red arrow http://dapmalaysia.org 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Selasa, 3hb April 2012: 

Debat Parlimen tentang laporan Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya – sebuah episod yang amat memalukan dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia selama tempoh 55 tahun

Apa yang telah berlaku pada hari ini merupakan sebuah episod yang amat memalukan dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah Parlimen Malaysia selama tempoh 55 tahun.

Ianya bermula dari kesilapan yang telah dilakukan oleh Tuan Speaker Tan Sri Pandikar Amin apabila beliau menolak pindaan kepada usul yang telah dibentangkan oleh tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya, Loke Siew Fook (Rasah), Mohamad Azmin (Gombak) dan Dr. Mohd Hatta (Kuala Krai) untuk memuatkan satu penyata minoriti ke dalam laporan terakhir Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya (JKPPP) yang telah dibentangkan semalam.

Selepas Pengerusi JKPPP, Datuk Maximus Ongkili membentangkan usul laporan JKPPP selepas tempoh pertanyaan, Loke telah bangkit untuk membantah penolakan Tuan Speaker berkenaan dengan pindaan kepada usul yang dibawa oleh tiga Ahli Parlimen PR dalam kamar Tuan Speaker.

Pandikar telah memetik preseden Parlimen dari negara New Zealand dan United Kingdom dan telah mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang berunsur “minority report” atau penyata minoriti dalam preseden-preseden tersebut.

Apabila Pandikar memberi laluan untuk preseden-preseden dipetik dan diulas, Ahli-ahli Parlimen PR menyatakan bahawa Tuan Speaker telah diberi maklumat yang salah apabila menyatakan bahawa penyata minoriti tidak wujud dalam Parlimen Komanwel. Pandikar enggan meninjau keputusan yang telah dibuat itu walaupun ditegur.

Dewan Parlimen telah bersidang hampir 1 jam sebelum penangguhan untuk makan tengahari diumumkan. Ini berikutan keengganan Tuan Speaker untuk membenarkan pembentangan pindaan usul JKPPP untuk memuatkan penyata minoriti ini yang menitikberatkan isu paling asas iaitu senarai daftar pemilih yang bersih dan komprehensif. Isu ini terus berdominasi di Parlimen apabila sidang bersambung semula selepas makan tengahari dengan Timbalan Speaker Datuk Robert Kiandee menpengerusikan dewan.

Sejurus selepas perdebatan pendapat, Pandikar telah masuk dengan mengejut ke dalam dewan Parlimen dan telah mengambil alih dari Robert Kiandee dan terus menggantung 3 Ahli Parlimen PR iaitu Azmin (Gombak), R. Sivarasa (Subang) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) diatas sebab mempertikaikan keputusan Tuan Speaker.

Tindakan ini telah menghuru-harakan dewan dan kelihatan kesemua Ahli Parlimen PR berdiri di tempat masing-masing untuk membantah apa yang telah berlaku. Keadaan menjadi kacau bilau dengan Ahli-ahli Parlimen PR dan Barisan Nasional termasuklah Tuan Speaker sendiri menjerit terpekik terlolong supaya kedengaran.

Pandikar jelas tidak dapat mengawal keadaan dalam dewan dan dengan tergesa-gesa membawa usul Maximus untuk diundi tanpa debat dan dikatakan telah dipersetujui dengan keadaan kebanyakan dari Ahli-ahli Parlimen kabur tentang apa yang sedang berlaku pada masa itu. Dewan ditanggguhkan dengan segera selepas itu.

Ini merupakan satu hari yang amat menyedihkan dan pahit apabila ramai di antara Ahli-ahli Parlimen telah lama menunggu masa untuk berdebat tentang laporan JKPPP menjelang pilihanraya umum yang akan datang.

Ahli-ahli Parlimen daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS telah bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam perdebatan penuh tentang laporan JKPPP, terutama sekali tentang kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya untuk memastikan senarai daftar pemilih bersih dan komprehensif – satu prasyarat wajib untuk pengendalian proses pilihanraya secara bersih, bebas dan adil menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.

Namun, hanya satu sahaja daripada 8 tuntutan Bersih 2.0 untuk proses pilihanraya yang bersih, bebas dan adil akan diimplementasikan – iaitu penggunaan dakwat kekal.

Walaupun terdapat 10 cadangan dalam laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas, hanya dua sahaja yang telah diterima sepenuhnya manakala bagi cadangan yang lain, sebahagian sahaja yang diterima dan cadangan yang lain telah ditolak sama sekali seperti penolakan cadangan dalam laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas untuk pengesahan semula senarai daftar pemilih di negeri Sabah dan penubuhan Suruhanjaya Penyiasatan DiRaja untuk melihat masalah-masalah serius dimana pendatang tanpa izin diberi hak mengundi di Sabah.

Dengan keadaan sebegini, dapatkah rakyat Malaysia menyaksikan Pilihanraya Umum Ke-13 sebagai pihanraya yang bersih, bebas dan adil selaras dengan pernyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa negara Malaysia mempunyai sistem demokrasi yang terbaik di dunia?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional