http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Peguam Negara harus membuka semula kes pembunuhan pelajar negeri Cina, Xu Jian Huang dan mengambil langkah segera untuk meningkat prestasi perkhidmatan pendakwaan bagi menentukan penjenayah dihukum mengikut undang-undang demi melindungi orang awam dan Negara


Ucapan semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2006
dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2006

oleh Chow Kon Yeow

(Dewan Rakyat, Selasa):

Baru-baru ini, Pendakwaraya kalah dalam beberapa kes yang disifatkan besar termasuk membabitkan pembunuhan Pembantu Menteri Sabah Datuk Norjan Khan Bahadar, Noritta Samsudin, kes rogol dan bunuh pelajar Farrah Deeba Rustam dan pelajar Negara Cina Xu Jian Huang.

Pendakwaraya juga dibidas oleh beberapa hakim kerana gagal menjalankan tugas mereka sehingga mengakibatkan kes terpaksa ditangguhkan.

Contohnya, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Richard Malanjun dalam kes Farrah memberi kenyataan,” Kes ini tidak sepatutnya berakhir begitu jika pendakwaan menjalankan tugas dengan baik.”

Hakim Abdul Kadir Musa dalam kes Xu Jan Huang pula berkata bahawa ada banyak keraguan dan kegagalan pendakwa membawa saksi penting.

Orang awam memandang perkembangan ini dengan penuh keprihatian dan ini telah menimbulkan persoalan tentang kecekapan pihak Peguam Negara untuk memastikan penjenayah dihukum mengikut undang-undang.

Dalam kes Xu Jian Huang, bapa mangsa Xu Jin Lai telah membawa kepada perhatian media bahawa saksi penting dalam kes Fang Shu Jing dapat dikesan di kampung di Negara Cina, sedangkan pihak Pendawaraya telah gagal memanggil saksi tersebut untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes.

Akhirnya, tiga orang tertuduh iaitu Resty Agpalo, Koh Kim Teck dan Mohamad Najib Zulkifli dibebaskan kerana wujud kesangsian yang tidak dapat diatasi dan masih ada banyak soalan yang tidak dapat dijawab dalam kes pendakwaraya.

Memandangkan ada perkembangan baru dalam kes ini, saya menyeru Peguam Negara untuk membuka semula kes ini di samping mengambil langkah-langkah segera untuk mengatasi cabaran-cabaran untuk memastikan penjenayah dihukum mengikut undang-undang.

Ahli Parlimen Tanjong menyeru Peguam Negara mempercepatkan penyemakan dan pembaharuan undang-undang

Saya juga menarik perhatian Dewan Rakyat bahawa saya tidak puashati bahawa pihak Kerajaan masih belum menunaikan janjinya untuk menyemakan undang-undang berhubung wujudnya percanggahan dalam sistem perundangan Negara di antara undang-undang sivil dan jenayah dengan undang-undang syariah sivil dan jenayah.

Saya sudah membangkitkan dalam Dewan Rakyat tentang impak yang besar akibat daripada percanggahan sistem undang Islam dan undang-undang conventional ke atas rakyat jelata, lebih-lebih lagi rakyat yang bukan Islam.

Saya juga berharap pihak Kerajaan juga mempercepatkan penyemakan dan pembaharuan undang-undang mengenai rogol dan gangguan seks sepertimana terkandung dalam beberapa memorandum yang diserahkan oleh pihak NGO.
 

(26/10/2005)


*Chow Kon Yeow , Naib Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kawasan Tanjong

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: