http://dapmalaysia.org    Forward    Feedback    

Freelance
Rang Undang-Undang Anti Pemerdagangan Orang telah lama dinanti-nantikan oleh orang ramai


_____________________________________________________
Ucapan Dalam Perbahasan Rang Undang-Undang Anti Pemerdagangan Orang
by Teresa Kok  
_____________
___________________________________________

 

(Dewan Rakyat, Wednesday) : Rang Undang-Undang Anti Pemerdagangan Orang ini merupakan satu rang undang-undang yang telah lama dinanti-nantikan oleh orang ramai.

Jenis dan sebab-musebab pemerdagangan wanita dan kanak-kanak termasuk: i) buruh paksaan, ii) pelacuran paksaan, iii) penyeludupan bayi, iv) industri pornografi, v) perdagangan dadah, vi) pengantin perempuan secara kiriman ataupun paksaan, vii) buruh kanak-kanak, viii) penjualan organ badan, ix) pelajar asing dan sebagainya.

Jenayah pemerdagangan orang mengikut satu pattern yang sama, iaitu seseorang direkrut ataupun diculik dari negara asal, kemudian dipindah ke sesebuah negara dan kemudian dieksploitasi  di tempat destinasi. Selalunya orang yang menjalankan pengambilan ataupun rekrut, orang yang mengangkut mangsa dan orang yang mengeksploitasi mereka bukannya orang yang sama. Modus operandi sindiket ataupun penyeludup ini selalu bertukar-tukar cara mereka.

Kehilangan definisi buruh paksaan dalam rang undang-undang

Walaupun definisi yang terkandung dalam rang undang-undang ini adalah agak sama dengan definisi `pemerdagangan orang' yang terkandung dalam United Nations Human Rights Commission, tetapi apa yang tidak disebut ialah isu `buruh paksaan' (forced labour) dalam rang undang-undang ini. Walaupun kita tidak seperti Myanmar yang membenarkan buruh paksaan, tetapi `buruh paksaan' masih wujud di masyarakat kita, iaitu melalui khususnya sindiket yang menyeludup ataupun mengimport pekerja asing dari luar negara ke negara kita secara tipu.

Undang-undang Pemerdagangan Orang di Filipina termasuk `buruh paksaan' dan `hamba-abdi' dalam undang-undangnya. Definisi 'forced labour and slavery' dalam undang-undang itu berbunyi `refer to the extraction of work or services from any person by means of enticement, violence, intimidation or threat, use of force or coercion, including deprivation of freedom, abuse of authority or moral ascendancy, debt-bondage or deception.'

Jadi, saya cadangkan supaya 'buruh paksaan' dimasukkan dalam definisi pemerdagangan orang.

Komposisi Majlis Antipemerdagangan Orang

Komposisi Majlis Antipemerdagangan Orang haruslah mengambil satu pendekatan yang memberi lebih penekanan kepada perlindungan daripada keselamatan, seperti pendekatan yang diambil oleh Majlis Antipemerdagangan di Filipina. Ini bermaksud jawatan pengerusi Majlis ini seharusnya dipegang oleh Menteri ataupun pegawai kanan daripada jabatan ataupun kementerian yang bertanggungjawab pada undang-undang ataupun keadilan, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dijadikan Naib Pengerusi.

Selain itu, majlis ini juga merangkumi ketua setiausaha ataupun wakil daripada kementerian yang tiada kaitan dengan isu pemerdagangan orang. Misalnya, apa tujuan untuk memasukkan wakil daripada Kementerian Pengangkutan dan Penerangan dalam Majlis ini?  Kedua-dua kementerian sepatutnya hanya melaksanakan cadangan dan perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Antipemerdangan Orang dan mereka tidak perlu berada dalam Majlis ini.

Oleh kerana rang undang-undang ini hanya memberi 3 kerusi kepada wakil daripada NGO yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran tentang isu pemerdagangan orang, jadi  saya cadangkan supaya rang undang-undang ini memasukkan wakil daripada SUHAKAM dan Majlis Peguam ke dalam Majlis ini selain daripada 3 kerusi bagi NGO, kerana wakil daripada SUHAKAM dan Majlis Peguam akan dapat memainkan peranan yang lebih penting daripada kedua-dua kementerian yang saya sebutkan tadi.

Kuasa Menteri

Perkataan Rang Undang-Undang ini menyebut tentang kuasa Menteri.Seksyen 8 menyebut tentang kuasa menteri untuk memberikan arahan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang;  Seksyen 57 menyebut tentang kuasa menteri untuk memindahkan orang yang diperdagangkan dari satu tempat perlindungan ke tempat perlindungan yang lain; Seksyen 66 memberi kuasa kepada Menteri
Keselamatan Dalam Negeri untuk membuat peraturan-peraturan yang perlu atau suai manfaat untuk memberikan kuat kuasa penuh, atau bagi menjalankan peruntukan Akta ini; Seksyen 67 memberi kuasa kepada Menteri untuk membuat ubah suaian kepada mana-mana peruntukan akta ini dalam masa dua tahun permulaan kuat kuasanya.

Persoalannya ialah, kenapakah kuasa yang begitu besar diberi kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri tetapi bukannya kepada Majlis Antipemerdagangan Orang? Kementerian Keselamatan Dalam Negeri merupakan satu kementerian yang begitu besar, jawatan Menteri dipegang oleh Perdana Menteri dalam 20 tahun yang lepas. Jadi, kenapakah kita memberi kuasa yang begitu besar kepada
Menteri berkenaan tetapi bukan kepada Majlis Antipemerdagangan Orang yang terdiri daripada wakil daripada kementerian-kementerian dan NGO yang berkaitan?

Perakaman keterangan orang yang diperdagangkan

Seksyen 52(3) dalam rang undang-undang ini memberi kuasa kepada Majistret untuk merakamkan keterangan orang yang diperdagangkan dan menyelesaikan perakaman dalam masa 7 hari dari tarikh pengemukaan orang yang diperdagangkan itu ke hadapannya.

Sebenarnya seksyen ini adalah tidak sehaluan dengan pindaan Kanun Tatacara Jenayah Pindaan 2004 yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tahun lepas, iaitu seksyen 115 berkenaan dengan perakaman keterangan yang dilakukan oleh Majistret dilupuskan. Jawatankuasa Pilihan Khas membuat keputusan ini selepas mengambil kira cadangan daripada Peguam Negara sendiri, iaitu Majistret haruslah dibebaskan daripada urusan membuat rakaman keterangan saksi supaya majistret tidak dibabitkan dalam pergaduhan tentang kejituan sesuatu keterangan dan boleh dielakkan daripada hadir dalam perbicaraan Mahkamah Tinggi pada masa kelak.

Jadi, saya ingin tanya, kenapakah Majistret sekarang diberi tanggungjawab untuk merakamkan keterangan daripada mangsa pemerdagangan orang? Oleh kerana mangsa pemerdagangan telah mengalami pengalaman yang amat pahit sebelum beliau diselamatkan, jadi memang tidak mudah bagi mangsa pemerdagangan untuk memberitahu kesemua pengalamannya kepada seorang Majistret, keterangan hanya boleh diberi olehnya kepada orang yang dipercayainya, khususnya di hadapan kaunselor yang berpengalaman. Jadi, bukankah keterangan haruslah diberi oleh Pegawai Pelindung dan pekerja sosial di tempat perlindungan?

Perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang

Banyak pertubuhan bukan kerajaan agak prihatin terhadap tempoh perlindungan yang diberi kepada mangsa pemerdagangan orang, iaitu mangsa boleh dihantar oleh Majistret ke tempat perlindungan sebanyak 14 hari bagi maksud menjalankan penyiasatan terhadap latarbelakangnya. Selepas itu, pegawai perlindungan akan memberi laporan kepada Majistret, sekiranya Majistret berpendapat seseorang itu ialah mangsa pemerdagangan, bagi orang Malaysia, Majistret boleh membuat suatu Perintah Perlindungan kepada beliau selama
tempoh tidak melebihi 2 tahun,  dan bagi orang asing, maka Majistret boleh memberi perintah perlindungan kepada beliau untuk ditahan di tempat perlindungan tidak melebihi 3 bulan.

Mengadakan tempat perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang adalah perkara yang dialu-alukan, tetapi apakah konsep perlindungan ini? Apakah perlindungan sementara selama 14 hari, kemudian 3 bulan bagi mangsa asing dan 2 tahun bagi mangsa warga Malaysia itu satu bentuk penahanan dan atau pemenjaraan terhadap mangsa pemerdagangan orang? Apakah yang akan dilakukan
oleh mangsa pemerdagangan di dalam tempat perlindungan tersebut? Apakah pegawai penguatkuasa dan Pegawai Pelindung adalah pegawai yang terlatih dari segi kaunseling juga?

Oleh kerana kebanyakan mangsa pemerdagangan orang adalah orang yang telah melalui kepahitan dan kesengsaraan yang mendalam, jadi adalah amat penting bagi kerajaan untuk melatih lebih kaunselor dan pekerja sosial untuk menjaga mangsa pemerdagangan orang. Selain itu, adalah penting bagi kaunselor dan pekerja sosial tersebut untuk belajar bahasa asing, khususnya supaya mereka boleh berhubung dan berkomunikasi dengan mangsa pemerdagangan asing yang ditahan dalam tempat perlindungan tersebut.

Perkhidmatan dan bantuan kepada orang yang diperdagangkan

Datuk yang diPertua, kalau kita rujuk kepada `Anti-Trafficking in Persons Act of 2003' di Negeri Filipina, kita akan mendapati undang-undang Filipina amat menekankan pemulihan dan menghulurkan bantuan kepada mangsa pemerdagangan orang  untuk kembali kepada pangkuan masyarakat aliran utama. Undang-undang Filipina juga menghendaki agensi kerajaan untuk memberi perkhidmatan tersebut kepada mangsa pemerdagangan, iaitu:

a)      perlindungan kecemasan ataupun perumahan yang sesuai;
b)      kaunseling;
c)      perkhidmatan undang-undang percuma yang mengandungi maklumat mengenai hak mangsa dan prosedur untuk mengfailkan aduan, mendapat pampasan dan maklumat lain dalam bahasa yang difahamkan oleh mereka;
d)      perkhidmatan perubatan dan psikologi;
e)      latihan kemahiran hidup; dan
f)        bantuan pendidikan kepada kanak-kanak yang diperdagangkan.

Jadi, saya ingin cadangkan supaya selain daripada tawaran tempat perlindungan kepada mangsa, bantuan yang termaktub dalam undang-undang pemerdagangan orang di Filipina juga dimasukkan dalam undang-undang kita.

Cadangan untuk memberi visa sementara yang lebih panjang kepada mangsa pemerdagangan orang dari luar negeri

Datuk yang diPertua, memandangkan sesetengah mangsa pemerdagangan orang adalah dijual ataupun diculik oleh orang yang dipercayainya di negara asalnya, termasuk ahli keluarganya sekiranya beliau berasal daripada keluarga yang miskin. Jadi bila seseorang mangsa pemerdagangan ini diselamatkan, beliau mungkin tidak ingin pulang ke negara asal dan kampongnya, kerana tempat itu mungkin amat tidak selamat bagi dia.

Saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memberi lebih ruang kepada mangsa pemerdagangan orang seperti ini, iaitu dengan menawarkan visa sementara yang lebih panjang kepada golongan mangsa seperti ini, ataupun menghantar mereka ke negara lain melalui bantuan daripada agensi seperti UNHCR.

(9/5/2007)       


*Teresa Kok, DAP National Publicity Secretary and MP for Seputeh

Your e-mail:

Your name: 

Your friend's e-mail: 

Your friend's name: