http://dapmalaysia.org
Forward
Feedback
|
Kedua-dua ADUN DAP Di Melaka Akan Dermakan Elaun Tahun Baru Cina Kepada Sekolah Menengah Pay Fong Atau Kebajikan Sekiranya Diberikan RM 5,000 Seorang.
Kenyataan Akhbar (Melaka, Sabtu): Kedua-dua ADUN DAP di Melaka akan dermakan elaun Tahun Baru Cina sebanyak RM 5,000 setiap orang kepada Sekolah Menengah Pay Fong atau kebajikan sekiranya elaun ini diberikan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Melaka Betty Chew dan ADUN Bandar Hilir Goh Leong San. Semua ADUN, Speaker, Ahli EXCO dan Ketua Menteri diberikan elaun Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali kecuali ADUN DAP. Setiap ADUN BN diberikan RM 5,000 manakala setiap ahli EXCO dan Speaker diberikan RM 10,000 serta Ketua Menteri tanpa had oleh kerajaan negeri untuk meraikan hari raya dengan mengadakan rumah terbuka setahun sekali. DAP mengecam kerajaan BN Melaka menyalahgunakan kuasa dan membazirkan wang rakyat dengan menberikan hampir RM 250,000 setiap tahun kepada setiap ahli EXCO dan ADUN BN untuk mengadakan rumah terbuka dan menyambut Hari Raya masing-masing. Jumlah ini mencecah RM 250,000 kerana ada 13 ADUN, 13 Ahli EXCO dan Speaker serta perbelanjaan Ketua Menteri yang boleh melebihi RM 50,000 sekali. Memandangkan ia adalah wang rakyat, bukankah ini merupakan satu penyalahgunaan kuasa kerana membolehkan ia dibelanjakan untuk tujuan politik BN. Rumah terbuka yang diadakan oleh ADUN BN adalah wang rakyat Oleh itu rakyat mesti ingat semasa mengunjung hari terbuka wakil rakyat BN, kos makanan dan minuman bukanlah keluar dari kocek mereka sendiri tetapi daripada wang rakyat sendiri. Itulah sebabnya BN begitu berjaya memancing undi dengan memberikan makanan dan minuman percuma tetapi semua ini daripada wang rakyat. Perlu ditegaskan bahawa ADUN pembangkang tidak pernah menerima sebarang peruntukan wang daripada kerajaan untuk mengadakan rumah terbuka. Wang ini dimasukkan dalam akaun bank peribadi tanpa perlukan sebarang akauntabiliti dan audit. Macam mana rakyat boleh pastikan ia tidak disalahgunakan. Untuk menunjukkan perbezaan di antara BN dan DAP, kedua-dua ADUN akan dermakan RM 10,000 kepada Sekolah Menengah Pay Fong atau kebajikan kalau memperolehi wang berhari raya ini. Sekiranya wang perbelanjaan sebanyak RM 250,000 setahun ini digunakan untuk memberikan derma kepada mereka yang tidak bernasib baik, DAP tidak akan membantah. Tetapi sekiranya ia digunakan untuk mempromosikan BN dan juga kepentingan politik ADUN-ADUN BN, ia merupakan satu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Apakah faedah kepada rakyat Melaka ADUN BN biasa yang tidak memegang jawatan kerajaan boleh diberikan peruntukan sebegini? Sebelum ini kerajaan BN Melaka telah dikesan membazirkan wang rakyat untuk berseronok seperti makan angin, berpolitik dengan menuntut elaun perbatuan seperti seorang bekas Ahli EXCO mengadakan sidang akhbar dalam rumahnya sendiri di Jalan Kubu atau berkempen dalam pilihanraya kecil dan juga menghadiri mesyuarat MCA di Kuala Lumpur. Jelas sekali ini menyalahi slogan pilihanraya BN “Tradisi Membela Rakyat” (yang mungkin harus ditukar kepada “Tradisi Membazirkan Wang Rakyat”) dan juga usaha Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membersihkan pentadbiran kerajaan dari penyalahgunaan kuasa.
(11/02/2006)
|