http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Islam Hadhari Juga Tidak Membenarkan Penyediaan Penyata Kewangan Negeri Melaka Tahun 2005 Yang Palsu Di mana Kedudukan Bankrap Ditukar Kepada Kelebihan Aset Kerana Permainan Silap Mata Perkaunan Ini Mencemarkan Integriti, Keyakinan Dan Kredibiliti Melaka Di Kalangan Pelabur Asing.

Letter

by Lim Guan Eng


YAB Datuk Seri Hj. Mohd. Ali bin Mohd Rustam,                               16 September 2006.

Ketua Menteri Melaka,

Pejabat Ketua Menteri,

Blok Bendahara, Aras 4(Suite)

Seri Negeri, Ayer Keroh, 75450 Melaka.                                             DENGAN TANGAN

Yang Amat Berhormat,

Islam Hadhari Juga Tidak Membenarkan Penyediaan Penyata Kewangan Negeri Melaka Tahun 2005 Yang Palsu Di mana Kedudukan Bankrap Ditukar Kepada Kelebihan Aset Kerana Permainan Silap Mata Perkaunan Ini Mencemarkan Integriti, Keyakinan Dan Kredibiliti Melaka Di Kalangan Pelabur Asing.

Kami merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2005, yang membuat penemuan palsu bahawa kedudukan kewangan Melaka adalah baik bila ia sebenarnya sudah bankrap. Penyediaan penyata kewangan yang palsu ini bukan sahaja mencemarkan prestasi dan nama baik pihak Jabatan Audit Negara sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab, berprofesyenal serta mempunyai standard dan etika kerja yang tinggi.

 

Islam hadhari juga tidak membenarkannya di mana kedudukan bankrap ditukar kepada kelebihan aset atau hitam menjadi putih kerana permainan silap mata perakaunan ini mencemarkan integriti, keyakinan dan kredibiliti Melaka di kalangan pelabur asing. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mendokong Islam hadhari mesti menjauhkan diri daripada amalan buruk menipu dan membuat fitnah demi memberikan gambaran palsu bahawa kedudukan kewangan negeri adalah sihat bila keadaan sebenarnya adalah sebaliknya.

 

Kedudukan kewangan negeri Melaka 2005 dinilai daripada maklumat kewangan yang terkandung di Lembaran Imbangan dan Penyata Akaun Memorandum. Dalam Perenggan 3.3.2 (mukasurat 3), aset telah berkurangan sebanyak RM 19.03 juta daripada RM 221.76 juta kepada RM 202.73 juta. Namun aset RM 202.73 juta ini melebihi tanggungan jangka pendek sebanyak RM 83.47 juta atau kelebihan (surplus) sebanyak RM 119.26 juta seperti petikan Lapuran Ketua Audit Negara 2005 berikut:-

“Dari segi kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah didapati asset yang berjumlah RM 202.73 juta dapat menampung keseluruhan tanggungan berjumlah RM 83.47 juta yang terdiri daripada Akaun Kena Bayar sejumlah RM 10.65 juta, Deposit sejumlah RM 24.99 juta dan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM 48.53 juta.”

 

Pencapaian kelebihan aset sebanyak RM 119.26 juta dalam 2005 adalah sungguh mengajaibkan kalau dibandingkan dengan defisit RM 35.76 juta pada tahun lepas. Memetik ungkapan 3.3.2 Lapuran Ketua Audit Negara 2004,

“Dari segi kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah didapati asset yang berjumlah RM 221.77 juta tidak dapat menampung keseluruhan tanggungan berjumlah RM 257.53 juta yang terdiri daripada Akaun Kena Bayar sejumlah RM 12.23 juta, Deposit sejumlah RM 21.11 juta, Kumpulan Wang Amanah Awam berjumlah RM 174.07 juta dan tunggakan bayaran balik pinjaman berjumlah RM 50.12 juta.”

Sekiranya benar kedudukan “insolvent” atau bangkerap kerajaan negeri dengan defisit sebanyak RM 35.76 juta dalam tahun 2004 telah ditukar kepada kelebihan aset sebanyak RM119.26 juta  pada tahun 2005, maka prestasi cemerlang “turnaround’ sebanyak RM 155.02 juta harus dilaung-laungkan dengan hadiah kepada pegawai kewangan terbabit.

 

Tetapi adakah kerajaan negeri benar-benar memperbaiki prestasi kewangan daripada deficit RM 35.76 juta pada 2004 kepada kelebihan aset RM 119.26 juta? Memeriksa Lapuran Ketua Audit Negara untuk kedua-dua tahun dengan lebih teliti, terdapat perbezaan ketara di mana Kumpulan Wang Amanah Awam sebanyak RM 194.57 juta tidak diambilkira pada 2005 sepertimana yang dibuatnya pada tahun 2004.

 

Sekiranya jumlah RM 194.57 juta diambilkira sebagai tanggungan maka aset kerajaan negeri pada 2005 tidak berkelebihan sebanyak RM 119.26 juta sebaliknya mengalami defisit sebanyak RM 75.31 juta. Dengan kata lain, kewangan kerajaan negeri sebenarnya sama-sama “insolvent” atau bangkrap dalam tahun 2005 sepertimana yang berlaku pada tahun 2004.

 

Soal utama ialah mengapa kesilapan sebegini di mana Kumpulan Wang Amanah Awam tidak dikira sebagai sebahagian keseluruhan tanggungan dalam tahun 2005 sepertimana yang diguna pakai sebelum ini? Keguguran Kumpulan Wang Amanah Awam sebanyak RM 194.57 juta dalam tahun 2005 menjadikan prestasi kewangan negeri sebenar yang “bankrap” atau defisit RM 75.31 juta berubah kepada kelebihan besar(surplus) yang palsu sebanyak RM 119.26 juta.

 

Ini bercanggah dengan prinsip perakaunan yang diterima umum di mana applikasinya mestilah konsisten setiap tahun.  Kegagalan menggunakan prinsip perakaunan yang sama setiap tahun akan menjadikan penyata kewangan tiap-tiap tahun tidak dapat dibandingkan bersama. Jelas sekali, Lapuran Ketua Audit Negara 2005 berkaitan dengan Melaka adalah tidak benar dan saksama serta ketara tidak mengikuti prinsip-prinsip perakaunan yang diamali.

                     

Di samping itu, kedudukan jangka panjang bagi tahun 2005 juga tidak memuaskan dengan menunjukkan aset sebanyak RM 934.02 juta tidak dapat menampung tanggungan hutang kerajaan negeri berjumlah RM 1.03 bilion. Ini bermakna baik jangka pendek mahupun jangka panjang kedudukan kewangan kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam adalah bankrap.

 

Adalah dikesali bahawa YAB cuba lari daripada persoalan serius yang ditimbulkan dengan membuat tohmahan dan serangan peribadi terhadap saya, sungguhpun YAB bukan seorang akauntan. Saya bersedia bertemu dengan YAB bersama pegawai-pegawai kewangannya secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa demi menyiasat asal usul kemusykilan yang timbul. Terpulanglah kepada YAB untuk menetapkan tempat dan tarikh.

 

Memandangkan bahawa isu ini boleh menjatuhkan imej, keyakinan orangramai dan kredibiliti kerajaan negeri dan Jabatan Ketua Audit Negara, adalah perlu satu siasatan di adakan untuk menentukan punca kesilapan dan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai terbabit. Akauntabiliti dan ketelusan perlukan jawapan segera yang menyeluruh dan pembetulan dibuat.

 

 

Yang benar,

 

 

 

LIM GUAN ENG

SETIAUSAHA-AGUNG


* Lim Guan Eng,  Secretary-General of DAP

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: