http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Ucapan Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri


Ucapan Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri
oleh
Teresa Kok

(Parlimen, Selasa):

 

Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri Pada 26 Oktober 2005

B6 Jabatan Perdana Menteri

010500 Biro Tatanegara

Datuk yang diPertua, saya ingin minta Menteri di JPM untuk memberitahu dewan yang mulia ini tentang isikandungan latihan yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara. Saya terima aduan daripada  sesetengah peserta yang pernah menyertai latihan atau kursus Biro Tatanegara, mereka berkata pelatih di Biro Tatanegara itu menyebarkan ajaran atau fikiran yang melampau mengenai agama dan perkauman kepada para pelajar. Mereka diberi ajaran yang hanya mengagung-agungkan sesuatu kaum dan agama tetapi  menyisih kaum dan agama yang lain di negara kita.

Datuk yang diPertua, saya ingin minta Menteri untuk menjelaskan tentang objektif dan tujuan asal kerajaan menubuhkan Biro Tatanegara dan samada kerajaan memantau kurikulum dan pelatih dalam biro ini? Saya difahamkan latihan Biro Tatanegara ini hanya diberi kepada pelajar kaum Melayu di kampus universiti dan ia tidak terbuka kepada kaum lain. Para pelajar ini dipilih untuk “cuci otak” selama seminggu di luar kampus supaya mereka dijadikan “budak baik” atau “pak turut” kepada kerajaan.

Kerajaan telah berkali-kali menanya kenapakah negara kita masih tidak dapat mencapai perpaduan nasional setelah kita merdeka selama 48 tahun, dan kerajaan malah mengadakan latihan khidmat negara untuk menyatu-padukan pemuda-pemudi daripada pelbagai kaum, selain itu, RTM telah mengadakan program Debat Perdana dengan menjemput ahli politik dan pakar sosial untuk membahas tentang isu perpaduan kaum, dan Jawatankuasa Pilihan Khas juga telah ditubuhkan di Parlimen untuk mengkaji tentang masalah perpaduan kaum. Soalannya, bukankah kurikulum dalam Biro Tatanegara yang keterlaluan ini bercanggah dengan dasar kerajaan yang ingin memupuk perpaduan di antara kaum?   Kenapakah kerajaan masih membiarkan ajaran yang melampau dan merosak hubungan kaum dalam Biro Tatanegara ini diteruskan?

020000 Unit Perancang Ekonomi

Masalah Setinggan KL Linear City

Datuk yang diPertua, saya ingin membangkitkan satu isu yang mana saya bangkitkan dua tiga kali setahun, iaitu tentang isu penjualan rumah kepada penduduk setinggan KL Linear City yang telah berpindah demi membuka jalan kepada projek KL Linear City yang terbengkalai pada tahun 1996. Kesemua penduduk setinggan yang terlibat diberi dua pakej pampasan pilihan, iaitu wang tunai RM22,000 ataupun rumah kos menengah yang luasnya 650 kaki persegi dibina di Lot PT 4813 di Bukit Jalil dijual kepada mereka dengan harga RM45,000.  

200 keluarga yang pilih pakej pampasan rumah, mereka menandatangani kontrak yang begitu menarik sekali, di mana mereka diberi elaun pemindahan RM1,000 dan sewa bulanan RM300 sehingga rumah pangsa tersebut diberi CFO, tetapi malangnya projek KL Linear City terbengkalai dan kontrak mereka yang disaksikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Kerajaan Persekutuan pun disia-siakan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Pandikar Amin dan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohamad Shaid Mohd Taufek pernah memberitahu para setinggan KL Linear City dalam satu perjumpaan dengan mereka pada 8 Januari 2002, bahawa EPU akan membina dan menjual unit kos rendah yang berharga RM42,000 kepada mereka pada tahun 2003, tetapi malangnya, janji bekas Menteri dan bekas Datuk Bandar ini menjadi janji kosong pula.

Pada Oktober 2003, para penduduk setinggan KL Linear City ini diberi surat jaminan tawaran rumah oleh DBKL dengan sokongan daripada EPU bahawa EPU akan membina rumah kos rendah kepada mereka, sementara menunggu rumah mereka, para setinggan ini ditawar untuk menyewa rumah pangsa kos rendah PPR.

Soalan yang ditanya-tanya oleh para setinggan KL Linear City ini ialah, di manakah rumah pangsa yang dijanji oleh EPU dan DBKL kepada mereka? Bilakah kerajaan akan menunaikan janji kepada golongan setinggan ini? Saya berharap Menteri JPM boleh memberi satu jawapan yang memuaskan kepada kami untuk dipanjangkan kepada para setinggan ini di dewan yang mulia ini.

B4 Suruhanjaya Pilihan Raya

Datuk yang diPertua, jika berbanding dengan agensi kerajaan yang lain, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan agensi yang paling “relaks” sekali, kerana pilihan raya hanya akan dijalankan mungkin dalam akhir tahun 2007 ataupun 2008.

Setelah berlakunya kekecohan dalam pendaftar pemilih dalam Pilihan Raya Umum yang  lepas, saya ingin tanya apakah langkah yang diambil oleh SPR untuk membetulkan masalah pengundi yang dipindah ke kawasan lain dan membersihkan pendaftar pemilih kita?

Memandangkan ramai pemuda-pemudi kita masih belum mendaftar sebagai pengundi, saya menyeru supaya SPR mengambil initiatif untuk menjalankan pendaftaran di tempat awam dan kampus.  

B1 Parlimen  

Saya mengalu-alukan usaha kerajaan yang menubuhkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas supaya Ahli Parlimen diberi peranan untuk menggubal atau meminda undang-undang dan dasar. Saya merasa amat bermakna untuk berada di Jawatankuasa Pilihan Khas yang mengkaji Penal Code dan CPC.

Saya mencadangkan supaya Ahli Parlimen yang terlalu sibuk tidak harus dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Pilihan Khas. Contohnya, YB dari Cameron Highlands dipilih dalam dua jawatankuasa pilihan khas, selain itu beliau juga selalu dipilih untuk menyertai rombongan kerajaan dan rombongan Parlimen ke luar negeri, sehingga beliau selalu tidak dapat menunaikan tugasnya khususnya dalam Jawatankuasa Pilihan Khas yang mengkaji Penal Code dan CPC. 

Saya juga mencadangkan supaya anggota jawatankuasa pilihan khas juga harus menunjukkan sikap yang terbuka terhadap kesemua pandangan yang berbeza yang dibentangkan, dan menggalakkan interaksi dan perbincangan di antara anggota jawatankuasa dengan pembentang. Saya pernah membentangkan pandangan di Jawatankuasa Perpaduan Nasional dan Latihan Khidmat Negara, dan saya mendapati dalam jawatankuasa ini, pembentang digesa untuk mempercepatkan pembentangan mereka dan tiada perbincangan dan interaksi diadakan kerana kesuntukan masa. Ini adlaah jauh berbeza daripada keadaan di Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Mengkaji Penal Code dan CPC yang saya seorang anggota.    

Datuk yang diPertua, ramai Ahli Parlimen telahpun membentangkan tentang siaran langsung sidang Parlimen kita dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN juga pernah mencadangkan tentang web-casting sidang Parlimen kita, kenapakah cadangan ini masih tidak dilaksanakan dalam sidang Parlimen ini? Apakah kebimbangan kerajaan terhadap cadangan siaran langsung sidang Parlimen?

Saya berharap Parlimen kita akan menjadi lebih mesra rakyat. Selalunya kita memberi terlalu banyak penekanan terhadap kod pakaian sehingga ramai orang awam tidak dapat masuk ke bangunan Parlimen kita. Pada tahun awal ini, apabila jawatankuasa pilihan khas Parlimen kita melawat Parlimen New Zealand, saya merasa amat hairan untuk melihat lelaki yang memakai singlet dan seluar pendek ini dibenarkan masuk menyaksikan sidang Parlimen. Saya tidak mencadangkan bahawa Parlimen kita memberi kelonggaran sehingga tahap ini, tetapi kami haruslah lebih relaks terhadap isu kod pakaian.

Di Australia, Parlimen di Canberra telah dijadikan sebagai tapak pelancongan dan Parlimen tersebut malah mengadakan kursus khas dan latihan kepada orang awam dan pelajar tentang fungsi Parlimen dan sistem Demokrasi. Saya bercadang Parlimen kita diberi lebih kakitangan supaya kita boleh menjalankan kursus dan latihan seperti ini kepada orang awam juga. Dengan itu, saya turut menyokong seruan untuk memulihkan Parliamentary Services Act.       

Saya menyokong pandangan yang diutarakan oleh YB Bukit Mertajam dan Batu Gajah supaya sensitivity orang bukan Islam juga harus dijaga, ini termasuk pelajar di Universiti Islam Antarabangsa dan pegawai wanita bukan Islam di Parlimen ini tidak harus disuruh untuk memakai tudung kerana ini bukan tradisi Parlimen kita.

Akhirnya, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan boleh menyelesaikan masalah tempat letak kereta di Parlimen untuk menyelesaikan kita semua.
      

(25/10/2005)


* Teresa Kok, Setiausaha Publisiti DAP and Ahli Parlimen bagi kawasan Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: