red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Ucapan oleh Lim Kit Siang di Parlimen semasa membentangkan usul memotong RM10 dari gaji Peguam Negara Tan Sri Gani Patail pada hari Selasa, 9hb November 2010: 

Gani Patail didakwa bahawa beliau mereka keterangan palsu dalam siasatan “mata lebam” Anwar Ibrahim tahun 1998, suatu dakwaan yang tidak pernah dinafikannya sungghpun dakwaan berkenaan dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan 12 tahun yang lalu

Pada 14hb April 2010, berbalas kepada kenyataan saya “Mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai samada agen Israel telah meresapi Bukit Aman” yang dipaparkan di blog saya pada 10hb April 2010, saya menerima emel yang berikut dari Datuk Mat Zain bin Ibrahim, yang antara lain menyatakan:

Izinkan saya mengisytiharkan bahawa saya merupakan Pegawai Siasatan ke atas insiden keji 'mata lebam' yang tidak lagi perlu dijelaskan secara panjang lebar.

Respon saya adalah terhad ke atas sesetengah kata-kata yang YB buat dalam rencana di atas, yang disalin di bawah:

Satu kes yang baik adalah serangan “mata lebam” 1998 ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Ketua Polis Negara masa itu yang berlaku di dalam Bukit Aman sendiri, dua minggu setelah beliau dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Malah kepimpinan Polis tertinggi masa itu telah membuat Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa “mata lebam” Anwar mungkin diakibatkannya sendiri, sungguhpun pada masa itu Anwar hampir kehilangan nyawa kerana telah dipukul oleh Ketua Polis Negara di Bukit Aman!

Akhirnya, hanya menerusi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja maka barulah apa yang sebenarnya berlaku didedahkan.

Saya mesti berkata secara terus bahawa kata-kata YB di atas tidak betul. Saya tidak salahkan YB kerana berkata demikian kerana anda tidak pernah melihat maupun dibenarkan untuk melihat Kertas Siasatan yang saya sediakan. Bagaimanapun, untuk rujukan YB, saya ingin mencadangkan bahawa anda melihat salinan surat saya yang bertarikh 15 April 2009 yang saya tulis kepada Lembaga Penasihat dan beberapa Jawatankuasa SPRM, untuk lebih memahami apa yang sebenarnya berlaku sepanjang proses siasatan.

Saya boleh menjamin bahawa kepimpinan Polis tertinggi pun tidak pernah melihat Kertas Siasatan ini. Saya tidak pernah memberikan sebarang ringkasan kepada mereka atau mengikut arahan mereka dalam siasatan mata lebam ini. Saya adalah bebas. Saya berurus terus dengan wakil Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail (masa itu Dato Gani Patail, seorang DPP kanan dalam Kamar Peguam Negara) dan tiada siapa lagi.

Adalah juga tidak betul bagi YB mengatakan bahawa kepimpinan polis tertinggi pernah membuat Perdana Menteri masa itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed (TDM) untuk mengumumkan bahawa mata lebam Anwar adalah diakibatkannya sendiri. Saya sebenarnya yang berjumpa dengan TDM pada 8hb Oktober 1998 pada lebih kurang 8.15am di pejabat Perdana Menteri (kurang dari dua minggi setelah saya dilantik sebagai Pegawai Siasatan). Saya memberitahun TDM secara terang bahawa mata lebam DSAI adalah disebabkan oleh serangan dan penyerang adalah Tan Sri Rahim Noor sendiri. Dan tiada siapa yang bersubahat dengan Tan Sri Rahim Noor dalam perkara ini. Saya berjanji kepada Tun Dr Mahathir bahawa siasatan saya tidak akan menutup sebarang fakta dan bahawa Laporan Siasatan akan siap dalam tempoh dua minggu dan akan dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Saya mesti berkata bahawa kata-kata YB bahawa “hanya setelah Suruhanjaya Siasatan Diraja dibentuk maka barulah kebenaran didedahkan” sebenarnya tidak betul. Malah penyerang dalam kes ini telahpun dikenalpasti oleh pihak Polis sendiri semasa saya berjumpa dengan Tun Dr Mahathir pada 8 Oktober 1998.

Saya mesti mempertahankan pihak polis kerana PDRM memang berupaya melancarkan siasatan “no-holds-barred” dan Kertas Siasatan ini adalah mengenai insiden mata lebam 1998. Saya ingin meyakinkan YB bahawa komen-komen yang saya buat di atas semuanya direkod secara terperinci dalam diari saya serta laporan berterusan (running report) kepada Kamar Peguam Negara yang masih di dalam Kertas Siasatan. Sesetengah bahagian laporan ini adalah dilampirkan bersama surat saya kepada SPRM yang bertarikh 15hb April 2009.

Kita perlu mengkaji peristiwa-peristiwa yang berlaku sehingga kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memahami mengapa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan. Secara ringkas, kelambatan dalam menyiapkan siasatan adalah disebabkan oleh sikap tidak profesional cara Kamar Peguam Negara - khasnya Tan Sri Gani Patail sendiri - mengendalikan Kertas Siasatan. Saya berani berkata sekiranya berlaku kekeliruan, ia adalah Gani Patail yang mengelirukan, dan sekiranya berlaku sebarang manipulasi bukti, maka beliaulah yang memulakannya.

Pendirian PDRM mengenai siasatan ini adalah tegas dan ia sepatutnya dilakukan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak, dilakukan secara pantas dan terprinci tidak kira siapa itu pengerang. Inilah apa yang telah kami lakukan dan sayalah orang yang mencadangkan supaya Tan Sri Rahim Noor didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyerang DSAI lama sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan.

YB memang sedar bahawa DSAI telah membuat satu laporan pada 1hb Julai 2008 mendakwa bahawa empat individu, iaitu Gani Patail, Musa Hassan, seorang yang bernama Dr.Abdul Rahman Yusof serta diri saya, telah telibat dalam mereka keterangan palsu dalam siasatan mata lebam. Kes ini sebenarnya disiasat oleh SPRM.

Pada 11hb Mar 2009, YB Nazri Aziz mengumumkan di Parlimen bahawa satu Panel Bebas tiga-anggota yang dilantik sebagai DPP di bawah Criminal Procedure Code oleh Solicitor General untuk mengkaji dakwaan DSAI telah membersihkan nama Gani Patail dan Musa Hassan dari sebarang kesalahan. YB Nazri juga melaporkan bahawa keputusan Panel mengenai Musa Hassan adalah sebulat suara (3-0) sementara mengenai Gani Patail adalah majoriti (2-1).

(Tiga anggota yang dilantik adakah bekas hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad dan Datuk Mohd Noor Abdulla.)

Untuk makluman YB, berikutan dengan pengumuman ini, saya menulis surat kepada Lembaga Penasihat SPRM pada 15hb April 2009. Di antara isu yang saya bangkitkan adalah bahawa DSAI telah mendakwa bahawa ada empat orang yang mereka keterangan palsu tetapi Panel hanya membersihkan nama dua orang iaitu Gani Patail dan Musa Hassan. Maka saya ingin tahu apakah kedudukan saya dan meminta supaya nama saya juga dibersihkan. Semua ini boleh didapati dalam surat saya.

Satu lagi perkara penting yang saya bengkitkan dalam surat saya adalah mengenai 'keesahan' perlantikan Anggota-anggota Panel sebagai DPP di bawah CPC oleh Solicitor General.

Saya mengingatkan Lembaga Penasihat bahawa setahu saya, Solicitor General tidak berhak atau berkuasa di bawah CPC untuk melantik mana-mana orang yang berkelayakan sebagai DPP. Hanya Pendakwa Raya/Public Prosecutor yang berhak dan berkuasa bertindak demikian dan kuasa ini hanya boleh digunakan oleh Pendakwa Raya sendiri sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 376 (4) CPC. Saya juga menyatakan dalam surat saya bahawa Solicitor General hanya mempunyai kuasa sebagai DPP dan sekiranya Solicitor General yang melantik anggota-anggota Panel berkenaan, maka Panel berkenaan bukan dibentuk secara sah. Maka sebarang keputusan atau kesimpulan Panel ini tidak berguna dan tidak sah. Saya juga menyatakan bahawa sekiranya Peguam Negara sendiri yang melantik anggota-anggota Panel berkenaan, maka isu konflict kepentingan yang serius pula berbangkit kerana Peguam Negara adalah pihak yang perlu disiasat dalam kes ini. Berdasarkan intepretasi saya mengenai Seksyen 376 (4) CPC dan setelah mendapat nasihat yang sewajarnya, saya berpendapat “clearance” yang diberikan kepada Gani Patail dan Musa Hassan adalah tidak sah di sisi undang-undang atas alasan Panel bukannya dibentuk secara sah.

Satu lagi perkara adalah bahawa YB Nazri menyatakan bahawa keputusan Panel mengenai Gani Patail adalah keputusan majoriti (2-1). Tanpa mengambil kira fakta bahawa perlantikan anggota-anggota Panel adalah tidak sah, Dato Abdul Razak Musa iaitu Pengarah Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan SPRM telah mengesahkan dalam affidavitnya yang bertarikh 30 Jun 2009 dan difailkan dalam kes sodomi yang masih berlangsung bahawa keputusan Panel mengenai Musa Hassan dan Gani Patail adalah “sebulat suara”. Siapa yang berbohong – YB Nazri atau Razak?

Razak juga mengesahkan dalam affidavit yang sama bahawa berdasarkan kesimpulan semua anggot panel, beliau menutup kes terhadap Gani Patail sahaja! Ini hanya bermakna bahawa kes terhadap tiga lagi iaitu Musa Hassan, Dr.Rahman dan saya masih berjalan. Untuk saya, ini amat tidak masuk akal. Sungguhpun bukti terhadap Gani Patail adalah sungguh jelas, tetapi SPRM hanya tutup kes terhadap beliau sahaja. Ini hanya menunjukkan bahawa SPRM dan Kamar Peguam Negara sanggup mengesahkan affidavit palsu untuk melindungi Gani Patail dari hukuman undang-undang (untuk makluman YB, Razak kini merupakan Peguam SPRM dalam Inquest Teoh Beng Hock).

YB, saya tidak ingin menulis lebih lagi. Saya harap respon saya terhadap rencana YB mudah difahami dan saya ingin meyakinkan YB bahawa fakta-fakta yang didedahkan di atas boleh diesahkan secar mudah. Selain daripada ini, saya juga telah memberikan jaminan bertulis kepada SPRM dan Kamar Peguam Negara bahawa saya bersedia mendedahkan fakta-fakta berkenaan dalam prosiding kehakiman mengenai perkara ini.

Dalam surat beliau yang ditujukan kepada Lembaga Penasihat SPRM yang bertarikh 15hb April 2009, Mat Zain berkata:

“Tanpa mengambil kesahihan perlantikan ‘Panel Bebas’ tersebut, seorang Yang Ariff Panel berkenaan telah mendapati Gani Patail terlibat dalam salah laku jenayah sekalipun sejenis jenayah yang dilakukan tidak dinyatakan.

“Selaku Pegawai Penyiasat kes ‘mata lebam 1998’, saya amat yakin, sekiranya Yang Ariff Ahli-Ahli Panel berkenaan dibekalkan dengan dokumen lengkap seperti yang terkandung dalam Kertas Siasatan yang pernah saya sediakan dahulu dan dibaca bersama dengan Laporan Suruhanjaya Di Raja, maka ketiga-tiga Yang Ariff berkenaan akan mendapati salah laku jenayah yang lebih dari itu.

Mat Zain seterusnya mengemukakan bukti untuk menyokong apa yang disebutnya sebagai “dakwaan ‘mereka keterangan palsu’ berkaitan laporan perubatan ke atas Anwar Ibrahim dalam kes ‘mata lebam’ 1998” yang melibatkan Gani Patail dan Dr. Rahman”.

Mat Zain telah mengistiharkan beliau serta Pegawai-Pegawai dalam Pasukan Khas kes tersebut dan juga pucuk pimpinan PDRM ketika itu tidak pernah mensubahati Tan Sri Gani Patail dalam memalsukan keterangan terhadap DSAI.

Malahan beliau menjelaskan bahawa beliau telah mengambil segala langkah yang perlu (yang dirakamkan dalam diari penyiasatan beliau) untuk menasihati dan menghalang beliau daripada melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dalam penyiasatan kes mata lebam tersebut.

Mat Zain telah menasihatkan Gani Patail ketika itu, posisi Dr. Rahman yang sedang dalam siasatan Polis berkaitan satu kes ugutan jenayah keatas seorang Dr. Abdul Halim Mansar yang merupakan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur yang mula-mula menyediakan lapuran kecederaan keatas DSAI atas permintaan rasmi beliau, dan penggunaan Dr. Rahman menyediakan lapuran perubatan bertentangan dengan apa yang telah disediakan oleh Dr. Halim, akan menyebabkan “complications” kemudian hari.

Rupa-rupanya Gani Patail telah mengambil kesempatan posisi Dr. Rahman sedemikian itu untuk mengarahkannya menyediakan sejumlah tiga lapuran palsu berlainan berkaitan dengan kecederaan DSAI dalam insiden mata lebam tersebut.

Dalam ucapan bajet saya pada 28hb Oktober, saya merujuk kepada Surat Terbuka Mat Zain bertarikh 8hb Oktober 2010 yang dituju kepada Datin Kalsom Taib, isteri dan biografer Datuk Shafee Yahya, bekas ketua Badan Pencegah Rasuah, sebagai respon terhadap soalan-soalan yang dibangkitkan dalam buku beliau mengenai siasatan polis terhadap dakwaan ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir kerana salah guna kuasa pada Jun 1998 dengan menghentikan siasata rasuah terhadap Ali Abul Hassan Sulaiman, ketua Unit Perancangan Ekonomi kerana Mat Zain merupakan pegawai yang bertanggungjawab terhadap siasatan ke atas dakwaan berkenaan.

Mat Zain mendedahkan dalam surat terbukan yang ditulisnya bulan Mei ini yng dituju kepada Tan Sri Ismail Omar (pada masa itu Timbalan Ketua Polis Negara) serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menggesa supaya kaji semula siasatan ke atas keterangan palsu yang direka terhadap Anwar dalam kes serang 'mata lebam”nya tahun 1998 demi mempertahankan kredibiliti, kebebasan dan imej PDRM yang telah serius terjejas sejak 2006.

Saya memberitahu Dewan yang Mulia ini bahawa Mat Zain telah membuat dakwaan yang serius iaitu bahawa bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail, telah membenarkan keterangan palsu digunakan di dalam kes mata lebam Anwar Ibrahim dan mesti bertanggungjawab terhadap keadaan huru-hara sistem keadilan jenayah negara masa kini.

Dalam Surat Terbukanya, Mat Zain bertanya:

“Apa sudah jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah kita?....Siapa yang sepatutnya dipersalahkan? Siapa yang menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar kacir sehinggakan sesiapa juga boleh mempermain-mainkannya tanpa takut kepada sebarang tindakan dan hukuman undang-undang? Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa keadaan ini berpunca daripada ‘precedent’ yang dibuat oleh Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan sendiri.”

Saya berkata di Parlimen: “Gani Patail, Musa Hassan atau Menteri Dalam Negeri Hishammuddin dan Ketua Polis Negara Ismail semuanya tidak boleh terus membisu terhadap Surat Terbuka yang sungguh memudaratkan oleh seorang bekas pegawai polis kanan dan menyeru supaya Menteri Dalam Negeri memberikan satu penjelasan yang menyeluruh mengenai perkara ini di Parlimen.”

Saya merasa sungguh terkejut kerana Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak menjawab pertanyaan saya mengenai tuduhan serius Mat Zain terhadap sistem keadilan kita dan apabila saya bertanya, semasa beliau selesai menggulung ucapannya selama dua jam, mengapa tiada jawapan terhadap soalan-soalan yang saya bangkitkan, beliau berkata bahawa saya tidak pernah membangkitkan perkara ini dalam ucapan saya.

Saya merasa sungguh terkejut kerana apa yang saya katakan telah dicatat dalam Hansard. Samada Menteri Dalam Negeri tidak jujur, ataupun beliau telah ditipu oleh pegawai-pegawainya, yang bermakna Menteri Dalam Negeri “not master of his Ministry”.

Bagaimana perkara seperti ini berlaku, melainkan ianya satu usaha sengaja untuk tidak mengendahkan dan cover-up skandal terbesar dalam sistem keadilan Malausia.

Sebagaimana yang dirujuk dalam Surat Terbuka Kepada Datin Kalsom, Mat Zain berkata:

“Dalam surat saya kepada Tan Sri Ismail itu juga saya telah memberi ‘isyarat awal’ berkaitan pemerhatian saya mengenai penggunaan keterangan palsu dalam perbicaraan Sodomy II yang sedang berjalan.Keterangan palsu/tidak benar itu adalah dalam bentuk dua afidavit yang diikrarkan pada 30.6.2009 oleh dua Pegawai Jabatan Peguam Negara bagi pihak Pendakwa Raya.Perkara ini bukan rahsia kerana DSAI sendiri telah membuat laporan Polis Travers Rpt:5160/09 pada 21.7.2009 dan membuat kenyataan akhbar mengenai laporan ini terhadap, Dato Abdul Razak Musa Pengarah Pendakwaan dan Perundangan SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya Hanafiah Hj.Zakaria dari Jabatan Peguam Negara, seorang Ahli dalam Pasukan Pendakwaan kes Sodomy II.

“Berpeluang meneliti kandungan dokumen-dokumen tersebut yang berada dalam public domain itu,serta mengetahui perkara sabjek yang terkandung dalam laporan Suruhanjaya DiRaja berkaitan,saya berpendapat yang dakwaan DSAI ada kebenarannya walaupun saya tidak mempunyai ekses lagi untuk mengetahui hasil siasatan berkaitan laporan tersebut.

“Saya memberikan isyarat awal ini adalah untuk PDRM mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak dijadikan “scape-goat” sekiranya sesuatu yang buruk berlaku dalam pendakwaan Sodomy II seperti mana yang menimpa PDRM dan saya dalam penyiasatan kes mata-lebam.

“Hari ini pula,ketika saya sedang menulis Surat Terbuka ini kepada Datin, tersiar pula secara meluas dalam akhbar-akhbar dan blogs mengenai seorang Rahimi Osman yang disenaraikan sebagai seorang saksi pembelaan,menghebahkan pula yang beliau dipaksa membuat Statutory Declaration (SD) untuk mengaitkan Dato Seri Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes Sodomy II ,yang melibatkan sahabat beliau Mohd.Saiful Bukhari Azlan dua tahun lalu.Dilaporkan pula kononya Rahimi Osman telah membuat SD yang baru pula.Ini mengingatkan kita kepada apa yang dilakukan oleh Private Investigator Bala dalam kes bunuh Altantuya.

Apa sudah jadi dengan Sistem Keadilan Jenayah kita? Seolah BAB XI dalam Kanun Keseksaan berkaitan Keterangan Palsu dan Kesalahan-Kesalahan Terhadap Keadilan Awam tidak ujud lagi.Siapa yang sepatutnya dipersalahkan?.Siapa yang menyebabkan Sistem Keadilan Jenayah kita menjadi kucar kacir, sehinggakan sesiapa juga boleh mempermain-mainkannya tanpa takut kepada sebarang tindakan dan hukuman undang-undang.Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan bahawa keadaan ini berpunca daripada “precedent” yang dibuat oleh Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan sendiri.Jika mereka boleh merekacipta keterangan palsu dan menggunakan dua daripada tiga laporan yang dipalsukan itu pula dalam prosiding kehakiman Suruhanjaya Di Raja, dan kemudian mendabik dada mengatakan mereka bersih daripada sebarang salah laku jenayah;jika Tan Sri Musa boleh memberi keterangan palsu dalam perbicaraan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seperti yang dilaporkan oleh seorang Penggubal Undang-Undang YB R.Sivarasa dalam bulan Mac tahun ini, dan tiada tindakan dikenakan;jika Tan Sri Musa Hassan boleh mengemukakan Pernyataan Tuntutan yang tidak benar dalam samannya terhadap DSAI serta menuntut berjuta Ringgit sebagai ganti rugi pula dan menayangkan pula saman tersebut kepada dunia,maka P.I.Bala dan Rahimi Osman juga tidak bimbang akan tindakan undang-undang terhadap mereka.Cuma yang tidak bernasib baik, mungkin Brig.Gen (B) Datuk Mohamad Yasin Yahya bekas Panglima Brigade Sabah(saya juga tidak pernah mengenali beliau) yang telah berpuloh tahun menabur keringatnya mempertahankan kedaulatan Negara, akhirnya diaibkan dengan dituduh memberi keterangan palsu(walaupun kemudiannya didapati tidak bersalah) ketika memberi keterangan di-Mahkamah melibatkan satu kes Dato Ramli Yusuff.”

Ghani Patail didakwa bahawa beliau mereka keterangan palsu dalam siasatan “mata lebam” Anwar Ibrahim tahun 1998, suatu dakwaan yang tidak pernah dinafikannya sungghpun dakwaan berkenaan dibuat oleh pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan 12 tahun yang lalu.

Dakwaan ini dibuat bukan oleh orang sembarangan tetapi oleh seorang pegawai polis kanan yang diberi amanah melakukan siasatan ke atas salah satu peristiwa paling hitam dalam sejarah polis dan pentadbiran baik negara ini.

Kita menghadapi situasi yang pelik dan memeranjatkan di mana Peguam Negara, pegawai undang-undang tertinggi pangkatnya di negara yang juga merupakan Pendakwa Raya, didakwa melakukan tindakan yang menyongsangkan undang-undang dan Perlembagaan yang beliau dibertanggungjawabkan untuk mempertahankannya, sehingga menjejaskan dan menyongsangkan proses keadilan, tetapi tidak berani mengambil sebarang langkah untuk menafikan dakwaan-dakwaan serius seorang pegawai polis kanan, misalnya menerusi satu Suruhanjaya Siasatan Diraja!

Hanya atas perkara ini sahaja, satu usul mengutuk menerusi potong gaji RM10 adalah diperlukan.


*Lim Kit Siang, Ketua Parliamen DAP & Ahli Parlimen Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional