http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Permintaan keadilan oleh Zuraidah harus dilayan dan disokong oleh orangramai, yang tidak bersetuju dengan kelakuan dan tindakan tidak bertanggungjawab.


Kenyataan Akhbar
oleh Chong Eng

(Parlimen, Rabu): Zuraidah ,berumur 25 tahun yang telah melahirkan seorang anak tanpa berkahwin dengan bapa kepada anak tersebut telah dikehendaki untuk hadir ke Mahkamah Majistret Johor Bahru. Zuridah dituduh melakukan kesalahan menjalin hubungan luar nikah.(Utusan Malaysia 26-10-2005)

Menurut laporan, Zuraidah sedia berdepan dengan apa jua tindakan yang mungkin diambil oleh mahkamah ke atasnya, tetapi beliau menyoal mengapakah hanya dirinya seorang sahaja yang dihadap ke mahkamah?
Mengapakah tindakan yang sama tidak diambil ke atas lelaki yang menghamilkannya?
 
Saya berpendapat persoalan yang dibangkitkan oleh Zuraidah adalah berasas. Malahan, demi keadilan permintaannya agar lelaki yang tidak bertanggungjawab terhadap tindakannya dan anak yang
dilahirkannya patut diambil tindakan mahkamah bersama adalah munasabah. Pihak berkuasa yang hanya memburunya dan mengambil tindakan mahkamah ke atas dirinya adalah tidak adil memandangkan ia melibatkan dua pihak bagi membolehkan seseorang wanita hamil.
 
Pihak berkuasa sepatutnya bertindak adil dalam menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan tidak berat sebelah iaitu bukan hanya mendakwa mangsa
sahaja di dalam kes-kes sedemikian yang kebiasaannya kaum wanita.
 
Saya percaya, tidak ada mana-mana wanita, jika mereka mempunyai pilihan, berkehendakkan berada di dalam situasi Zuridah, melahirkan seorang anak luar nikah. Di dalam kes Zuridah ini, malangnya
keinginannya untuk bernikah tidak dapat menjadi kenyataan kerana lelaki yang menghamilkannya enggan meminangnya.
 
Saya pernah diberitahu oleh bekas pembantu rumah saya yang berasal dari Indonesia bahawa di Indonesia, lelaki yang menghamilkan wanita
akan dipaksa mengahwini wanita tersebut, walaupun wanita itu hanya sehari mengandung. Menurutnya, ia adalah bagi memastikan anak yang
bakal dilahirkan adalah sah di sisi undang-undang Islam. Di Malaysia, setahu saya, tiada peraturan sedemikian.
 
Jika mengikut undang-undang sivil, dan andaikan Zuridah adalah seorang yang bukan beragama Islam, beliau boleh mengambil tindakan mahkamah ke atas lelaki yang memperdaya dan menghamilkannya. Di
sisi undang-undang sivil, hal sedemikian di lihat sebagai hal peribadi yang melibatkan tingkah laku individu dan hak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap lelaki yang terlibat adalah
ditangan mangsa.
 
Pada pendapat saya, selepas melahirkan anak luar nikah, ibu dan anak ini tiada kasih sayang daripada suami dan bapa serta sokongan daripada ahli
keluarganya , golongan ini seringkali dipandang serong atau hina oleh masyarakat, mereka dilihat sebagai pembawa malu kepada dirinya dan keluarganya. Layanan sedemikian yang perlu diharungi olehnya adalah satu
hukuman berat dan memadai.
 
Jika dibandingkan dengan lelaki yang menjalin hubungan luar nikah, lelaki yang tidak bertanggungjawab tersebut nampaknya terlepas daripada segala layanan buruk seperti yang diterima oleh wanita
berkenaan hanya kerana lelaki tidak boleh hamil! Nampaknya, dakwaan dapat dikenakan ke atas Zuridah adalah dengan berdasarkan kepada anak yang dilahirkannya adalah luar nikah.
 
Saya amat khuatir, jika penguatkuasaan undang-undang Syariah dijalankan sedemikian, ia akan memberi persepsi yang salah kepada orangramai bahawa pihak berkuasa “menggalakkan” tindakan lelaki
yang tidak bertanggungjawab tersebut dan mereka “dibolehkan” meneruskan tindakan menghamilkan wanita lain tanpa perlu mengahwininya kemudian. Di waktu yang masa, mereka ini akan
terlepas daripada sebarang tindakan mahkamah atau hukuman.
 
Permintaan keadilan oleh Zuraidah tersebut harus dilayan dan disokong oleh orangramai, yang tidak bersetuju dengan kelakuan dan tindakan tidak bertanggungjawab tersebut.

(26/10/2005)


* Chong Eng, Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen bagi Bukit Mertajam, Penang

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: