http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Kekurangan pemantauan ke atas panel pelaburan KWSP


___________________________________________
Ucapan Dalam Perbahasan Rang Undang-Undang KWSP
by Teresa Kok  
_____________
_________________________________

 

(Dewan Rakyat, Tuesday) : Rang Undang-Undang KWSP merupakan satu rang undang-undang yang menarik perhatian banyak pihak, khususnya golongan yang membayar caruman kepada KWSP. Malangnya, pihak KWSP tidak mengadakan proses demokrasi dengan  mengadakan rundingan dengan banyak pihak sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di dewan yang mulia ini, khususnya perwakilan daripada golongan pekerja dan persatuan sekerja, misalnya MTUC dan sebagainya.

Selain itu, saya juga terima satu email daripada seorang pencarum yang berkata bahawa beliau dikehendaki untuk memberi carumannya kepada KWSP setiap tahun tetapi apabila KWSP ingin membuat pindaan terhadap akta KWSP, ia tidak berunding dan mengambil pandangan daripada pihak pencarum ataupun ahli KWSP langsung, rang undang-undang ini malah tidak dipaparkan di laman web KWSP.

Datuk yang diPertua, panel pelaburan di KWSP merupakan bahagian yang paling penting kerana para anggota panel membuat pelaburan bagi pihak berjuta-juta pencarum KWSP. Malangnya undang-undang kita tidak mengadakan apa-apa pemantauan ke atas keputusan panel pelaburan tersebut,  dan panel pelaburan ini juga tidak berunding dengan wakil pencarum semasa membuat keputusan pelaburan. Keadaan yang kehilangan pemantauan ini pun membuka pintu kepada penyelewengan pada panel pelaburan.

Anggota panel pelaburan membuat keputusan yang melibatkan kepentingan diri

Saya ingin tanya Kementerian Kewangan, apakah kriteria perlantikan anggota panel pelaburan? Kebanyakan anggota dalam panel tersebut merupakan pemain yang aktif dalam pasaran sekuriti di negara kita, khususnya mereka daripada industri kewangan dan perbankan.

Rekod KWSP menunjukkan terdapat penglibatan anggota panel pelaburan yang mempunyai percanggahan kepentingan dalam proses 'underwriting dan rekomendasi KWSP' untuk membeli bon yang di'underwrite' oleh bank mereka sendiri.

Contoh yang paling ketara ialah isu pembelian bon Intisna RM5.6 bilion daripada Malakoff Berhad apabila Tan Sri Halim Ali memegang jawatan sebagai pengerusi KWSP. Pada waktu itu, Tan Sri Halim Ali juga merupakan Pengerusi kepada Malakoff Berhad. Pembelian bon ini memanglah merupakan satu bentuk percanggahan kepentingan dan penyalahgunaan kuasa pada pemimpin atasan KWSP.

Selain itu, dua orang anggota panel pelaburan KWSP yang lain, Nazir Razak, iaitu CEO kepada CIMB dan juga Zainal Abidin Putih yang merupakan pengarah CAHB, syarikat holding CIMB, yang merupakan 'underwriter' bon Islam Malakoff Berhad ini,  kemudian juga terlibat dalam keputusan membeli Bon Intisna yang bernilai RM5.6 bilion daripada Malakoff Berhad.  Bukankah ini merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa lagi?

Kebelakangan ini, Malakoff Berhad akan diswastakan dan dibeli oleh MMC. Ini bermaksud selepas Malakoff membuat keuntungan selepas mendapat pinjaman daripada KWSP, pemegang saham pelabur kecil pula akan dipaksa jual kepada pemegang saham majoriti, MMC.

Kononnya MMC akan meminjam wang daripada KWSP untuk membeli  saham daripada pelabur kecil?  Apakah KWSP yang juga menjadi pemegang saham minoriti di Malakoff Berhad akan meminjam wang kepada MMC untuk membeli saham mereka sendiri?

Skandal pelaburan KWSP yang melibatkan PISB

Saya ingin tanya tentang pelaburan KWSP dalam Pacific Impact Industries Sdn Bhd (PISB) yang bernilai RM15.5 juta untuk membeli 80% saham daripada PISB, tetapi mengikut penilaian sebuah bank tempatan, jumlah nilai saham PISB hanyalah RM700 ribu sahaja. Mengikut laporan dalam The Star yang bertarikh 5 Januari 2007, KWSP telahpun membayar Michael Wong sebanyak RM1.15 juta, iaitu 10% daripada jumlah urusniaga itu.

Urusniga ini dibuat oleh KWSP dengan seorang pengarah PISB yang bernama Michael Wong. Michael Wong merupakan pemegang saham sebanyak 33.8% dalam syarikat tersebut. Transaksi ini dibuat melalui suatu persetujuan yang bertajuk Term Sheet For The Proposed Investment In Pacific Impact Industries Sdn Bhd yang ditandatangani oleh Michael Wong dan Dr Roslan A. Ghaffar bagi pihak KWSP pada 22 November 2004.

Persoalannya ialah, kesemua pemegang saham dan pengarah dalam PISB yang lain langsung tidak tahu tentang persetujuan urusniga tersebut, mereka juga tidak pernah memberi apa-apa persetujuan kepada Michael Wong untuk menjual saham dalam PISB kepada KWSP. Selain itu, Michael Wong hanya merupakan pemegang saham sebanyak 33.8%   dalam PISB sahaja. Beliau langsung tiada hak undang-undang untuk menjual 80% saham dalam PISB kepada KWSP. Lebih-lebihan, Michael Wong memang sudah tahu bahawa PISB berkemungkinan akan digulung-tikar pada waktu dia membuat urusniaga dengan KWSP.

Dalam Term Sheet For The Proposed Investment In Pacific Impact Industries Sdn Bhd yang ditandatangani oleh Michael Wong dengan KWSP, Michael Wong malah tidak memberi nombor kad pengenalan dan alamat kediamannya ataupun alamat pejabatnya, dan nama pengarah PISB ini memang bukannya nama sebenarnya dalam kad pengenalannya. Jadi memanglah susah bagi KWSP untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Bukankah ini amat tidak masuk akal bagi KWSP untuk membuat persetujuan pelaburan ini?

Soalan saya kepada kementerian kewangan ialah:


i)      Memandangkan KWSP telahpun ditipu, apakah KWSP telah membuat laporan polis mengenai perkara ini  dan apakah siasatan KWSP dan polis terhadap kes ini?


ii)     Apakah tindakan di ambil oleh KWSP terhadap pegawai dan pihak yang terlibat memandangkan ini merupakan satu kesilapan yang sangat besar pada pihak KWSP?


iii)    Apakah pelaburan ataupun urusniga ini diluluskan oleh Panel Pelaburan di  KWSP?


iv)     Berapakah kesilapan pelaburan seperti ini telah berlaku di KWSP dan berapakah jumlah kerugiannya?


v)      Saya difahamkan pihak syarikat ibu PISB, iaitu GSF Pacific Foods Malaysia Sdn Bhd telahpun menulis beberapa surat berkenaan perkara ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Azian Zainol dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Bahagian Pelaburan) KWSP, tetapi kedua-dua pihak ini tidak pernah menjawab surat dan mengadakan apa-apa pertemuan dengan ibu syarikat ini. Kenapakah pihak CEO KWSP begitu angkuh dan langsung tidak peduli terhadap kes kena tipu mereka?

Pindaan KWSP terbuka kepada aktiviti perdagangan derivatif yang berisiko tinggi

Datuk yang diPertua, saya juga ingin menyuarakan kebimbangan saya tentang pindaan seksyen 26 dan 29A dalam rang undang-undang ini yang
memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk memberi kebenaran bagi
KWSP untuk menceburkan diri dalam aktiviti pelaburan yang berunsur spekulasi ataupun 'derivative trading activities', termasuk  kontrak hadapan, kontrak niaga kedepan, kontrak opsyen.

Kita haruslah ingat bahawa Menteri Kewangan Kedua ini pernah melibatkan dalam aktiviti spekulasi kewangan apabila beliau memegang teraju kepemimpinan di Bank Negara sehingga negara kita mengalami kerugian sebanyak RM18 bilion. KWSP haruslah berhati-hati apabila membuat pelaburan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur kerana wang KWSP ialah wang para pekerja di seluruh negara. Caruman kita kepada KWSP tidak harus digunakan untuk membuat apa-apa aktiviti yang berunsur spekulasi, supaya skandal kerugian Bank Negara yang berlaku pada tahun 80-an tidak akan berulang dalam pelaburan KWSP. 

Caruman pekerja asing kepada KWSP sebanyak 12% adalah tidak praktikal dan tidak adil

Pada masa kini, majikan pekerja asing membayar caruman sebanyak 12% kepada KWSP manakala pekerja asing membayar caruman sebanyak 11% , tetapi dalam rang undang-undang ini, majikan hanya membayar caruman sebanyak RM5 manakala pekerja asing masih membayar caruman KWSP yang sama.

Ini bermaksud, sekiranya seorang pekerja asing mendapat gaji sebanyak RM1,000 sebulan, dalam undang-undang yang sedia ada, seorang pekerja boleh mendapat caruman majikan sebanyak RM120 sebulan tetapi sekarang dia hanya dapat RM5 sebulan sahaja.
Ini bermaksud dia akan rugi sebanyak RM115 sebulan ataupun 10% sebulan.

Tindakan ini merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap pekerja asing, ia akan menyebabkan ramai majikan akan mengambil kesempatan supaya tidak membayar caruman KWSP bagi pekerja asingnya. Kita tahu pekerja asing selalunya menghadapi banyak eksploitasi daripada pihak majikan, misalnya waktu kerja yang panjang, sekarang pindaan ini seolah-olah menggalakkan lebih eksploitasi dibuat terhadap pekerja asing yang sudah berpendapatan rendah.

Selain itu, saya juga ingin rujuk kepada pindaan dalam seksyen 64, 34, 70(g) dalam rang undang-undang ini, yang mana membenarkan majikan untuk memberhentikan pencaruman pekerja asing pada 2 bulan terakhir.

Masalah sekarang ialah, terdapat banyak pekerja di bidang pembinaan bekerja kurang daripada 2 tahun, dan kadang-kadang pekerja-pekerja pembinaan ini dipindah majikan, daripada seorang kontraktor kepada sub-kontraktor yang lain. Majikan pekerja asing ini selalunya memotong caruman KWSP daripada gaji pekerja asing tetapi wang tidak dimasukkan ke dalam KWSP.  Rang undang-undang ini tidak mengenakan apa-apa bentuk pengawasan dalam soal ini.

Saya ingin mencadangkan kepada KWSP supaya mewajibkan pihak majikan pekerja asing untuk membayar jumlah caruman pekerja asing sebanyak 2 tahun sekali gus ketika pekerja asing masuk kerja untuk memastikan caruman KWSP bagi pekerja asing dibayar oleh majikan.

Datuk yang diPertua, saya ingin tanya apakah tujuan pindaan yang mengurangkan caruman majikan pekerja asing daripada 12% kepada RM5 ini? Apakah ini menggalakkan majikan tempatan untuk mengambil lebih pekerja asing kerana kos pengambilan pekerja asing telahpun turun erbanding dengan pekerja tempatan?

Eksploitasi terhadap pekerja tua

Begitu juga dengan pindaan yang mengurangkan kadar caruman pekerja dan majikan dikurangkan sebanyak 50% bagi mereka yang melebihi umur 55 tahun dan orang tua, walaupun tindakan ini dibuat dengan tujuan untuk mengurangkan beban pekerja dan majikan dan menambah simpanan persaraan pekerja, ia juga merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap golongan pekerja yang melebihi umur 55 tahun?

(8/5/2007)       


*Teresa Kok, DAP National Publicity Secretary and MP for Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: