http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Pecat anggota Lembaga Pengarah yang dilantik oleh kerajaan dalam MDEC

 

_______________

 

Ucapan perbahasan
by Teresa Kok
_____________
_____

 

(Parliament, Thursday) :  Ucapan YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh Dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Pada 23 November 2006:

Datuk Pengerusi, saya ingin menyampaikan pandangan beberapa pengurus di bidang ICT mengenai pandangan mereka terhadap MDEC dan peranan yang harus dimainkan oleh MDEC di dewan yang mulia ini.

 

Pengurus syarikat ICT memegang pandangan bahawa MDEC sepatutnya sebuah agensi kerajaan yang memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada syarikat-syarikat di industri ini, tetapi apa yang dilakukan oleh MDEC ialah sebaliknya. Masalah dengan MDEC sekarang ialah, ia cuba memberi arahan kreatif  kepada pengurus syarikat ICT di industri ini. Apabila pegawai MDEC ditanya tentang rasional sesetengah keputusan dibuat oleh MDEC, mereka selalu berkata ia adalah arahan daripada atasan, tetapi mereka tidak dapat beritahu siapakah bos yang memberi arahan. Selain itu, mereka juga selalu menggunakan nama “Tan Sri” semasa memberi arahan, tetapi tiada siapa tahu samada ini adalah arahan daripada ‘Tan Sri’.  

 

Pengarah-pengarah syarikat ICT ini berpendapat bahawa MDEC sepatutnya mengambil arahan daripada profesional ICT dan bukan sebaliknya. Mereka berharap MDEC boleh berhenti memberi arahan kepada mereka dan memberi lebih ruang dan kebebasan kepada mereka untuk menghasilkan produksi kreatif. Mereka juga berharap pihak kementerian boleh memecat pegawai yang mempunyai ego yang tinggi dan yang suka memberi arahan yang bukan-bukan kepada professional syarikat ICT.  

 

Selain itu, profesional ICT yang saya temui juga berharap pihak MDEC boleh menghentikan praktis kronisme yang hanya memberi bantuan kewangan kepada segelintir profesional yang rapat dengan mereka, tetapi peruntukan dan bantuan harus diberi berdasarkan kemahiran dan kreativiti mereka.

 

Profesional ICT berpendapat MDEC tidak harus membelanjakan wang untuk mengadakan ‘capacity building’ dari segi hardware, tetapi mereka harus memberi tumpuan untuk memberi bantuan dari segi hubungan di antara industri pada kerajaan. Misalnya, sekiranya sesebuah syarikat ICT ingin mengadakan satu kolej untuk mengajar orang ramai macam mana menggunakan 3D animation, MDEC sepatutnya membantunya untuk mendapat bantuan profesional dengan menggunakan status dan pengaruhnya sebagai agensi kerajaan. Selain itu, sekiranya sebuah syarikat ingin mengupah animator dari luar negeri, maka MDEC juga harus memberi bantuan kepada syarikat ini.

 

Cadangan daripada profesional ICT yang saya temui bercadang kementerian memecat anggota  lembaga pengarah yang dilantik oleh kerajaan dalam MDEC dan gantikan mereka dengan:  

i)                    Orang yang bebas daripada industri ini untuk berkhidmat di industri ini;

ii)                   Wakil rakyat ataupun orang yang berwibawa.

 

Mereka cadangkan bahawa kerajaan seharusnya belajar daripada Singapura, di mana apabila MDA (media development authority) mengadakan ‘joint venture’ dengan National Geographic dan Discovery Channel untuk menghasilkan documentaries, tindakan ini pun membuka Singapura sebagai hub kepada produksi documentary.

 

Manakala apabila FINAS melancarkan program yang sama, ia hanya buka pintu kepada 2 productions dan hanya kepada ahli FINAS sahaja. Ini pun memotong jalan ataupun menghalang mereka yang betul-betul mahir dalam industri ini daripada menyertai program ini. Keputusan ini tidak akan menyumbang kepada perkembangan industri ini.

 

Akhirnya, saya ingin tanya, YB Menteri pernah menjemput ahli Parlimen DAP untuk melawat MDEC dalam sidang Parlimen yang lepas, tetapi sehingga hari ini, bulan puasa dan Hari Raya sudahpun lepas, tetapi jemputan ini masih belum dihantar kepada kami. Apakah YB Menteri takut pada kami?  

 

(23/11/2006)     


*  Teresa Kok, MP for Seputeh and DAP Publicity Secretary

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: