http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Ucapan Oleh YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Bajet 2006 Pada 13 Oktober 2005


Ucapan Bajet 2006
oleh
Teresa Kok

(Parlimen, Khamis):

 

Pembangunan Infrastruktur Mesti Mengambil Kira Social Impact Studies

Datuk yang diPetua,
Baru-baru ini, Perdana Menteri berkata bahawa kajian kesesuaian (feasibility studies) haruslah dijalankan apabila sesuatu projek pembangunan melibatkan perpindahan penduduk kampong. Saya amat
setuju dengan kenyataan Perdana Menteri, dan saya rasa feasibility studies ini juga harus diperluaskan ke projek pembangunan di kawasan bandar. Di sini saya ingin membangkitkan masalah yang dihadapi oleh
penduduk di kawasan bandar di mana semakin ramai orang keluar membantah projek lebuhraya bertingkat yang melalui kawasan kediaman mereka. Ini termasuk penduduk di Pulau Pinang yang membantah projek Penang Outer Ring Road (PORR), penduduk di kawasan USJ 3 yang telah keluar bersama dengan ADUN MCA, Lee Hwa Beng untuk membantah lebuhraya bertingkat di kawasan
mereka dan juga penduduk di kawasan Taman Rainbow, Jalan Ipoh yang membantah projek lebuh raya bertingkat dari Jalan Duta ke kawasan Ampang. Kesemua bantahan ini dibuat kerana lebuh raya berkenaan melalui kawasan kediaman mereka yang merosakkan keamanan tempat kediaman mereka.

Datuk yang diPertua, di sini saya ingin membangkitkan contoh yang berlaku di kawasan saya, iaitu di Sri Petaling. Projek Lebuh Raya KL – Putrajaya dibina hanya 2.3 meter dari rumah teres yang baru di Jalan 2/149. Perkara ini melibatkan beberapa isu:

I) Masalah dalam Laporan EIA

a) Laporan EIA tidak mengikut garis panduan EIA yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Dalam Garispanduan EIA, di bawah konsep penting EIA, ia menghendaki pihak perancang (planner) menyatakan keperluan projek tersebut (the need of a project) dan memberi pertimbangan atas pilihan projek (consideration of project options). Kedua-dua syarat ini tidak dinyatakan dalam Laporan EIA Lebuhraya KL –Putrajaya;

ii) Laporan EIA dibuat pada tahun 1997, pada masa itu rumah teres di Jalan 2/149 masih belum dibina. Jadi, sekiranya kita baca Laporan EIA projek ini, kita akan mendapati bahawa apabila kerajaan menghendaki projek Lebuhraya itu dipulihkan, pihak LLM tidak menghendaki pihak konsesi untuk
membuat EIA itu semula, pihak konsessi masih menggunakan laporan EIA lama. Oleh itu, sekiranya kita baca laporan tersebut, ia masih menyatakan bahawa lebuhraya bertingkat itu mempunyai jarak sebanyak 20 – 50 meter dari lebuhraya tersebut. Sehubungan dengan itu, mukasurat 4-1 dalam Laporan
EIA di bawah tajuk “Significant Environmental Impacts and Mitigation Measures”, kita mendapati pihak consultant tidak menyatakan impak dari bahagian Taman Salak Selatan ke Taman Sri Petaling. Laporan EIA langsung tidak menyatakan bahawa Lebuhraya bertingkat tersebut hanya mempunyai
jarak sebanyak 2.3 meter dari rumah teres di Jalan 2/149. Selain daripada itu, “set back” yang ditentukan oleh LLM dalam garispanduan ialah 19 meter. Jadi, macam mana LLM meluluskan satu projek lebuh raya yangmelanggari “set back” yang ditentukan oleh mereka sendiri?

iii) Garispanduan EIA juga menghendaki pihak konsultan untuk menyatakan pandangan dan perasaan komuniti tempatan terhadap projek tersebut, tetapi ini juga  tidak disebut dalam Laporan EIA Projek KL – Putrajaya.

Di sini, saya juga ingin menyeru Jabatan Alam Sekitar supaya lebih telus terhadap laporan EIA bagi projek kerajaan. Laporan EIA haruslah dianggap sebagai dokumen publik dan sekiranya orang awam ingin mengambil salinan Laporan EIA, mereka harus dibenarkan untuk mengambil salinan EIA dan
tidak menganggap EIA sebagai dokumen sulit yang tidak boleh diedarkan kepada publik.

II) Masalah LLM

Datuk yang diPertua,
saya ingin menyeru pihak LLM supaya lebih responsif terhadap aduan daripada orang awam terhadap projek lebuh raya kerajaan dan mengarahkan pihak konsesi untuk berbuat demikian. Saya difahamkan
bahawa seorang penduduk di Sri Petaling yang bernama Sabudin bin Aziz pernah menghantar surat bantahan kepada pihak LLM pada Mac 1997, tetapi pihak LLM tidak membalas suratnya dan mengabaikan seruan dan rayuannya dan meneruskan projek lebuh raya tersebut. Selain itu, penduduk di Sri Petaling juga mengadu pihak syarikat konsesi tidak menegakkan papan tanda mengenai projeknya sejak awal, mereka hanya sedar tentang kewujudan projek lebuh raya bertingkat ini apabila pihak konsesi mula kerja di tempat mereka.

Selain itu, sekarang penduduk di rumah teres terbut telah mengalami keretakan pada dinding rumah mereka, keretakan bukan sahaja berlaku pada bahagian “extention” rumah mereka, tetapi juga pada dinding bahagian rumah asal. Kesalnya, tidak seorang pegawai dari LLM yang melawat rumah
yang mengalami keretakan, tetapi hanya konsultan sahaja yang melawat dan memeriksa dinding yang retak tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak konsesi juga mengabaikan aduan daripada penduduk di tapak tersebut dan mulakan kerja mereka pada pukul 6 pagi semasa mereka masih tidur nyenyak.

Kerajaan Harus Mengambil Alih Rumah Teres Jalan 2/149 Datuk yang diPertua, penduduk yang dipengarahui oleh Projek Lebuh raya KL– Putrajaya ini tidak berniat untuk mendesak kerajaan untuk menghentikan projek tersebut, tetapi mereka hanya merayu kerajaan untuk mengambil alih rumah-rumah mereka dengan harga pasaran. Ini adalah permintaan yang adil kerana para pembeli rumah ini langsung tidak sedar tentang kewujudan lebuhraya bertingkat itu apabila mereka membeli rumah mereka beberapa
tahun yang lepas. Sekiranya kerajaan sanggup membayar pampasan sebanyak RM38 billion kepada syarikat konsesi kerana kegagalan mematuhi perjanjian di antara kerajaan dengan syarikat konsesi, kenapakah kerajaan tidak sanggup mengambil alih rumah teres di Jalan 2/149 di Sri Petaling yang
bernilai lebih kurang RM30 juta sahaja? Sekiranya kerajaan mengambil alih rumah teres yang terlibat, ia hanya meningkatkan kos pembinaan daripada RM1.3 billion kepada RM1.33 bilion sahaja, masih kurang daripada pampasan sebanyak RM 38 billion yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi.

Ekuiti Bumiputera
--------------------
Datuk yang diPertua,
saya ingin tanya tentang penerusan Dasar Ekonomi Baru yang dilaung-laungkan oleh Pemuda UMNO dalam Perhimpunan UMNO beberapa bulan lepas. Masyarakat bukan Melayu menanya-nanya tentang kenyataan bahawa kaum Bumiputera masih belum mencapai ekuiti 30% yang merupakan matlamat Dasar Ekonomi Baru. Soalan sekarang adalah, kenapakah UMNO selalu berkata ekuiti Bumiputera masih kurang daripada 30% sejak DEB dilaksanakan dalam tahun 1970? Apakah ini kerana masalah kerajaan, ataupun masalah kaum Bumiputera ataupun kerana manipulasi dalam angka statistik?

Di sini saya ingin bangkitkan jawapan yang saya terima daripada Menteri Kewangan  mengenai senarai 20 syarikat yang paling besar nilai pasaran dan pecahan pegangan saham mengikut kaum bagi syarikat-syarikat tersebut pada 26 September 2005. Saya merasa amat hairan di mana jawapan yang saya
terima adalah berbeza daripada apa yang disiarkan dalam media, di mana jawapan yang diberi oleh kementerian kewangan kepada media mempunyai kolum “Khazanah Holdings” manakala peratusan saham yang dipegang oleh Khazanah Holdings telahpun dicampur ke dalam pegangan saham kaum bukan bumiputera dalam jawapan kepada saya. Ini menjadikan sesetengah syarikat ini menunjukkan pegangan saham kaum bukan bumiputera yang tinggi, misalnya dalam syarikat Telekom Malaysia Berhad, pegangan bukan Bumiputera dalam jawapan saya ialah sebanyak 59.32% tetapi dalam jawapan
yang disiarkan dalam suratkhabar, pegangan saham oleh kaum bumiputera di Telekom Malaysia ialah 24.12% manakala pegangan saham oleh Khazanah Holdings ialah 35.2%. Walaupun saya telah menarik balik usul yang rujuk Timbalan Menteri Kewangan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi saya
ingin tanya, apakah ini cara kerajaan memanipulasi angka ekuiti dalam statitstik sehingga kaum bumiputera selalunya kelihatan gagal mencapai matlamat ekuiti 30%?

Sebenarnya, sekiranya kita meneliti jawapan yang diberi oleh pihak Kementerian Kewangan mengenai pecahan equiti di 20 syarikat tersenarai di Bursa Saham, saya mendapati kaum Bumiputera mencapai 33%, kaum Bukan Bumiputera mencapai 30%, orang asing mempunyai 25% manakala Khazanah
Holdings memegang 12%. Memandangkan pengiraan kerajaan selalu mencampur pegangan saham oleh syarikat kepunyaan kerajaan sebagai pegangan saham kaum Bumiputera, maka kaum Bumiputera pun memegang 45% equiti dalam 20 syarikat yang terbesar di Bursa Saham Malaysia. Ini bermaksud kaum
Bumiputera sebenarnya telah mencapai matlamat asal Dasar Ekonomi Baru dan kerajaan tidak patut meneruskan tempoh perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru tetapi harus mengamalkan dasar yang adil dan saksama terhadap semua kaum, dan kerajaan sepatutnya mengikut seruan bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir yang berkali-kali menyeru kaum Melayu untuk membuangkan tongkat demi menjadi lebih efficient, kompetitif  untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Jadi, saya merasa amat kesal untuk melihat bajet 2006 memberi penekanan yang kuat kepada kaum Bumiputera, dan pelbagai projek pembangunan hanya diberi kepada kontraktor Bumiputera sahaja, tetapi bukan diberi berdasarkan merit syarikat kontraktor, dan kerajaan kelihatan lupa tentang keperluan dan kebajikan kaum bukan Bumiputera. Bukankah dasar yang berunsur diskriminasi terhadap kaum bukan Bumiputera telahpun bercanggah dengan prinsip Islam Hadhari?

Kerugian Bank Islam
------------------------
Datuk yang diPertua, saya amat prihatin tentang kerugian bersih sebanyak RM456.44 juta oleh Bank Islam bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2005 kerana Bank Islam menghadapi Non-Performing Loans (NPLs) yang berjumlah RM2.2 billion, kerugian ini mewakili nisbah bersih (net ratio)
12.5% berbanding dengan purata industri sebanyak 5.1%.

Pada masa kini, Bank Islam mempunyai 4 pemegang saham yang besar, iaitu Permodalan Nasional Berhad (32%), Tabung Haji (30%), KWSP (6%) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (5%), selain itu majlis agama di banyak negeri juga merupakan pemegang saham di bank tersebut. Kerugian Bank
Islam ini merupakan tamparan hebat terhadap kerajaan yang melaungkan Islam Hadhari dan juga para umat Islam yang dalam bulan Ramadan bulan suci ini.

Datuk yang diPertua, saya ingin tanya Kementerian Kewangan tentang isu-isu berikut:

i)        Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada kerugian Bank Islam ialah kerana bank itu telah keluarkan “rights issue”yang sebanyak RM400 juta dan disalur ke Offshore Financial Service Authority di Labuan, banknya di Labuan kemudian memberi pinjaman sebanyak RM450 juta kepada
syarikat di Sarajevo dan Afrika Selatan yang akhirnya mendatangkan kerugian yang besar. Persoalannya, apakah rasional Offshore Financial Service Authority meluluskan pinjaman ini dan siapakah yang
bertanggungjawab untuk meluluskan pinjaman ini? Apakah Bank Negara juga bertanggungjawab dari segi kelulusan pinjaman ini?

ii)        Macam manakah sistem pengurusan risiko (Risk Management System) beroperasi di dalam sistem perbankan Islam?

iii)        Macam manakah manipulasi dilakukan ke atas skim pinjaman tanpa pengenaan bunga?

iv)        Apakah pengarah/director dalam BIMB ini banker ataupun ulama? Apakah mereka berhak untuk memegang jawatan berkenaan?

v)        Apakah kemungkinan Fraud Schemes yang boleh mengeksploitasi sistem perbankan Islam?

vi)        Apakah rating agencies merupakan “guard dogs” atau sebahagian daripada Sistem Fraud yang tidak boleh dipercayai?

vii)        Apakah peranan kumpulan profesional ulama dalam penipuan perakaunan dalam BIMB Holdings?

viii)        Apakah akauntan bukan Islam yang berkelayakan dibenarkan untuk menyiasat penipuan dan penyelewengan dalam sistem perbankan Islam?

ix)        Siapakah yang akan bayar kerugian ini?

Mykad
--------
Saya ingin minta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri samada akan mendenda orang yang masih belum memohon Mykad pada 1 Januari 2006? Selain itu, saya juga menerima aduan daripada orang yang tidak menganut apa-apa agama di mana mereka dikehendaki untuk menulis agama yang dianuti dan mereka rasa ini adalah tidak adil terhadap mereka.

      

(13/10/2005)


* Teresa Kok, Setiausaha Publisiti DAP and Ahli Parlimen bagi kawasan Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: