http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Datuk Mohd Ali Rustam Sepatutnya Meninggalkan Negeri Melaka Sebagai Sebuah Negeri Maju Dan Bukan Bertanggungjawab Menjadikannya Sebagai Negeri Bankrap.
 


Ucapan  Dalam Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Melaka
oleh
Betty Chew Gek Cheng

(DUN Melaka, Isnin):

Sekali lagi, YAB Ketua Menteri akan melaung-laungkan kejayaan membentangkan Bajet Berimbang dengan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM 297 juta berbanding dengan hasil sebanyak RM 298 juta. Bajet berimbang ini tidak bermakna kerana menyembunyikan kedudukan sebenarnya. Pengurusan kewangan yang lemah dan tidak bertanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka harus dikecam kerana telahpun menyebabkan Melaka menyertai liga-liga negeri-negeri bankrap atau “insolvent” pada 2004. Ini disahkan dalam Lapuran Ketua Audit Negara 2004 untuk Melaka yang telahpun dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Hadenan A. Jalil kepada Parlimen pada 30.9.2005.

Lapuran 2004 mengesahkan bahawa Melaka telah menjadi bankrap kerana aset kerajaan tidak dapat menampung tanggungannya, seperti berikut:

·     Dari segi kedudukan kewangan kerajaan negeri jangka pendek adalah didapati aset berjumlah RM 221.77 juta tidak dapat menampung keseluruhan tanggungan berjumlah RM 258 juta. Pada tahun 2003 aset berjumlah RM 249 juta dapat menampung keseluruhan tanggungan RM 86.65 juta, yang bermakna asset menurun sebanyak 11% manakala tanggungan naik hamper 200%;

·     Kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi tempoh jangka panjang adalah kurang memuaskan kerana aset berjumlah RM 903 juta tidak dapat menampung tanggungan hutang kerajaan negeri berjumlah RM 978 juta.

Sukar diterima macam mana kedudukan kewangan jangka pendek dengan tanggungan RM 86.65 juta pada 2003 boleh merosot kepada RM 258 juta pada 2004, iaitu kenaikan 200% dalam setahun. Adakah ia berkaitan dengan pilihanraya besar dalam tahun 2004?

Saya amat kesal dengan penjelasan pihak kerajaan negeri bahawa negeri Melaka tidak bankrap kerana ia tidak mengambilkira hartanah kerajaan. Ini berlawanan dengan prinsip asas perakaunan dan perundangan. Sekiranya aset semasa tidak dapat menampung tanggungan semasa, ia boleh dilelong.

Rizab Bayaran Gaji Turun 91% Daripada 38.1 Bulan Pada 1999 Kepada Hanya 3.5 Bulan Pada 2003

Keadaan kewangan kurang memuaskan kerajaan negeri boleh dilihat dengan penurunan rizab bayaran gaji sebanyak 91% daripaa 38.1 bulan kepada 3.5 bulan dalam masa 5 tahun. Akaun Hasil Disatukan(AHS) adalah dimana segala hasil negeri yang diterima dan perbelanjaan mengurus yang terlibat dikenakan ke akaun ini. AHS telah turun daripada RM 122 juta pada tahun 1999, bila YAB Ketua Menteri mengambilalih teraju pimpinan kerajaan negeri, kepada hanya RM 12 juta pada 2004. AHS adalah bersamaan rizab bayaran gaji kerajaan negeri Melaka.

AHS adalah sebanyak 3.5 bulan atau kerajaan hanya mampu untuk menampung gaji kakitangan kerajaan selama 3.5 bulan pada 2004 berbanding dengan 38.1 bulan pada 1999. Ini merupakan kemerosotan yang amat besar sebanyak 91% dalam tempoh 5 tahun YAB menjadi Ketua Menteri, iaitu dana kewangan semakin berkurangan.

Setiap Ringgit Hutang (RM 978 Juta) Hanya Disokong Oleh 1 Sen Rizab Hasil Negeri

Yang lebih membimbangkan ialah baki hutang kerajaan negeri telah meningkat 103% daripada RM 482 juta pada tahun 1999 kepada RM 978 juta pada 2004. Akaun Hasil Disatukan (AHS) telah menurun 90% daripada RM 122 juta dalam tahun 1999 kepada RM 12 juta pada tahun 2004.

Penyata Akaun Awam 2004 mengakui bagi setiap ringgit baki hutang Kerajaan Negeri adalah disokong dengan hanya 1 sen rizab hasil Negeri berbanding dengan 25 sen pada tahun 1999. Keadaan kewangan 2004 yang menjadikan setiap ringgit hutang kerajaan disokong dengan hanya 1 sen merupakan kemerosotan 96% berbanding dengan keadaan 1999.

Pada tahun 1999 sekurang-kurangnya setiap satu ringgit hutang kerajaan disokong dengan 25 sen rizab hasil negeri. Bukankah membimbangkan 25 sen pada tahun 1999 sudah jadi 1 sen lima tahun kemudian pada 2004 untuk setiap ringgit hutang? Semasa kerajaan negeri cuba menasihatkan rakyat supaya mengurangkan pembaziran dan jangan berhutang banyak, hutangnya pada tahun 1999 sebanyak RM 482 juta boleh naik kepada RM 978 juta pada 2004.

Hutang Kerajaan Negeri Sebanyak RM 978 Juta Bermakna Setiap 650,000 Rakyat Melaka Kena Membayar Hutang RM 1,500-00.

Hutang kerajaan negeri Melaka sebanyak RM 978 juta bermakna setiap 650,000 rakyat Melaka kena bayar hutang RM 1,500-00 setiap orang selepas negeri Melaka menjadi bengkerap. Adakah kedudukan setiap orang dewasa, pelajar dan bayi di Melaka kena bertanggungjawab dan berhutang RM 1,500-00 setiap orang merupakan balasan kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihanraya besar 2004.

YAB Ketua Menteri tidak boleh berbangga dengan pengurusan kewangannya bila setiap ringgit hutang disokong oleh hanya 1 sen rizab hasil negeri? Hutang ini kebanyakan digunakan untuk menampung projek-projek mewah kerajaan negeri yang merugikan rakyat seperti:-

·     Projek Lebuhraya Sungai Udang Ke Durian Tunggal sebanyak RM 280 juta sepanjang 21 km atau RM 14 juta sekilometer di mana hanya separuh adalah 4 lorong kereta;

·     Projek Hang Tuah Mall sebanyak RM 8.5 juta;

·     Projek air terjun Bukit Bruang sebanyak RM 1.7 juta;

·     Projek pintu gerbang MBMB sebanyak RM 2.7 juta;

·     Jeti Parameswara sebanyak RM 13 juta;

·     Satu yunit tandas sebanyak RM 125,000/-

·     Bandaraya Mall(Taj Mahal di Bangunan MBMB) sebanyak RM 4.5 juta;

·     Projek pesiaran kaki Jonker Walk sepanjang 600 meter sebanyak RM 1.8 juta atau RM 300 sekaki;

·     Bunga pasu sebanyak RM800 sebuah di sepanjang Jalan Bendahara;

·     Air pancut dan pesiaran kaki di depan Mahkota Parade sebanyak RM 2 juta dan jalan berbatu yang rosak sebaik ia disiap sebanyak RM 2.5 juta.

Projek Lebuhraya Sungai Udang-Durian Tunggal Sebanyak RM 280 Juta

Mengapa projek Lebuhraya Sungai Udang ke Durian Tunggal masih belum diserahkan kepada kerajaan pusat sungguhpun telah melebihi jadual masa yang ditetapkan pada 31 Mei 2005. Adalah menghairankan mengapa projek yang pada awalnya membelanjakan RM 205 juta boleh dinaikkan RM 10 juta sungguhpun ia sudah lewat. Syarikat kontraktor dikenakan dengan RM 2,084.16 setiap hari dan sehingga sekarang menjadi jumlah denda keseluruhannya RM 187,574/. Yang tidak boleh difahami ialah mengapa tambahan kos RM 10 juta boleh diberikan sungguhpun ia sudah lewat.

Dengan bayaran kos pengambilan tanah sebanyak RM 65 juta, kos kesudahan projek ini adalah RM 280 juta untuk lebuhraya 21 km. Atau RM 14 juta sekilometer, mungkin yang termahal di Malaysia. Sungguhpun tambahan kos diberikan cerun bukit masih runtuh dan membahayakan pengguna. Yang anihnya ialah bukan lebuhraya sebenarnya tetapi lebuhraya celup kerana tidak semuanya empat lorong.

Bandaraya Mall “Taj Mahal” Sebanyak RM 4.5 Juta.

Projek lain berkontroversi ialah Bandaraya Mall sebanyak RM 4.5 juta yang mirip Taj Mahal di Agra, India. Ini amat membazirkan kerana pelancong tidak akan datang ke Melaka untuk lihak Taj Mahal contohan tetapi akan terus pergi ke India untuk melihat Taj Mahal sebenarnya. Kami tidak menentang perbelanjaan untuk padang riadah tetapi mengapa mesti meruntuhkan pagar mahal di MBMB. Bukankah lebih menjimatkan wang sekiranya dibina di atas padang kosong seperti di tapak Pasar Malam Bukit Baru.

Lawatan Makan Angin Ahli MPAG Sebanyak RM 66,000 Ke China

Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan juga berlaku dalam lawatan ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) makan angin di China dengan wang rakyat sebanyak RM 66,000. Menyusuli lawatan makan angin rombongan pimpinan YAB Ketua Menteri ke seluruh dunia merentasi benua Amerika Syarikat dan Dubai sebanyak RM 1 juta awal tahun ini, rombongan ahli MPAG sebanyak 30 orang juga mengikut jejak YAB.

Lawatan sambil belajar ini jelas lawatan makan angina kerana tidak ada seorang pegawai kerajaan tempatan ditemui semasa berada di Beijing dan Tianjin. Malah Yang di Pertua MPAG tanpa segan silu menyatakan kerana pegawai kerajaan tempatan sibuk dengan persiapan Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Beijing pada 2008, mereka terpaksa mengikut syarikat pelancong membawa mereka melawat kedua-dua kota itu. Apa tempat yang boleh dibawa oleh syarikat pelancong kalau bukan tempat berseronok dan tarikan pelancong.

Bagi pihak rakyat Melaka yang benci penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang, saya ingin mengecam dan mengutuk tindakan mereka dengan sekeras-kerasnya. Saya juga mendesak YAB Ketua Menteri memberikan arahan agar semua ahli rombongan MPAG memulangkan kos perbelanjaan sebanyak RM 66,000 kerana tidak beretika dan adalah salah mereka menggunakan wang awam untuk pergi makan angin.

Sekiranya mereka tidak bersalah mengapa perlu pergi secara senyap-senyap tanpa diketahui umum. Kalau kes ini tidak dibongkarkan oleh Setiausaha-agung DAP Lim Guan Eng, sekali lagi rakyat tidak akan tahu macam mana wang mereka disalahgunakan oleh ahli kerajaan tempatan yang tidak bertanggungjawab. Sekali lagi, ini menunjukkan lantikan ahli majlis kerajaan tempatan telah gagal untuk mengatasi masalah rakyat sebaliknya menimbulkan masalah kepada rakyat dengan perkhidmatan yang buruk dan penyalahgunaan kuasa.

Betul pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M. Kayveas bahawa ahli majlis kerajaan tempatan beroperasi macam kongsi gelap. Dan bergelumang dalam gejala rasuah sehingga menyebabkan Malaysia tidak dapat memperbaiki kedudukan rasuah dalam Index Transparency International dan terus tersangkut pada kedudukan No. 39.

Macam mana mesyuarat EXCO Melaka boleh meluluskan lawatan makan angin dengan alasan prestasi kewangan MPAG bertambah baik bila memperolehi keuntungan RM 1.1 juta? Lebih baik ahli MPAG menghabiskan masa pergi ke setiap rumah mengutip tunggakan cukai pintu memandangkan peratus tunggakan cukai pintu MPAG adalah yang paling tinggi sebanyak 37% atau RM 5.8 juta dari menghabiskan masa makan angin di negeri China.

Mencatat keuntungan memang sebahagian tanggungjawab ahli MPAG kerana  dibayar elaun. Kalau MPAG untung diberikan hadiah, adakah ahli MPAG akan menanggung sebarang kerugian yang dialami oleh MPAG kelak? Ini tidak masuk akal sama sekali. Saya juga ingin bertanyakan samada ahli MPAG diberikan sebuah notebook atau laptop yang akan dihadiahkan terus kepadanya sebaik sahaja tempoh perkhidmatannya tamat. Apakah rasionalnya bila setengah ahli MPAG pun tidak celik computer atau tak tahu gunakan komputer.

Di samping itu, ahli MBMB seperti Lim Siew Wan daripada MCA tidak menunjukkan teladan baik bila berhutang tunggakan cukai pintu sebanyak RM 14,000. Pada awalnya beliau dibenarkan bayar secara ansuran potong elaun bulanan ahli MBMB berbanding dengan tindakan sita ke atas orang biasa. Akhirnya tekanan kami memaksanya menjelaskan hutang cukai pintunya.

Sebelum ini seorang ahli MBMB dari UMNO Md Sani bin Jantan telah dibongkarkan berhutang RM 41,000 kerana hutang sewa kiosk MBMB di Hang Tuah Mall. Adalah tidak betul dan beretika seorang ahli MBMB boleh menyewakan kiosk milikan MBMB yang sepatutnya disewakan kepada rakyat dan dibenarkan terus berhutang RM 41,000 tapada tindakan diambil.  Berikutan tekanan, Md Sani telahpun meletakkan jawatan sebagai ahli MBMB.

Saya percaya tanpa tekanan ke atas dua kes hutang ini, perkara ini tidak akan diselesaikan. Sebagai ahli EXCO untuk portfolio kerajaan tempatan dan perumahan, Datuk Poh Ah Tiam mesti bertanggungjawab ke atas double-standard ahli majlis kerajaan tempatan MBMB yang mengambil tindakan ke atas orang biasa tetapi tidaknya ke atas parti BN dan pemimpinnya yang hutang cukai pintu.

Itulah sebabnya kami memperjuangkan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan secara demokrasi untuk menghapuskan penyelewengan kewangan dan penyalahgunaan kuasa sedemikian. Hanya dengan memilih ahli kerajaan tempatan barulah rakyat berpeluang menentukan nasib mereka serta menegakkan akauntabiliti dan ketelusan.

Saman Letak Barang dan Pangkin Di Luar Had Di Pasar Bukit Beruang

Saya juga ingin membuat teguran ke atas Pihak Penguatkuasa MBMB kerana tidak bertindak adil semasa mengeluarkan saman ke atas peniaga Pasar Bukit Beruang kerana meletakkan barangan dan pangkin di luar had. Pertama, MBMB bersikap diskriminasi pilih kasih dan berat sebelah bila tidak mengeluarkan saman ke atas satu golongan kecil sungguhpun mereka pun melakukan kesalahan serupa.

Kedua, YB ADUN Ayer Keroh dan Datuk Bandar MBMB telah berjanji kepada peniaga boleh letakkan pangkin buat sementara waktu. Kedua-dua mereka mesti pegang kepada janji mereka dan sekiranya berubah fikiran perlu memaklumkan kepada peniaga terlebih dahulu. Perlu diingatkan bahawa peniaga pasar adalah peniaga kecil dan membayar saman RM 125 bukanlah satu jumlah kecil dalam keadaan ekonomi yang meleset sekarang. Lagipun dengan ruang pasar yang kosong dan besar, tidak ada sebarang halangan berlaku.

Peniaga yang disaman faham MBMB perlukan wang untuk projek-projek cantik-cantik belaka tetapi bukan dengan mengeluarkan saman secara berleluasa dan tanpa sebab munasabah. Memandangkan saman dikeluarkan secara diskriminasi dan janji oleh Datuk Bandar dan YB Ayer Keroh, adalah perlu YB Ayer Keroh bangun menunaikan tanggungjawab ke atas pengundinya dan buat kerja dengan membatalkan saman mereka.

Projek Mencantikkan Sungai Melaka

Projek mencantikkan Sungai Melaka telah makan belanja hamper RM 100 juta dan akan makan belanja tambahan RM 100 juta lagi. Pihak kerajaan telah berjanji bahawa banjir kilat akan diatasi kerana air pasang tidak akan melimpah keluar dan air Sungai Melaka akan sebersih sehingga boleh cuci mata. Semua janji ini hanya omong-omong kosong.

Saya ingin mencabar Datuk Poh berbuat demikian dalam air Sungai Melaka yang kotor ini. Sungai Melaka tetap kotor dan sampah yang berlonggok di longkang amat busuk dan tidak sihat. Bukan sahaja air pasang membanjiri kawasan tepi sungai, maka ia telahpun menyebabkan banjir kilat pada 14 Oktober di tempat yang tidak pernah menghadapi banjir selama ini.

Punca utama ialah perangkap sampah yang dipasang di longkang bukan sahaja memerangkap sampah tetapi menjadikan longkang sumbat. Air yang tidak dapat mengalir keluar telah membanjiri hamper 1,000 buah rumah pada hari tersebut. Air hanya surut bila perangkap sampah di longkang dipecah dengan JCV. Adakah kerajaan akan berikan pampasan ke atas banjir kilat buatan manusia ini? Jelas sekali, projek mencantikkan Sungai Melaka telah gagal membersihkan air sehingga boleh cuci mata. Banjir kilat yang lebih serius berlaku. Apakah tindakan kerajaan ke atas masalah ini?

Adakah Penyata Tabung Kebajikan Datuk Mohd Ali Rustam Hampir RM 1 Juta Untuk Membantu Orang Miskin Membiayai Kos Rawatan Hospital Ini Diagihkan Kepada Orang Kenamaan Datuk Dan Ahli Keluarga Ketua Menteri?

Beberapa hari lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah mendedahkan YAB Ketua Menteri memiliki satu akaun Penyata Tabung Kebajikan hampir sejuta ringgit yang diselenggarakan oleh Southern Hospital. Mengikut Lim wang RM 908,242.33 sejak 19/12/2001dari sumber UMNO Melaka dan orang awam telah diberikan kepada orang kenamaan peringkat Datuk, Datin dan ahli keluarga sendiri. Macam mana YAB Ketua Menteri boleh menjamin RM 280,000 bila kesemua wang yang masuk pun sudah dibelanjakan?

Adalah perlu YAB Ketua Menteri menyatakan senarai penuh penerima bantuan perubatan, kriteria kelayakan dan mengapakah Tabung ini tidak diumumkan selama 4 tahun ini untuk membolehkan lebih ramai orang miskin yang perlu bantuan kewangan perubatan membuat permohonan. Ini adalah berikutan pendedahan Lim bahawa  RM 113,467.88 atau 13% Tabung ini telah diberikan kepada seorang Datuk A, RM 106,742.26 or 12% Tabung ini telah diberikan kepada Datuk B dan RM 1,770 diberikan kepada seorang Datin Seri A. Orang kenamaan ini  telah menerima 30% Tabung ini dan lebih 20% dinikmati oleh ahli keluarga YAB Ketua Menteri.

Memberikan bantuan kewangan perubatan kepada golongan berada dan ahli keluarga sendiri dan bukan yang miskin boleh dianggap satu penyalahgunaan kuasa. Oleh itu YAB mesti memberikan akauntabiliti penuh tentang pengurusan Tabung Amanah ini yang didirikan untuk membantu orang miskin bukan orang kenamaan dan ahli keluarganya.                                                  

 

(25/10/2005)


* Betty Chew Gek Cheng , Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Dan ADUN DAP Kawasan Kota Laksamana

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: