http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance

Surat bantahan kepada Nazri kerana tidak menguatkuasakan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah Pindaan 2006
________________
Protest Letter
by Teresa Kok  
_____________
______

(Kuala Lumpur, Monday) : Saya sebagai bekas anggota dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat Untuk Mengkaji Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 merasa amat kecewa kerana hampir kesemua cadangan kami dalam kedua-dua rang undang-undang ini tidak dikuatkuasakan sehingga hari ini.

Untuk mengembalikan peringatan YB Dato' Seri, Jawatankuasa Pilihan Khas kami yang dilantik oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai 2004. Kami telah mengambil masa selama 2 tahun untuk mengambil pandangan daripada orang ramai dengan menjelajah di seluruh negara, kami juga telah membuat lawatan ke Australia dan New Zealand untuk merujuk undang-undang jenayah di kedua-dua negara tersebut di samping menjalankan kajian terhadap kedua-dua rang undang-undang ini.

Untuk makluman YB Dato' Seri, Jawatankuasa Pilihan Khas kami dibantu oleh anggota  daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Jabatan Agama Islam, wakil daripada Polis DiRaja Malaysia dan pegawai daripada Parlimen. Ini bermaksud bahawa banyak rundingan telah diadakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas kami dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan dengan penguatkuasaan kedua-dua rang undang-undang ini.

Kedua-dua rang undang-undang ini diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sidang Jun dan Julai pada tahun 2006, mereka juga telah diperkenankan oleh YDP Agong pada 27 September 2006 dan diwartakan pada 5 Oktober 2006. YB Dato' Seri telah memberitahu Dewan Rakyat pada 7 November 2006 bahawa kedua-dua rang undang-undang ini akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2007.

Walau bagaimanapun, kami merasa amat tidak puas hati bahawa kedua-dua rang undang-undang tersebut masih belum dikuatkuasakan sebagaimana yang dijanjikan oleh YB Dato' Seri sehingga hari ini. Dalam Warta Kerajaan Seri Paduka Baginda pada 5 Mac 2007, kami juga merasa hairan bahawa hanya bahagian mengenai terrorisme dalam Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006 diluluskan.

Saya merasa hairan bahawa bahagian terrorisme dalam Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003 diwartakan kerana definisi terrorisme yang terkandung dalam bahagian terrorisme dalam Kanun Keseksaan (Pindaan) 2003 telah dikritik oleh banyak pihak kerana ia adalah terlalu longgar dan luas. Oleh itu, Jawatankuasa Pilihan Khas kami telah membuat pindaan dan menyempurnakan definisi terrorisme tersebut dan dimasukkan dalam Kanun Keseksaan (Pindaan) 2006 supaya akta ini tidak akan disalahgunakan. Kami merasa amat tidak puas
hati bahawa pandangan dan pindaan kami tidak diambil kira.

Dalam jawapan bertulis yang diberi oleh YB Dato' Seri kepada YB Teresa Kok (Seputeh) pada 10 April 2007, YB Dato' Seri berkata bahawa Jabatan Peguam Negara akan membuat beberapa pindaan lanjut atau berbangkit yang perlu dibuat kepada kedua-dua akta itu selepas diwartakan. Persoalannya ialah, Jabatan Peguam Negara tidak patut membuat pindaan lebih lanjut atas Kanun Keseksaan (Pindaan) 2006 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2006 sebelum kedua-dua akta ini dikuatkuasakan. Jabatan Peguam Negara hanya boleh membuat pindaan terhadap kedua-dua akta ini sekiranya mereka mendapati terwujudnya masalah selepas akta tersebut dikuatkuasakan.

Untuk makluman YB Dato' Seri, Jawatankuasa Pilihan Khas kami telah membuat beberapa pindaan yang penting khususnya dari segi pemeliharaan hak asasi manusia. Ini termasuk:

i)  Pindaan terhadap takrif rogol dan hukuman bagi kesalahan jenayah rogol dalam Kanun Keseksaan;

ii) Pindaan terhadap kesalahan curi ragut dalam Kanun Keseksaan;

iii) Pindaan terhadap takrif 'terrorisme' dalam Kanun Keseksaan untuk menjadikan takrif 'terrorisme" lebih spesifik dan
mengelakkan ia disalahgunakan;

iv) Pindaan terhadap seksyen 117 dalam Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan tempoh penahanan saspek di lokap polis yang
selalu disalah-gunakan oleh pihak polis;

v)  Pindaan terhadap seksyen 112 dan 113 dalam Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan pemeriksaan saksi dan saspek demi
mengelakkan pengakuan saspek secara paksaan dan keganasan oleh pegawai polis terhadap saspek;

vi)  Pemansuhan terhadap seksyen 115 dalam Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan rakaman pengakuan oleh majiestret;

vii) Pindaan terhadap seksyen 13 dalam Kanun Tatacara Jenayah yang mewajibkan kesalahan jenayah seksual dilaporkan kepada polis;

viii) Pindaan terhadap seksyen 20A dalam Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan pemeriksan orang yang ditangkap oleh polis di lokap polis;

ix)  Pindaan terhadap seksyen 51A dalam Kanun Tatacara Jenayah berkenaan dengan pemberian dokumen oleh pihak pendakwa raya kepada pembelaan sebelum perbicaraan;

x)  Mewujudkan perintah khidmat masyarakat dalam seksyen 293 Kanun Tatacara Jenayah;

xi) Pindaan terhadap seksyen 295 Kanun Tatacara Jenayah yang menghendaki pesalah seksual melalui kaunselling pemulihan.

Memandangkan pindaan yang disebutkan di atas adalah pindaan yang menyempurnakan kedua-dua undang-undang tersebut dan yang mempertahankan hak asasi manusia, jadi saya ingin minta YB Dato' Seri untuk menguatkuasakan kedua-dua undang-undang yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas kami dengan secepat mungkin, kerana kesemua pindaan tersebut adalah merupakan pindaan yang telah dinanti-nantikan oleh banyak pihak.

Saya berpendapat adalah penting bagi Kerajaan untuk mengembalikan peranan Parlimen sebagai institusi penggubalan undang-undang. Kesemua keputusan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen kita haruslah dihormati dan diikuti oleh semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Peguam Negara.

Dengan itu saya berharap YB Dato' Seri boleh menggunakan kuasa YB untuk menguatkuasakan kedua-dua akta tersebut.

(16/4/2007)       


*Teresa Kok, DAP Publicity Secretary and MP for Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: