http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Road-Map Melaka Negeri Maju Mesti Memastikan Rakyat Dapat Berkongsi Kemakmuran, Menghapuskan Ketirisan Pembangunan Dan Rasuah Serta Menggantikan Dasar Kuota Kaum Atau Politik Dengan Keperluan.

 


Speech

by Betty Chew Gek Cheng


 

(Parliament, Tuesday) : Terlebih dahulu saya ingin ucapkan Selamat Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada smua penganut agama Islam dan meminta maaf kerana terpaksa membuat teguran atau kritikan ke atas pihak kerajaan negeri dalam bulan suci ini demi kebaikan dan menfaat rakyat Melaka kerana kerajaan negeri telah membelakangkan prinsip akauntabiliti, ketelusan, kebenaran dan demokrasi yang seharusnya menjadi penggerak pentadbiran negara.

 

Road-map Melaka Negeri Maju 2010 yang digariskan oleh YAB dalam Bajet 2007 semalam mesti memastikan rakyat dapat berkongsi kemakmuran ekonomi, menghapuskan ketirisan pembangunan dan rasuah serta menggantikan dasar kutoa kaum atau politik dengan keperluan. Rakyat tidak mahu dipinggirkan baik oleh para pelancong ataupun oleh ketirisan projek pembangunan yang hanya menguntungkan pihak atau kroni tertentu.

 

Seperti periok nasi penjaja di Lorong Bunga Raya dipecahkan dan dipaksa pindah tanpa pampasan semata-mata untuk menanam bunga dan pokok. Adakah ini memenuhi strategi kedua Bajet 2007 membina sebuah masyarakat penyayang bila menanam bunga lebih penting daripada orang miskin mencari hidup?  Mana demokrasi membuat pilihan dengan bebas kalau YAB mengamalkan diskriminasi dengan pengumuman hanya yang sokong kerajaan akan diberikan kontrak?

 

YAB begitu yakin matlamat GNP per capita sebanyak RM 26,000 akan tercapai menjelang 2010. Pokoknya ialah adakah setiap pekerja akan menikmati pendapatan RM 26,000 setahun. Sekiranya tidak, ini bermakna mekanisme pengagihan yang adil tidak berfungsi. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), purata pendapatan bulanan isipadu keluarga di Melaka adalah RM 2,792 pada 2004 iaitu No. 6 di Malaysia selepas Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan. Adakah setiap keluarga memperolehi RM 2,792 setiap bulan?

 

DAP nak ingatkan bukan semua Melayu kaya seperti Datuk R yang mampu membelanjakan RM 3.5 juta untuk kahwin baru ataupun semua Cina kaya seperti Timbalan Presiden Pemuda MCA Datuk Ling Hee Leong ataupun semua India kaya seperti Datuk S. Samy Vellu. Yang pasti ada Melayu, Cina dan India yang susah dan lebih banyak Melayu miskin daripada yang kaya. Akan tetapi kerajaan BN suka labelkan Melayu miskin atau Cina kaya ataupun hanya mahu mewujudkan golongan jutawan bumi daripada mengagihkannya dengan semua bumi demi dasar pecah dan perintah.

 

Itu salah kerana bantuan dan kontrak kerajaan tidak patut berbau kaum atau berbau politik tetapi berdasarkan keperluan. Mengapa perlu quota diskaun perumahan untuk rumah mewah bila yang belinya sudah kaya dan berkemampuan? Dasar quota perumahan semata-mata mengukuhkan kuasa politik BN dan tidak praktikal dalam dunia globalisasi yang penuh cabaran ini.

Mengapa perlu diskaun perumahan untuk rumah mewah bila pembelinya sudah kaya dan yang miskin juga sama-sama miskin? Bukankah sistem quota perumahan sudah gagal bila pembeli bumi sendiri sekarang enggan membeli rumah quota bumi dan mahu pilih lot-lot bukan bumi.

 

Pekerja Asing Hampir 20% Penduduk Melaka Menyekat Kenaikan Gaji Pekerja.

Semua rakyat di Melaka tanpa kira kaum dan agama kini menghadapi masalah inflasi di mana semua harga barangan naik kecuali gaji mereka. Kerajaan telah memberikan bantuan dalam bentuk pelepasan cukai bila yang diperlukan oleh rakyat ialah penambahan pendapatan. Apa gunanya pelepasan cukai sekiranya tidak ada pendapatan mencukupi untuk membayar cukai?

 

Rakyat lebih suka memperolehi hasil pendapatan yang lebih sehingga mampu membayar cukai daripada tidak ada pendapatan yang cukup untuk menikmati pelepasan cukai ini. Sehingga kini, kerajaan masih tidak prihatin masalah ekonomi dan beban kewangan  rakyat dan sebaliknya menggila-gilakan ingin menaikkan harga cukai pintu ataupun kadar bayaran air ekoran pengswastaan selepas sudah menaikkan harga bayaran letrik, minyak dan cukai tanah sebelum ini. Sungguhpun harga minyak antarabangsa sudah turun daripada US$78 setong kepada US$ 58 setong, harga minyak tempatan masih belum turun. Adalah diharapkan YAB akan setuju untuk mendesak harga minyak diturunkan.

 

Semalam YAB merasa hampa bahawa hanya ada 359,000 pemohon kerja untuk 671,525 kekosongan kerja ataupun hanya 53.4% pemohon pekerjaan. Kedudukan lebih ketara di Melaka bila ada 3,100 pemohon kerja untuk 33,344 kerja kosong ataupun 9.3% sahaja. Kerajaan negeri dan YAB perlu menerima hakikat bahawa ramai kekosongan wujud kerana kadar gaji yang rendah. Semua ini angkara kerajaan negeri yang menekan kenaikan gaji dengan membawa masuk pekerja asing.

 

Mengikut rekod rasmi ada 123,792 pekerja asing dan 539 pegawai dagang sehingga 30 September 2006 iaitu hampir 20% penduduk Melaka. Sekiranya pekerja tanpa izin dikira masuk, angka ini mungkin mencecah 40%. Majikan tidak boleh dipersalahkan sekiranya mengupah pekerja asing yang lebih murah dan mengurangkan kos.

 

Lagipun pelaburan yang dibawa masuk berteraskan tenaga kerja dan bukannya modal ataupun tekonologi intensif. Pembawaan pekerja asing juga mempunyai kesan sampingan social dari segi keretakan keluarga dan jenayah. Kadar gaji rendah menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpaksa mencari pendapatan di negara asing seperti Singapura atau negara maju di barat.

 

Macam mana pekerja boleh hidup dengan kadar RM 700 sebagai pekerja kilang iaitu kadar kemiskinan. Oleh itu, memenuhi strategi pertama YAB meningkatkan ekonomi melalui sektor berpotensi tinggi seperti pelancongan, ICT dan bioteknologi, saya harap kerajaan bolehlah membawa masuk pelaburan bernilai tinggi dan berteknologi supaya boleh meningkatkan penguasaaan teknologi baru selain daripada menaikkan taraf, penguasaan pengetahuan dan gaji pekerja bersesuaian dengan cabaran globalisasi.

 

Melaka Bengkerap Dulu Baru Maju?

Sekali lagi, YAB Ketua Menteri akan melaung-laungkan kejayaan membentangkan Bajet Berimbang dengan Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM 289,734,445 berbanding dengan hasil sebanyak RM 289,181,146. Sejauh manakah Bajet berimbang ini bermakna bila pengurusan kewangan agak lemah berikutan Lapuran Ketua Audit Negara 2005 untuk Melaka bahawa “kedudukan jangka panjang bagi tahun 2005 juga tidak memuaskan dengan menunjukkan aset sebanyak RM 934.02 juta tidak dapat menampung tanggungan hutang kerajaan negeri berjumlah RM 1.03 bilion.” Adakah Melaka kena bengkerap dulu sebelum maju?

 

Rizab Bayaran Gaji Terus Menurun Lagi Daripada 3.5 Bulan Pada 2004 Kepada Hanya 2.9 Bulan Pada 2005

Keadaan kewangan kurang memuaskan kerajaan negeri sekali lagi tertera dengan rizab bayaran gagi yang terus menurun daripada 3.5 bulan pada 2004 kepada hanya 2.9 bulan pada 2005 dalam Akaun Awam Negeri Melaka 2005. Penurunan rizab bayaran gaji sebanyak 92% daripada 38.1 bulan kepada 2.9 bulan dalam masa 6 tahun YAB Ketua Menteri menerajui tampuk pimpinan negeri amat menbimbangkan. 

 

Setiap Ringgit Hutang (RM 978 Juta) Hanya Disokong Oleh 2 Sen Rizab Hasil Negeri

Yang lebih membimbangkan ialah baki hutang kerajaan negeri telah meningkat 114% daripada RM 482 juta pada tahun 1999 kepada RM 1,031 juta pada 2005.  Penyata Akaun Awam 2005 mengakui bagi setiap ringgit baki hutang Kerajaan Negeri adalah disokong dengan hanya 2 sen rizab hasil Negeri berbanding dengan 25 sen pada tahun 1999. Keadaan kewangan 2005 yang menjadikan setiap ringgit hutang kerajaan disokong dengan hanya 2 sen merupakan kemerosotan 92% berbanding dengan keadaan 1999.

 

Pada tahun 1999 sekurang-kurangnya setiap satu ringgit hutang kerajaan disokong dengan 25 sen rizab hasil negeri. Bukankah membimbangkan 25 sen pada tahun 1999 sudah jadi 2 sen enam tahun kemudian pada 2005 untuk setiap ringgit hutang? Semasa kerajaan negeri cuba menasihatkan rakyat supaya mengurangkan pembaziran dan jangan berhutang banyak, hutangnya pada tahun 1999 sebanyak RM 482 juta boleh naik kepada RM 1,031 juta pada 2005.

 

Bilakah keadaan akan bertambah baik? Hutang kerajaan negeri Melaka sebanyak RM 1,031 juta bermakna setiap 650,000 rakyat Melaka kena bayar hutang RM 1,500-00 setiap orang dewasa, pelajar dan bayi di Melaka. Macam mana YAB Ketua Menteri boleh berbangga dengan pengurusan kewangannya bila setiap ringgit hutang disokong oleh hanya 2 sen rizab hasil negeri, liabiliti melebihi aset ataupun hutang RM 1,500 setiap orang?

 

Sungguhpun hutang bertimbun kerajaan masih ingin meneruskan projek infrastruktur yang tidak menfaatkan rakyat seperti Bangunan Dewan Undangan Negeri. Kerajaan negeri harus mempercepatkan pembinaan projek yang sedia ada khususnya projek Lebuhraya Muar-Simpang Empat sebanyak RM 505.6 juta yang belum siap dan lewat selama 2 tahun sejak kerja dimulakan pada tahun 9 April 2001.

 

Lebih Mudah Membina Landasan Keretapi Qinghai-Tibet Sepanjang  1,956 Km Daripada Lebuhraya Muar-Simpang Empat Sepanjang 70 Km.

Saya tidak faham mengapa projek landasan keretapi Qinghai-Tibet di Cina sebanyak US$4 bilion sepanjang 1,956 km dengan tapak tertinggi 5,072 meter, dan di mana 550 kilometers daripada 1,956 km landasan keretapi dibina di atas tanah  terbeku, boleh siap pada masa yang ditetapkan pada bulan Julai tahun ini sungguhpun kerja permbinaan juga dimulakan pada 2001.

 

Jarak Lebuhraya Muar-Simpang Empat hanya sepanjang 70 km atas tanah rata berbanding dengan 1,956 km landasan keretapi Tibet di atas tanah tertinggi dunia. Sama-sama dimulakan pada tahun 2001. Mengapa projek sukar membina landasan keretapi itu boleh digunakan sepenuhnya sedangkan lebuhraya kami masih belum siap? Kedua-duanya dibina pada masa yang sama tetapi projek yang lebih sukar dan besar boleh siap lebih awal berbanding dengan projek yang mudah. Malaysia Boleh?

 

Bila saya mencadangkan bahawa kerajaan negeri belajar daripada pengalaman negeri Cina, MCA pula mengecam kami sungguhpun tujuan kami adalah belajar daripada pihak yang berjaya. Mengapakah MCA bersikap begitu angkuh macam nak tutup temberang dan kegagalannya kerana projek ini melalui kawasan DUN MCA?  Projek lewat siap ini membawa kesulitan dan kerugian kepada para penduduk.

 

Kegagalan menjalankan projek pembangunan boleh dilihat dengan 75.4% prestasi pencapaian perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK8). Mengikut Lapuran Ketua Audit 2005, daripada 186 projek ini, ada 46 projek belum dibina dan 89 sedang dilaksana. Macam mana rakyat boleh menfaatkan daripada projek pembangunan bila ia langsung tidak dilaksanakan?

 

Pembinaan Bangunan Dewan Undangan Negeri Melaka Membazirkan Wang Rakyat Dan Tidak Bertanggungjawab Kerana Bersikap Boros Dalam Pengurusan Kewangan.

Cadangan membina bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka membazirkan wang rakyat dengan kos penggunaan bangunan lama setinggi RM 535,041.45 setiap hari bersidang. Bangunan DUN baru yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dan siap pada 2015 adalah tidak bertanggungjawab dan bersikap boros dalam pengurusan kewangan atas tiga sebab utama berikut.

1.      Bangunan DUN lama yang telah makan perbelanjaan RM 85,606,631.53 telah siap 10 tahun yang lepas dan masih boleh dipakai. Sekiranya ia akan digantikan dengan bangunan baru di tapak baru pada 10 tahun yang akan datang, ini bermakna ia hanya digunakan untuk tempoh 20 tahun, satu tempoh masa yang amat singkat bila bangunan seharusnya diguna pakai sekurang-kurangnya 50 tahun.

2.      Persidangan DUN hanya berjalan selama 8 hari setiap tahun, satu tempoh masa singkat yang mencerminkan kurangnya budaya dan perjalanan demokrasi dan akauntabiliti di negeri Melaka. Adakah perlu satu bangunan baru bila mesyuarat hanya digunakan selama 8 hari setahun atau 2.2%? Sekiranya YAB ingin meneruskan projek Bangunan DUN baru pada 2015 maka bangunan DUN lama berharga RM  85,606,631.53 juta digunakan 160 hari pada tempoh 20 tahun ini ataupun RM 535,041.45 setiap hari DUN Melaka bersidang, kos yang amat tinggi tanpa mengira kos penyelenggaraan selama 20 tahun ini.

3.      Kekosongan Bangunan DUN lama akan menambahkan bangunan dan hartanah kerajaan yang dibiarkan kosong kerana tidak ada penyewa yang berminat. Mengapakah bangunan kosong yang sedia ada tidak boleh digunakan seperti Bangunan Pertam di Melaka Baru, Bangunan EXPO di sebelah Taman Buaya Ayer Keroh, Graha Maju, Wisma Negeri dan Wisma Persekutuan.

Oleh demikian, kami harap YAB boleh menggugurkan cadangan ini demi kepentingan rakyat. Wang projek bangunan baru yang boleh dijimatkan sekadar RM 100 juta ini harus disalurkan kepada projek menfaatkan rakyat seperti membina longkang, jalan dan tiang lampu jalanraya.

 

Sepatutnya masalah banjir kilat harus diatasi dengan pembinaan sistem perparitan baru tetapi kami lihat projek RM 53 juta di kawasan Bandar masih dilengah-lengahkan. Nampaknya  kerajaan dan YAB lebih berminat membelanjakan wang untuk projek besar ataupun perancangan berniat jahatnya menambahkan pengundi UMNO sekurang-kurangnya sebanyak 10% atau 7,000 orang menjelang pilihanraya supaya BN boleh terus menang dan mengekalkan kemenangan di Kawasan Parlimen Kota Melaka.

 

Tindakan Saman Letak Kereta Dan Lori Dengan Sesuka Hati Menyusahkan Rakyat

Tindakan saman letak kereta dan lori secara sesuka hati oleh majlis kerajaan tempatan termasuk MBMB, MPAG dan MDJ amat menyusahkan dan membebankan rakyat. Jawapan bahawa sesiapa yang tidak berpuashati boleh pergi mahkamah adalah tidak boleh diterima dan tidak bertanggungjawab bila MBMB tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang melanggari undang-undang.

 

Contohnya café X-tracts di Jalan Laksamana selalu mengganggu ketenteraman penduduk tempatan dengan bunyi bising sehingga awal pagi. Ataupun bilangan kompaun  melonjak 4 kali ganda selepas pengswastaan kerana komisen diberikan ke atas setiap saman. Adakah tujuan saman adalah untuk menghukum mereka yang buat salah ataupun semata-mata meraih wang pendapatan yang lebih bagi diri sendiri dan MBMB?

 

Muslihat yang sama terpakai dalam pengeluaran kompaun lori yang tidak diletakkan di Gangsa. Demi meraih balik kos pelaburan sebanyak RM 10 juta, MBMB cuba memaksa semua kenderaan lori pindah ke Gangsa. Itu sebabnya MBMB begitu asyik saman lori sampai pemandu lori yang pindah rumah ataupun singgah di rumah sekejap untuk mandi ataupun minum kopi di kedai mamak ataupun letak di tanah sendiri pun kena saman.

 

Tujuan saman itu tidak lain tidak bukan untuk memaksa lori kenderaan pergi ke Gangsa untuk menebus balik kos projek yang tinggi ini. Sampai ada pengusaha lori menerima beratus-ratus keeping saman. Macam mana bayar saman RM 250 setiap keeping kerana jual lori pun tak cukup bayar. Kemarahan rakyat ini memang kerana tidak ada pilihanraya tempatan untuk memastikan akauntabiliti, demokrasi dan ahli majlis kerajaan tempatan berkerja demi menfaat rakyat dan bukan untuk kepentingan tertentu.

 

Itulah sebab rakyat begitu marah bila saman yang dikeluarkan secara silap tidak dilayani. Contohnya memberikan saman papan tanda iklan kepada seorang peniaga yang menyewa di tingakat bawah sebuah kedai di Taman Melaka Raya sebanyak RM 250 bila papan tanda bukan milikannya dan berada di tingkat satu.

 

Kita tidak mahu pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk M. Kayveas bahawa ahli majlis kerajaan tempatan beroperasi dengan double-standard macam kongsi gelap menjadi hakikat.  Sebelum saya mengakhiri, saya ingin ucapkan Selamat Hari Divali dan Selamat Hari Raya Aidilfitrei kepada semua.

(17/10/2006)     


*Betty Chew Gek Cheng, DAP Melaka Wanita Chairman, State Assemblyman for Kota Laksamana

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: