http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Kegagalan Polis Bertindak Ke atas Keganasan Samseng-samseng Ke atas Orang Awam Dan Menangkap Mereka Yang Di depan Mata Polis  Memukul Selvadurai Dan Menyerang Dua Buah Van Perkhidmatan DAP Di Kampung Idaman, Klang.

 


Letter

by Lim Guan Eng



31hb Oktober 2006
Yg Bhgia Datuk Ismail bin Haji Omar
Ketua Polis Negeri Selangor,
Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor
40000 Shah Alam, Selangor.                                                          DENGAN TANGAN

 

 

Yang Berbahagia. Datuk,
 

Kegagalan Polis Bertindak Ke atas Keganasan Samseng-samseng Ke atas Orang Awam Dan Menangkap Mereka Yang Di depan Mata Polis  Memukul Selvadurai Dan Menyerang Dua Buah Van Perkhidmatan DAP Di Kampung Idaman, Klang.
Kami ingin merakamkan perasaan kecewa dan dukacita terhadap keganasan-keganasan yang dilakukan ke atas pemimpin dan ahli-ahli DAP serta orang ramai yang berkumpul di hadapan Istana Datuk Zakaria Md Deros, Kampung Idaman, Klang pada pagi 29hb Oktober 2006. Kami amat kesal ke atas kegagalan polis menegakkan undang-undang dan menjaga ketenteraman awam dengan “membenarkan” samseng-samseng pro-Zakaria yang bertindak ganas di depan mata anggota polis.

Kelakuan samseng-samseng pro-Zakaria ini telah membuktikan bahawa mereka bukan sahaja tidak menghormati kedaulatan undang-undang tetapi juga tidak menghormati anggota-anggota polis di tempat kejadian yang ditugaskan untuk mengawal keadaan serta cuba mencabar kewibawaan pasukan Polis. Kami ingin tahu mengapa pihak polis masih belum menahan samseng yang di depan mata polis  memukul orang ramai termasuk Naib Pengerusi DAP Selangor Selvadurai dan menyerang dua buah van perkhidmatan DAP sehingga cermin tepi pecah.

Kami telah datang atas jemputan orang tempatan yang ingin melihat “mahligai” RM 8 juta Datuk Zakaria yang dibina tanpa kelulusan di atas tanah rumah kos rendah yang diberikan oleh kerajaan negeri dengan harga murah. Tiba-tiba dua puloh orang yang memakai cermin mata gelap dan berkelakuan seperti anggota kongsi gelap telah menyerbu dan menggertak kumpulan kami.

Selvadurai ditumbuk

Tidak cukup dengan itu, mereka juga cuba menimbulkan kekecohan dengan menolak orang ramai yang berkumpul di situ. Naib Pengerusi DAP Selangor, Selvadurai mendakwa beliau pada masa itu ditumbuk oleh beberapa anggota kumpulan tersebut, yang dipercayai penyokong Zakaria. Selvadurai telah mendakwa bahawa dadanya lebam akibat ditumbuk dengan batang besi. Ini telah disahkan dalam laporan pemeriksaan badan oleh Hospital Ampuan Tengku Rahimah.

Dua van Perkhidmatan DAP dirosakkan

Kumpulan samseng ini terus mengacau dan merosakkan dua buah van kenderaan perkhidmatan DAP termasuk pembesar suara yang dipasang pada van milik Cawangan DAP Pasar Klang Besar. Demi mengelakkan lebih ramai orang awam dicederakan oleh samseng-samseng ini, saya telah memutuskan untuk beredar daripada kawasan itu.

Sementara itu, van perkhidmatan DAP Balakong juga ditendang dari hadapan dan kaca pandang belakang kanan tepi juga dipecahkan oleh kumpulan samseng itu Lee Ah Seng, ahli DAP Taman Indah, Balakong cuba membawa van beliau meninggalkan tempat kejadian. Beliau juga dilaporkan ditumbuk di dagunya. Semasa beredar daripada tempat itu pihak polis tidak dapat mengawal kumpulan samseng ini yang terus memukul dan meneriak di depan mata polis.

Biarpun tiga laporan polis telah diadakan, pihak kami kecewa dengan kekurangan anggota-anggota polis yang hadir mengawal keadaan pada hari itu. Unit K-9 PDRM hanya tiba selepas semua telah beredar. Tindakan kumpulan samseng ini telah mengugat ketenteraman awam dan PDRM harus memberkas mereka yang bertanggungjawab dengan segera untuk menegakkan keadilan, kedaulatan undang-undang dan menyampaikan mesej bahawa tiada sesiapapun yang boleh mengatasi kedaulatan undang-undang di negara ini.

Oleh itu kami harap pihak polis boleh menebus balik kegagalan mereka bertindak pada hari itu dengan menahan ahli-ahli samseng yang memang telah dicamkan menerusi gambar yang dikepilkan bersama. Sekian, terima kasih.

Yang benar,


LIM GUAN ENG
SETIAUSAHA-AGUNG
* Lim Guan Eng,  Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: