?

Terlebih dahulu, kita perlu membuat andaian bahawa stesen radio dan televisyen adalah institusi dan barangan awam. Walaupun kesemua stesen radio dan televisyen dimiliki penuh oleh syarikat swasta, ini tidak bermakna stesen-stesen tersebut sekadar pencetak wang tunai. Jadi, kerajaan dan dewan yang mulia ini seharusnya mengambil sikap yang lebih serius terhadap isu tersebut, termasuk juga soalan-soalan yang berkaitan dengan pemilikan dan monopoli ke atas media.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik memberitahu dewan yang mulia baru-baru ini bahawa meskipun terdapat 1 juta orang yang menandatangani petisyen dan terserah kepadanya, kerajaan tidak berdaya untuk menghalang pemilik swasta Wa!FM, iaitu Synchrosound Studio Sdn. Bhd. daripada menutup stesen radio itu.

Seperti yang saya dapat tahu pagi tadi, terdapat 10,903 orang yang menyertai petisyen melalui laman web (http://www.petitiononline.com/mod_perl/signed.cgi?WAFans). Memang boleh diakui bahawa bilangan pempetisyen tidaklah banyak sangat. Namun demikian, adakah kerajaan Barisan Nasional bersedia untuk tidak mengendahkannya, sehingga akhirnya memudaratkan kepentingan sendiri.

Dalam isu ini, apa yang lebih penting bukannya perasaan yang diluahkan oleh peminat-peminat radio tersebut, tetapi reputasi keseluruhan pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Salah satu program yang paling popular dan dialu-alukan adalah sesi perbualan yang diudarakan dari pukul 5.30 petang sehingga 7.00 petang. Program ini mengizinkan pendengar membuat panggilan “call-in” untuk mengutarakan pandangan mereka masing-masing terhadap isu-isu politik yang serius. Keadaan ini sungguh dihargai ramai, dan mereka selalunya menjadikan program ini sebagai gambaran terhadap keterbukaan relatif yang ditunjukkan oleh kerajaan pimpinan Abdullah Badawi, dan juga dibandingkan dengan era kepimpinan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Memandangkan ruang dan saluran adalah terhad untuk orang awam mengutarakan pandangan mereka dengan cara yang tidak tersekat seperti dalam program Wa!FM tersebut, maka penutupan Wa!FM yang bakal terjadi dapatlah diibaratkan sebagai “the end of ‘KL Spring’ ”, atau dalam kata lain, berakhirnya sesuatu zaman yang lebih terbuka malah juga paling singkat dalam sejarah.

TV tontonan percuma: Monopoli yang terjadi-jadi

Penutupan Wa!FM adalah amat berkaitan dengan persoalan-persoalan mengenai pemilikan media yang lebih luas. Perhatian orang awam ditumpukan ke atas isu Wa!FM adalah disebabkan stesen radio tersebut bebas untuk mengutarakan pandangan awam, dan pada masa yang sama, hanya terdapat segelintir stesen radio yang menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantaraannya. Di antara 56 stesen radio yang diluluskan untuk beroperasi di Malaysia, hanya terdapat 4 stesen radio yang berbahasa Cina. Memandangkan permintaan masyarakat terhadap isi kandungan radio yang berbahasa Cina adalah semakin tinggi, maka kerajaan berperanan untuk menghalang Wa!FM daripada ditutup, dan pada masa yang sama, meluluskan lebih banyak lesen untuk tujuan penyiaran tersebut.

Berita yang melaporkan bahawa The Star yang dimiliki oleh MCA telah mengambilalih sebuah lagi stesen radio adalah mengejutkan. Parti-parti pemerintah seperti MCA dan UMNO semakin ghairah untuk melibatkan diri dalam urusniaga media sehingga ke suatu tahap yang tidak mungkin berputar balik. Buat masa sekarang, MCA telah memiliki Nanyang Siang Pau dan China Press, dan juga dua buah stesen radio, iaitu RFM 98.8 dan RED 104.9.

Garisan yang memisahkan media dan parti politik dalam negara kita adalah semakin mengaburkan. Apa yang lebih membimbangkan kita adalah percubaan parti-parti politik BN yang meruncing ke arah untuk memonopoli pengaliran maklumat melalui pemilikan media, terutamanya dalam era globalisasi ini.

Kita mengimport istilah “GLC” atau “government-linked corporations” dari Singapura untuk merujuk kepada syarikat-syarikat yang sahamnya sebahagian dimiliki oleh kerajaan. Saya ingin memperkenalkan istilah “ULC” atau “UMNO-linked corporations” untuk merujuk kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh UMNO, seperti Media Prima Bhd.

Kes perolehan ntv7 oleh Media Prima adalah satu contoh ketara yang menunjukkan sikap UMNO dan BN tidak mengambil peduli serta tidak menghormati kebebasan media. Pada bulan Julai ini, Media Prima mengumumkan bahawa syarikat itu akan membantu Natseven TV dan dua buah syarikat yang berkaitan dengannya, iaitu Synchrosound Studio Sdn. Bhd. and Questseven Dot Com Sdn. Bhd., untuk menyusun semula hutang mereka yang tidak diketahui jumlahnya. Synchrosound and Questseven adalah pemegang lesen dan operator Wa!FM masing-masing.

Media Prima telah memiliki TV3 dan 8tv, dengan gabungan saham iklan TV (adex) sejumlah 53% dan penonton yang sejumlah 56%. Media Prima baru-baru ini telah membuat pengumuman untuk mengambil alih CH-9 Media, iaitu pemilik Channel 9 dengan RM41.44 juta. Sudahlah dengan lauk-pauk yang begitu banyak dalam piringnya. Ekoran daripada tindakan ini, Media Prima bakal akan menjadi pemilik tunggal kepada semua TV swasta tontonan percuma di Malaysia. Pemilikan monopoli ke atas media adalah sesuatu gejala yang tidak sihat, lebih-lebih lagi dikuasai oleh ULC.

Skandal-skandal

Alasan-alasan yang sering disebutkan dalam kes penutupan Wa!FM adalah kerana Media Prima sedang menjalankan proses penjenamaan semula, dan Wa!FM adalah bertanggungjawab ke atas kerugian terkumpul sebanyak RM 55 juta yang dialami oleh Synchrosound. Ini adalah tidak benar sekali. Mengikut laporan tahunan Synchrosound yang terakhir yang dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat pada tahun 2000, hutang syarikat itu telah berjumlah sebanyak RM 23 juta. Dalam kata lain, sekurang-kurangnya setengah daripada hutang itu telah terkumpul sebelum kemunculan Wa!FM pada tahun 2003.

Terdapat beberapa soalan yang saya harapkan kerajaan dan individu-individu yang berkenaan untuk menjawab:

(1)   Jumlah hutang yang ditanggung oleh Synchrosound dan ntv7 adalah banyak. Saya tidak berminat untuk mempersoalkan urusan keperibadian, tetapi adalah munasabah untuk saya bertanya bahawa adakah perceraian di antara Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi, Wakil Khas Kementerian Pengajian Tinggi yang berstatus Menteri dengan isterinya yang sudah berkahwin 33 tahun, Farida Hashim yang melibatkan beberapa juta ringgit, turut melibatkan ntv7 dan Wa!FM. Dalam laporan Sunday Mail bertarikh 10 Julai 2005, adalah didakwa bahawa penyelesaian kes antara dua orang ini melibatkan wang di antara RM 25 juta dan RM 100 juta. Tiga hari kemudian, Media Prima mengumumkan bahawa bermula prosesnya untuk mengambil alih ntv7. Kebetulan pada waktu adalah memeranjatkan. Adakah Effendi menjual ntv7 untuk menyelesaikan kes perceraiannya? Adakah dia pernah berfikir tentang kebajikan beberapa ratus pekerja yang berkhidmat dalam stesen televisyen dan radio? Kebanyakan mereka kemungkinan besar hilang pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun berikutnya apabila selesainya penggabungan dengan TV3.

(2)   Gabungan saham iklan TV (adex) untuk ntv7 adalah sekitar 30%. Unjuran pendapatan tanpa diskaun adalah sekitar RM 90 juta dan dijana melalui pendapatan kasar dengan diskaun yang amat rendah diberikan. Dalam apa-apa keadaan sekalipun, sungguhpun pihak ntv7 tidak berupaya untuk menjana keuntungan daripada adex tersebut, namun adalah memeranjatkan jikalau hutang ntv7 untuk tahun-tahun kebelakangan ini adalah lebih daripada RM 200 juta. Saya mendesak Badan Pencegah Rasuah untuk menjalankan siasatan ke atas kes ini, untuk mengenalpasti sama ada terdapat kejanggalan dalam pelaksanaan syarikat tersebut, terutamanya hubungan di antara ntv7 dengan sebuah syarikat yang bernama Air7 Sdn. Bhd.

(3)   Adalah didakwa bahawa Wa!FM berhutang kira-kira RM 8 juta kepada TM dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Sebagai sebuah syarikat GLC yang berkepentingan awam, TM perlu membuat penjelasan mengapa syarikatnya mengizinkan Wa!FM untuk terus berhutang dan tidak mengambil sebarang tindakan dengan lebih awal?

(4)   Adalah didakwa bahawa ntv7 dan Wa!FM telah berhutang EPF pekerja lebih daripada RM 1 juta secara tunggakan. Adalah menyalahi undang-undang bagi sesiapa yang tidak membuat sumbangan kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja. Perlu diambil perhatian bahawa EPF memegang ekuiti sebanyak 14.9% dalam Media Prima. Dengan itu, EPF perlulah menjalankan siasatan dengan serta-merta ke atas ntv7 dan Synchrosound Studio Sdn Bhd. Sebagai sesebuah perbadanan yang melindungi dana persaraan pekerja, adalah sesuatu yang aneh bagi EPF terus melabur secara tidak langsung dalam sesebuah syarikat yang langsung tidak menunaikan kewajipannya terhadap EPF.

 

 

(13/10/2005)


* Tan Kok Wai, Setiausaha Organisasi Parti DAP dan Ahli Palimen Bagi Kawasan Cheras

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: